Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Firefly perkenal operasi jet pada suku pertama 2021

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Malaysia Aviation Group (MAG) mengumumkan operasi jet bagi anak syarikatnya, Firefly Airlines akan bermula pada suku pertama 2021.

Untuk tujuan itu, Firefly akan menambah 10 jet berbadan sempit secara berperingkat dalam kumpulan itu untuk pasaran domestik, Asean dan Asia Pasifik dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan MAG Kapten Izham Ismail dalam kenyataan hari ini berkata perjalanan domestik dan jarak dekat paling menjadi pilihan mengikut persekitaran semasa, justeru, ia bersesuaian untuk memenuhi permintaan dari kawasan utara.

“Ini sejajar dengan rancangan perniagaan jangka panjang kumpulan untuk disesuaikan mengikut keadaan semasa dan akan datang selepas Covid-19 dengan tumpuan memperkukuh aliran pendapatan bagi kedua-dua anak syarikat,” katanya.

Susulan rancangan ini, Firefly akan melengkapi syarikat induknya, Malaysia Airlines Bhd (MAB) untuk memberi perkhidmatan di samping mempelbagaikan pangkalannya yang menghubungkan bandar sekunder di Malaysia ke Malaysia Timur, Thailand, Indonesia dan Singapura.

MAG berkata ia akan memanfaatkan sumber dan tenaga kerja yang ada dalam kumpulan itu dan berpotensi menggunakan pesawat Boeing 737-800 dari MAB yang memberi peluang untuk menumpukan kepada rangkaian pasaran premiumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Firefly Philip See berkata Firefly bersedia untuk menggalas cabaran itu berikutan ia melihat potensi kukuh bagi strategi dua hab di samping mengekalkan perkhidmatan bilah kipas turbo di luar Subang Skypark dan memberi perkhidmatan kepada pengembara korporat dan santai.

Menerusi operasi jet baharu itu, Firefly akan menawarkan konsep perkhidmatan yang fleksibel – pemisahan produk untuk disesuaikan kepada pelanggan santai dan pengguna sensitif harga.

Firefly berkata penumpang akan terus menikmati keistimewaan dan perkhidmatan seperti syarikat penerbangan premium. Ini termasuk elaun bagasi berdaftar dan mata Frequent Flyer Enrich dengan pilihan tempat duduk dan manfaat perlindungan insurans.

Pelaksanaan operasi jet Firefly di hab Pulau Pinang memerlukan pelaburan yang minimum oleh MAG pada 2021 dengan jangkaan peningkatan pengeluaran yang diukur mengikut purata kerusi bagi setiap kilometer sebanyak 36 peratus untuk tempoh lima tahun akan datang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

Firefly tawar pas perjalanan tanpa had ke destinasi domestik

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Firefly, syarikat penerbangan tambang rendah Malaysia Airlines Bhd memperkenalkan “Firefly Passport”, pas perjalanan tanpa had untuk ke mana-mana destinasi domestik di Semenanjung Malaysia.

Menurut Firefly, produk perjalanan udara yang terkini itu dibuka untuk jualan mulai 24 hingga 30 Ogos, 2020 dengan menawarkan dua pilihan iaitu pas tiga bulan bernilai RM399 atau penerbangan tanpa had selama enam bulan bernilai RM699.

“Firefly Passport memberi nilai hebat untuk membolehkan rakyat Malaysia terbang ke pelbagai destinasi sama ada untuk balik kampung, meneroka Malaysia, mengembara dan menikmati percutian dengan keluarga dan rakan-rakan atau mencari pilihan yang menjimatkan kos untuk perjalanan melibatkan urusan kerja yang kerap dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Firefly Passport boleh dibeli menerusi laman web https://www.fireflyz.com.my/travelpass.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

‘Wajah’ Selangor di awan biru, FireFly promosi pelancongan negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SUBANG JAYA, 20 JAN : Julung kalinya, imej pelancongan negeri dipaparkan di badan pesawat milik Syarikat Penerbangan, FireFly untuk tempoh 2017 ini.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, komitmen tersebut dilaksanakan sebagai kaedah baru mempromosikan pelancongan Selangor.

Beliau berkata, usaha tersebut dilaksanakan menerusi Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) Tourism Selangor dan FireFlyz di Subang Skypark Airport, di sini, semalam.

Tourism (7)“Inisiatif ini digerakkan sebagai usaha Kerajaan Negeri bersama Tourism Selangor menggalakkan kedatangan jumlah pelancong tempatan dan luar untuk melancong ke Selangor.

“Saya yakin permulaan kerjasama ini akan membuka peluang kepada Tourism Selangor menjalinkan kerjasama yang lebih besar bagi memperkenalkan produk pelancongan negeri kepada masyarakat luar,” katanya.

Majlis Pemeteraian MOU berkenaan turut disaksikan Pengarah Esekutif FireFly, Ignatius Ong dan Pengarah Urusan Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din.

Pemeteraian tersebut menyaksikan Selangor mendahului pemasaran produk pelancongan negeri menerusi pengiklanan pengangkutan udara.

Tourism (2)Sementara itu, dua buah pesawat dari perjalanan ke Singapura – Subang Jaya digunakan bagi tujuan promosi itu.

Imej pada badan kedua-dua pesawat memaparkan keindahan produk pelancongan negeri antaranya di Sekinchan, Klang, Shah Alam, dan Pulau Carey.

Bukan sekadar itu, kepingan poster turut dilekatkan pada bahagian dalam pesawat bertujuan memberi maklumat kepada penumpang terhadap industri pelancongan negeri.

-nR-