Categories
GLOBAL

Presiden Palestin sedia adakan pilihan raya umum

RAMALLAH, 17 JUN: Presiden Palestin Mahmoud Abbas pada Ahad berkata beliau bersedia sepenuhnya untuk mengadakan pilihan raya legislatif dan kemudian pilihan raya presiden di wilayah Palestin, termasuk Baitulmaqdis.

Abbas membuat kenyataan itu dalam pertemuan beliau dengan Hana Nasser, pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Palestin (PCEC) di Ramallah, lapor agensi berita China Xinhua memetik agensi berita rasmi Palestin WAFA.

Abbas telah menulis sepucuk surat kepada Nasser beberapa hari lepas yang menyoal kebersediaan PCEC mengadakan pilihan raya parlimen di wilayah Palestin, lapor WAFA.

Nasser berkata selepas pertemuan dengan Abbas, suruhanjayanya bersedia mengurangkan semua beban yang mungkin dihadapi dalam mengadakan pilihan raya itu dan menjayakannya, menurut laporan itu.

Abbas telah mengadakan tiga pertemuan dengan PCEC sejak pengisytiharan beliau pada 22 Disember tahun lepas bahawa Mahkamah Perlembagaan Palestin telah memutuskan untuk membubarkan Majlis Legislatif Palestin (PLC) dan meminta agar pilihan raya legislatif diadakan dalam tempoh enam bulan.

PLC tidak beroperasi sejak permulaan perpecahan dalaman Palestin pada 2007 apabila Hamas merampas kuasa di Semenanjung Gaza dan menewaskan pasukan keselamatan Presiden Abbas.

Pilihan raya parlimen telah diadakan di wilayah Palestin pada Januari 2006 apabila Hamas menyingkirkan Parti Fatah pimpinan Abbas dan memenangi majoriti dalam PLC.

Bagaimanapun, dunia enggan mengiktiraf keputusan pilihan raya itu. – BERNAMA

Categories
GLOBAL

Pelan damai AS sekadar “menjual ilusi” – Presiden Palestin

RAMALLAH, 28 MEI: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyifatkan pelan damai “perjanjian abad ini” yang dicadangkan Amerika Syarikat (AS) dan bengkel ekonomi di Bahrain pada bulan depan, sekadar “menjual ilusi”, lapor agensi berita Xinhua.

“Mereka menjual ilusi dan ia tidak akan membawa kita ke mana-mana, kita tidak memerlukan bantuan mereka kerana rakyat Palestin mampu membina negara sendiri,” kata Abbas pada satu majlis di Ramallah.

Kenyataan itu merujuk kepada persidangan ekonomi anjuran AS yang akan diadakan di Manama, Bahrain pada 25 Jun.

“Siapa yang mahu menyelesaikan isu Palestin mesti menerusi politik,” katanya.

“Langkah demi langkah kita sedang ke arah mewujudkan negara Palestin yang bebas dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara,” kata presiden Palestin itu.

Hubungan antara kepemimpinan Palestin dan AS terputus selepas Presiden Donald Trump mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada Disember 2017.

Pada Mei 2018, Washington memindahkan Kedutaan AS di Israel ke Baitulmaqdis.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Fatah syor bentuk kerajaan negara perpaduan Palestin

RAMALLAH, 28 JAN: Jawatankuasa Pusat Parti Fatah pimpinan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas pada petang Ahad mengesyorkan pembentukan sebuah kerajaan negara perpaduan tidak lama lagi, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan jawatakuasa itu.

Dalam kenyataan susulan satu mesyuarat yang dipengerusikan Abbas, jawatankuasa itu berkata kerajaan perpaduan baharu tersebut hendaklah terdiri daripada golongan politik, anggota Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan tokoh bebas Palestin bagi menggantikan kerajaan konsensus semasa yang diketuai Perdana Menteri Rami Hamdallah.

Jawatankuasa itu turut mengesyorkan pembentukan satu jawatankuasa yang membabitkan pemimpin Fatah bagi memulakan dialog dan perundingan dengan PLO berkaitan pembentukan kerajaan baharu.

Kerajaan konsensus semasa Palestin dibentuk pada pertengahan 2014 selaras dengan satu perjanjian damai yang dicapai di Gaza di rumah pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.

SUMBER: BERNAMA