Categories
GLOBAL

Pelan damai AS sekadar “menjual ilusi” – Presiden Palestin

RAMALLAH, 28 MEI: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyifatkan pelan damai “perjanjian abad ini” yang dicadangkan Amerika Syarikat (AS) dan bengkel ekonomi di Bahrain pada bulan depan, sekadar “menjual ilusi”, lapor agensi berita Xinhua.

“Mereka menjual ilusi dan ia tidak akan membawa kita ke mana-mana, kita tidak memerlukan bantuan mereka kerana rakyat Palestin mampu membina negara sendiri,” kata Abbas pada satu majlis di Ramallah.

Kenyataan itu merujuk kepada persidangan ekonomi anjuran AS yang akan diadakan di Manama, Bahrain pada 25 Jun.

“Siapa yang mahu menyelesaikan isu Palestin mesti menerusi politik,” katanya.

“Langkah demi langkah kita sedang ke arah mewujudkan negara Palestin yang bebas dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara,” kata presiden Palestin itu.

Hubungan antara kepemimpinan Palestin dan AS terputus selepas Presiden Donald Trump mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada Disember 2017.

Pada Mei 2018, Washington memindahkan Kedutaan AS di Israel ke Baitulmaqdis.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Fatah syor bentuk kerajaan negara perpaduan Palestin

RAMALLAH, 28 JAN: Jawatankuasa Pusat Parti Fatah pimpinan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas pada petang Ahad mengesyorkan pembentukan sebuah kerajaan negara perpaduan tidak lama lagi, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan jawatakuasa itu.

Dalam kenyataan susulan satu mesyuarat yang dipengerusikan Abbas, jawatankuasa itu berkata kerajaan perpaduan baharu tersebut hendaklah terdiri daripada golongan politik, anggota Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan tokoh bebas Palestin bagi menggantikan kerajaan konsensus semasa yang diketuai Perdana Menteri Rami Hamdallah.

Jawatankuasa itu turut mengesyorkan pembentukan satu jawatankuasa yang membabitkan pemimpin Fatah bagi memulakan dialog dan perundingan dengan PLO berkaitan pembentukan kerajaan baharu.

Kerajaan konsensus semasa Palestin dibentuk pada pertengahan 2014 selaras dengan satu perjanjian damai yang dicapai di Gaza di rumah pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.

SUMBER: BERNAMA