Categories
AGENSI SELANGOR

Mais pelawa orang ramai sedekah, bantu anak yatim

SHAH ALAM, 20 APRIL: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mempelawa orang ramai bersedekah ke Tabung Amanah Anak Yatim sepanjang Ramadan ini.

Setiausahanya, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata sumbangan untuk menambah dana bagi menjalankan program sosial selain penjagaan kebajikan anak yatim.

“Setakat ini lebih 8,000 anak yatim berdaftar di Yayasan Islam Darul Ehsan. Badan korporat turut diseru membantu kebajikan anak yatim ini sebagai tanggungjawab sosial bersama.

“Antara program dilaksanakan adalah sumbangan hari raya, bantuan persekolahan, majlis khatan, kem motivasi serta riadah santai,” katanya menerusi kenyataaan hari ini.

Jelas Ahmad Shahir, setiap tahun Baitulmal Mais membelanjakan RM500,000 bagi menyantuni anak yatim negeri ini termasuk kos pengurusan rumah kebajikan.

“Justeru, orang ramai yang mahu bersedekah boleh menggunakan transaksi secara dalam talian di http://fpx.mais.gov.my/epay/say.php.

“Sedekah ini akan mendapat pengecualian cukai di bawah Subseksyen 44 (6), Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya.

Pada 1 April lalu, Mais melancarkan kempen Jom Sedekah bagi membantu kebajikan anak yatim negeri ini dengan menyasar kutipan RM4 juta sepanjang Ramadan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kalimah Allah: Mais bimbang agama lain disebar kepada umat Islam

SHAH ALAM, 26 MAC: Kebenaran untuk agama Kristian menggunakan kalimah Allah dibimbangi membuka ruang pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan agama lain kepada umat Islam khususnya di negeri ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata  pihaknya menyokong tindakan kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Mac lalu.

“Mengikut Seksyen 9 Enakmen Agama Bukan lslam (Pengawalan Pengembangan Di Kalangan Orang lslam, 1988), mana-mana orang bukan lslam menggunakan kalimah Allah untuk menyatakan idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara atau hal mengenai sesuatu agama bukan lslam dalam Selangor adalah satu kesalahan.

“Fatwa diwartakan negeri ini pada 18 Februari 2010 juga memperuntukkan kalimah Allah tidak boleh diguna atau disamakan dengan agama lain dan wajib bagi orang lslam untuk menyekat penggunaan kalimah itu jika terdapat unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadapnya,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Pada 10 Mac Hakim Mahkamah Tinggi Nor Bee Ariffin memutuskan arahan KDN pada 5 Disember 1986 yang melarang penggunaan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Solat” dan “Kaabah” oleh orang bukan Islam adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan selain ia melampaui tujuan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Susulan itu, kerajaan persekutuan dan KDN pada 15 Mac lalu memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Selasa lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin bertitah golongan bukan Islam dilarang sama sekali menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka dan menganggap pihak berkaitan sentiasa akur seperti diperuntukkan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais salur bantuan kewangan, bantu 411 tahfiz

KUALA LANGAT, 14 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menghulurkan sumbangan RM100,000 kepada Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (Pitas) baru-baru ini.

Setiausaha Mais berkata bantuan itu bagi menaik taraf kira-kira 411 tahfiz seluruh Selangor.

“Kita harap sumbangan ini dapat membantu tahfiz dalam menyediakan kemudahan pembelajaran sempurna buat pelajar.

“Mais akan terus membantu institusi Islam di negeri ini dari semasa ke semasa,” kata Dr Ahmad Shahir Makhtar.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis serahan bantuan kepada Orang Asal di Surau Al-Hidayah, Taman Desa Kemandol, Jenjarom di sini semalam.

Pada majlis itu Mais membantu kira-kira 716 Orang Asal yang terkesan susulan Covid-19 dengan peruntukan sejumlah RM71,600.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais: 1,400 peluk Islam, sertai kursus dakwah dalam talian

SHAH ALAM, 13 MAC: Kira-kira 1,400 individu pelbagai bangsa di negeri ini memeluk Islam sepanjang tahun lalu, kata setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan meskipun negara berdepan pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah golongan ini terbuka hidayah untuk memeluk Islam malah kita juga tidak memaksa mereka untuk melafazkan Syahadah.

“Untuk tiga bulan pertama tahun ini sahaja kira-kira 300 individu telah memeluk Islam,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan kepada Orang Asal di di Surau Al-Hidayah, Taman Desa Kemandol, Jenjarom di sini.

Menurutnya, pandemik Covid-19 juga tidak menghalang Mais untuk membimbing golongan tersebut walaupun pembelajaran banyak dilaksana menerusi dalam talian.

“Kita juga tidak sangka penglibatan peserta dalam kursus dakwah secara dalam talian juga meningkat dari hari ke hari.

“Justeru, Mais akan terus memastikan program ini sentiasa subur walaupun berdepan situasi wabak,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais santuni 716 Orang Asal, hulur bantuan makanan asas

KUALA LANGAT, 13 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyantuni kira-kira 716 keluarga Orang Asal yang terkesan wabak Covid-19.

Setiausahanya berkata sebanyak RM71,600 diperuntukkan melalui sumber wang fidyah khusus untuk membantu meringankan beban golongan berkenaan.

“Setiap keluarga terima bantuan keperluan makanan asas bernilai RM100 meliputi beras, minyak masak, gula, tepung dan bihun.

Setiausaha Mais, Dr Ahmad Shahir (tengah) bergambar bersama penerima ketika program Mais santuni dan bantu 716 orang asal di Taman Desa Kemandol di Surau Al-Hidayah, Jenjarom, Kuala Langat pada 13 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Sumbangan ini juga bagi memastikan tiada masyarakat Orang Asal terputus bekalan makanan ketika pandemik dan semoga sedikit sebanyak membantu mereka,” kata Dr Ahmad Shahir Makhtar.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis serahan bantuan kepada Orang Asal di Surau Al-Hidayah, Taman Desa Kemandol, Jenjarom di sini.

Menurutnya setakat ini, Mais telah mengagihkan wang fidyah sebanyak RM719,000 kepada 7,191 orang.

“Kita menyasarkan kira-kira 20,000 keluarga akan dibantu tahun ini antaranya golongan kategori berpendapatan rendah (B40), peniaga terjejas dan individu hilang kerja,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima Muhammad Affendi Ali Abdullah, 52, berterima kasih atas bantuan itu dan berharap diteruskan dari semasa ke semasa.

Nurfatimah Chinta Abdullah

Nurfatimah Chinta Abdullah, 61, pula berkata sumbangan berkenaan sangat membantu terutama mereka yang mempunyai ahli keluarga ramai.

“Bantuan ini dapat menampung kos perbelanjaan makanan bulanan kami sekeluarga, terima kasih Mais,” katanya yang tinggal bersama tujuh ahli keluarga dalam satu satu rumah.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais wujud pusat informasi tangani Islamofobia

SHAH ALAM, 11 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menubuhkan pusat penerangan bagi menangani isu Islamofobia dan salah tanggapan terhadap Islam.

Pengarah pembangunan sosialnya berkata Pusat Informasi Islam Mais (PIIM) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini menjadi pusat rujukan berkaitan keindahan ajaran Islam kepada pengunjung dalam dan luar negara.

“Pelancong berpeluang merasai pengalaman baharu meneroka keindahan Islam secara visual dan infografik selain diberi buku serta risalah termasuk cenderahati sebagai penghargaan melawat pusat tersebut,” kata Suhaimi Ismail selepas program promosi PIIM hari ini.

Beliau memaklumkan pelbagai aktiviti dilaksana sejak pusat bertemakan ‘Islam Untuk Semua’ itu beroperasi secara rasmi pada 1 April 2016 di bawah kendalian Islamic Outreach ABIM Centre (IOAC) yang bertindak selaku operator.

Katanya, aktiviti dijalankan meliputi lawatan galeri, soal jawab Islamofobia, perbincangan antara agama, majlis syahadah, kelas al-Quran dan bahasa Arab, kelas Iqra Mualaf, diskusi ilmiah serta iftar Ramadan.

Pusat berkenaan dibuka setiap hari kecuali cuti umum dari 9 pagi hingga 5 petang dan masuk adalah percuma.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari Facebook Mais Islamic Information Centre atau hubungi 011-61892146 dan 013-3942736.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais bantu 200 keluarga mangsa banjir Temerloh

SHAH ALAM, 15 JAN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbang 200 pek makanan kering kepada mangsa banjir di Kampung Baduk dan Kampung Teluk Sentang, Temerloh, Pahang.

Pengurus Besar Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) berkata pek makanan kepada 200 keluarga itu mengandungi beras, tepung gandum, susu pekat, air mineral, biskut dan garam dihantar melalui konvoi misi bantuan.

“Mangsa banjir turut menerima selimut dan set penjagaan diri seperti berus dan ubat gigi, sabun mandi, kain pelikat serta kain batik,” kata Nur Mohd Razali Abdullah hari ini.

Terdahulu, konvoi disertai kakitangan Mais, Lembaga Zakat Selangor, Perbadanan Wakaf Selangor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Bakti Suci Holdings Sdn Bhd dan Teraju Ekonomi Asnaf Selangor itu disempurnakan Pengerusi Mais, Tan Sei Abdul Aziz Mohd Yusof serta Pengerusi Yide, Datuk Bakhtiar Hussin.

Nur Mohd Razali berkata, pihaknya prihatin dengan musibah yang melanda rakyat Pahang dan bantuan diberi bagi meringankan beban mangsa banjir selain menganggap solidariti kemanusiaan buat rakyat negeri itu.

“Perkembangan banjir kali ini direkodkan paling luas di Pahang dengan kebanyakan sungai juga melepasi paras bahaya serta selain beberapa jalan utama terputus disebabkan tanah runtuh,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais agih bantuan fidyah di Kuala Selangor, Sabak Bernam

SHAH ALAM, 30 DIS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan bantuan fidyah kepada 309 penerima sekitar Kuala Selangor dan Sabak Bernam semalam.

Agensi berkata kos keseluruhan bantuan bernilai RM30,900 itu meliputi makanan kering berupa beras, minyak, gula, tepung dan susu.

“Fidyah merupakan bayaran denda yang dikenakan kepada seseorang yang tidak dapat menggantikan puasa Ramadan sehingga tiba tahun berikutnya.

“Bantuan ini dapat meringankan beban kepada penerima yang terkesan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan akan diberikan secara berperingkat” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Agensi berkata agihan disempurnakan Pengarah Pembangunan Sosial Mais, Suhaimi Ismail serta Pengurus Pendaftar Muallaf dan Pembangunan, Mohd Romzi Mohd Sani.

“Umat Islam yang ingin membuat bayaran fidyah boleh melayari laman web Mais di MAIS – Majlis Agama Islam Selangor atau bayaran boleh dibuat terus menerusi http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais tanggung kos rawatan kesihatan 1,000 penghuni rumah pemulihan

KAPAR, 25 DIS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memperuntukkan RM1.9 juta bagi menampung kos rawatan kesihatan 1,000 penghuni Rumah Pemulihan Riqab (RPR) di seluruh negeri ini.

Anggota Mais, Prof Dato’ Dr Mujaini Tarimin berkata sumbangan membabitkan penghuni daripada 26 rumah pemulihan berkenaan akan diagihkan pada tahun depan.

“Bantuan Pemulihan Sukuan Keempat ini adalah peruntukan tahun 2020 tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kita terpaksa tangguhkan ke tahun 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bekalan Makanan Kering dan Barangan Sekolah kepada RPR di Madrasah Darul Islah, di sini.

Pada majlis itu, tujuh RPR menerima bantuan makanan kering seperti beras, tepung gandum, gula, minyak masak, bihun, kicap dan susu bagi meringankan beban pihak pengurusan yang terkesan pandemik Covid-19.

Sumbangan fasa kedua itu dilaksanakan secara berperingkat bermula semalam sehingga 28 Disember meliputi Klang, Petaling, Kuala Selangor, Gombak, Hulu Selangor dan Sabak Bernam.

Categories
AGENSI SELANGOR

PKPB: Operasi Mais diteruskan, urusan melalui janji temu

SHAH ALAM, 22 DIS: Orang ramai yang mahu berurusan di Majlis Agama Islam Selangor (Mais) diminta membuat janji temu sehingga 31 Disember ini.

Agensi berkata langkah itu dibuat susulan negeri itu masih di bawah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Pelanggan boleh mendapatkan waktu dan tarikh janji temu menerusi panggilan telefon atau e-mel kepada [email protected] .

“Mais mengambil langkah proaktif bagi memastikan urusan pelanggan tetap diteruskan namun mereka perlu mendapatkan tarikh bagi tujuan berkenaan terlebih dahulu,” katanya menerusi kenyataan.

Waktu urusan bermula dari jam 9 pagi hingga 3 petang sahaja manakala bagi urusan pembayaran di kaunter kewangan dibuka sehingga jam 3 petang namun tidak memerlukan janji temu.

Senarai nombor telefon yang boleh dihubungi:
1. Pengurusan wasiat, hibah, harta pusaka dengan perkara berkaitan Baitulmal (019-3830032 / 019-2661404 / 03-55143772 / 3772 / 3773)
2. Sewaan hartanah (019-2302040 / 019-2640631 / 03-5514 3400 ext 2187)
3. Bahagian pendaftaran mualaf (014-3245146 / 03-33614000)
4. Bahagian pemulihan ar-riqab (019-2646277 / 03-33614088 / 03-33614080)
5. Bahagian kewangan (019-666 4123 / 03-55143753 / 03-55142741)
6. Unit guaman syarie – nasihat perundangan syariah dan permohonan bantuan guaman syarie (03-55143643)

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Komunikasi Korporat Mais di talian 03-55142175.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais hulur bantuan kepada 200 keluarga Islam terjejas banjir di Kemboja

SHAH ALAM, 30 NOV: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbang RM10,000 kepada 200 keluarga Islam di Kemboja yang menjadi mangsa banjir bulan lalu.

Setiausaha Mais, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata penerima dari keluarga fakir, miskin dan anak yatim itu menerima sumbangan seperti beras, gula, minyak masak dan susu bagi memenuhi keperluan mereka.

“Peruntukan dari Baitulmal Mais ini bertujuan memenuhi maslahah ummah terutamanya membantu mereka yang memerlukan.

“Diharap sumbangan ini dapat memberi manfaat dan meringankan beban untuk mereka kembali membina kehidupan baharu,” katanya menerusi kenyataan di Facebook kelmarin.

Sumbangan diserahkan kepada Persatuan Kebajikan Pendidikan Islam Kemboja bagi memudahkan urusan pengagihan.

Pada 23 Oktober lalu, beberapa kawasan penempatan umat Islam di Kemboja mengalami banjir. Antaranya Wilayah Pusat, Kandal, Banttangbong Kg Cham dan Phnom Penh.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais tambah baik sistem pengurusan ke arah digital

SHAH ALAM, 5 NOV: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menambah baik sistem pengurusan dokumen bagi mempercepatkan urusan merekod data agensi itu bermula September lalu.

Setiusahanya, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata Sistem Pengurusan Dokumen Digital (DDMS) itu meningkatkan kepantasan akses, mengurangkan penggunaan kertas serta menjamin maklumat efisien.

“Pergerakan dokumen dalaman Mais juga secara dalam talian. Sistem ini memastikan
pengurusan dan proses dokumen lebih tersusun serta tindakan lebih cepat dapat dilaksanakan,”katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berharap DDMS akan meningkatkan kualiti perkhidmatan Mais seiring dengan perkembangan teknologi selain menyokong amalan persekitaran hijau.