Categories
AGENSI SELANGOR

Mais: 2,500 daftar e-Wasiat, galak lebih ramai sertai

SHAH ALAM, 23 OKT: Seramai 2,500 individu mendaftar e-Wasiat iaitu perkhidmatan menguruskan harta pusaka dan wasiat secara dalam talian oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Mais berkata pihaknya menggalakkan lebih ramai menggunakan kemudahan berkenaan bagi membolehkan umat Islam menulis wasiat dengan lebih mudah, pantas dan efektif.

Jelasnya, tindakan awal seseorang individu mendaftar dengan e-Wasiat juga mampu menangani masalah pembahagian harta pusaka sekiranya sudah meninggal dunia.

“Pada masa sama, ia dapat mengelakkan sebarang isu pergaduhan atau perebutan harta pusaka antara waris sebagaimana yang kerap berlaku dalam masyarakat kita kini.

“Dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan kepentingan penulisan wasiat ini, Mais amat berharap, umat Islam khususnya di Selangor akan menggunakan kemudahan ini bagi pengurusan wasiat mereka,” kata Mais di Facebook.

Menurut Mais lagi, pengguna hanya perlu membuat pendaftaran e-Wasiat di www.mais.gov.my serta mengisi maklumat harta yang ingin diwasiatkan.

“Melalui sistem ini, ia akan melaksanakan pengurusan dan pembahagian wasiat dan harta pusaka dengan telus, adil dan profesional mengikut hukum syarak kepada benefisiari dan ahli waris,” katanya lagi.
⁣⁣
Bagi pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Harta Baitulmal Mais di talian 03-55143773 atau 03-55143772.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais buka operasi melalui janji temu sahaja mulai esok

SHAH ALAM, 13 OKT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) akan memulakan operasi melibatkan perjumpaan dengan pelanggan melalui janji temu sahaja bermula esok hingga 27 Oktober ini.

Bahagian Komunikasi Korporatnya berkata ia selaras Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa tengah malam ini.

“Mais mengambil langkah proaktif dengan memastikan setiap pelanggan yang berurusan di agensi ini perlu mendapatkan tarikh janji temu terlebih dahulu bagi setiap perkhidmatan ditetapkan.

“Hanya pelanggan mempunyai janji temu dibenarkan berurusan di premis Mais dan hendaklah sentiasa mematuhi langkah pencegahan Covid-19,” kata agensi itu dalam kenyataan.

Janji temu boleh dibuat menerusi nombor talian di bawah mengikut perkhidmatan disediakan atau e-mel terus ke [email protected].

1. Pengurusan wasiat, hibah, harta pusaka dengan perkara berkaitan baitulmal (019-3830032 / 019-2661404 / 03-55143773 / 3772)
2. Sewaan hartanah (019-2302040 / 019-2640631 / 03-5514 3400 sambungan 2187)
3. Bahagian pendaftaran muallaf (014-3245146 / 03-33614000)
4. Bahagian pemulihan Ar-Riqab (019-2646277 / 03-33614088 / 03-33614080)
5. Bahagian kewangan (019-666 4123 / 03-55143753 / 03-55142741)
6. Unit Guaman Syarie – Nasihat Perundangan Syariah & Permohonan Bantuan Guaman Syarie (03-55143643)

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor lancar pelan Mais bangunkan ummah, syiar Islam

SHAH ALAM, 22 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melancarkan Pelan Strategik Majlis Agama Islam Selangor (Mais) 2020-2024.

DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut mencemar duli ke majlis di Istana Kayangan, dekat sini.

Setiausaha Mais, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata pelan diinspirasikan Sultan Sharafuddin itu dibangunkan bersama beberapa agensi negeri bagi mendaulatkan syiar Islam dalam memperkasakan ummah Selangor.

Melalui pelan lima tahun itu sembilan strategi dan 16 inisiatif disasarkan merangkumi aspek ekonomi, modal insan, undang-undang, pendidikan dan agama.

“Kita mahu melahirkan generasi bertakwa kepada Allah. Usaha ini memberi kesan positif terhadap masalah sosial seperti ajaran sesat, anak luar nikah dan sumbang mahram.

“Diharap pelan ini menjadi panduan Mais. Agensi agama bawah Sultan Selangor dijadikan contoh institusi Islam yang berupaya membangunkan sosioekonomi ummah merangkumi semua aspek,” katanya.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Mais serius tangani fahaman liberal, sangkal dakwaan ‘berpeluk tubuh’

SHAH ALAM, 7 SEPT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) sentiasa memandang serius dan memberi keutamaan terhadap isu berkaitan akidah umat Islam termasuklah ancaman gerakan liberal yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, kata Pengerusinya Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Beliau berkata pihaknya bersama pihak berkuasa agama Islam negeri iaitu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Selangor juga bekerjasama bagi menangani dan mencegah penyebaran fahaman serta ajaran yang menyeleweng daripada agama Islam.

“Oleh itu, kenyataan yang diketengahkan sebuah akhbar tempatan mengatakan majlis agama Islam negeri ‘berpeluk tubuh’ serta makan gaji buta dalam mengekang penularan fahaman liberal yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah tidak tepat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan bagi menjawab laporan sebuah akhbar berbahasa Melayu hari ini yang mendakwa institusi agama dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia tidak mengambil tindakan dalam mengekang penularan fahaman liberal yang bercanggah dengan agama Islam.

Malah, kata Mohammed Khusrin, fatwa berhubung pemikiran liberalisme dan pluralisme agama yang diwartakan pada 31 Julai 2014 turut menyatakan bahawa mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam.

“Mais dan Jabatan Mufti Negeri Selangor juga melaksanakan program penerangan secara berterusan berkaitan fatwa tersebut kepada pelajar sekolah, pegawai di jabatan kerajaan dan orang awam,” katanya.

Katanya, tindakan dan pemantauan berterusan melalui media sosial juga dilakukan bagi membendung penyebaran fahaman liberalisme.

Mohammed Khusrin berkata Mais juga ada menerbitkan beberapa buku berkaitan kesedaran akidah untuk rujukan orang ramai malah Jais sentiasa proaktif melaksanakan aktiviti pemantauan, risikan dan siasatan secara berterusan termasuk dengan kerjasama orang awam ke atas fahaman sedemikian yang disyaki kembali aktif.

Justeru, katanya umat Islam di Selangor dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak terpengaruh dengan kepercayaan fahaman yang telah difatwakan sesat.

“Ini kerana fatwa tersebut mengikat semua orang Islam di Selangor untuk mematuhinya. Kegagalan mematuhi fatwa berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 12 (c) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.

“Umat Islam juga dinasihatkan supaya menghubungi talian hotline penguatkuasaan Jais iaitu 1-800-88-2424 untuk sebarang aduan atau maklumat berhubung fahaman liberalisme di negeri ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais, IRM bantu 44 keluarga terkesan pandemik Covid-19

SHAH ALAM, 20 OGOS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bersama Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) Islamic Relief Malaysia (IRM) mengagihkan sumbangan makanan asas kepada 44 keluarga di Kampung Perigi Nanas, Pulau Indah hari ini.

Mais dalam kenyataan memaklumkan sumbangan itu bagi meringankan beban dan tanggungan keluarga yang benar-benar terkesan susulan Covid-19.

“Menjadi tanggungjawab Mais memenuhi keperluan muslim di Selangor dalam keadaan bencana dan pasca bencana.

“Mais dan IRM harap sumbangan ini dapat menceriakan keluarga dan meringankan sedikit bebanan mereka ketika berhadapan dengan pandemik Covid-19,” katanya.

Sumbangan diserahkan Ketua Audit Dalam Mais, Zaharudin Salim.

Turut hadir Ketua Kampung Kampung Perigi Nenas, Fauzi; Pengurus Bahagian Program IRM Halimahton Saadiah; Pengurus Bahagian Pengurusan Komuniti IRM, Haris Sharim dan Pengurus Bahagian Kreatif dan Inovasi IRM Fadhilah Rahim.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais: Masyarakat perlu dibantu walau norma baharu

SHAH ALAM, 6 OGOS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengingatkan semua pihak supaya memberikan sepenuh tanggungjawab membantu antara satu sama lain meskipun dalam situasi norma baharu.

Peringatan itu dinyatakan Setiausahanya, Dr Ahmad Shahir Makhtar menerusi seminar Pasca Covid-19 (Atur Strategi Membangun Ummah) semalam.

“Semua pihak diingatkan berusaha membangunkan ummah walau dalam suasana norma baharu,” kata beliau ketika berucap merasmikan seminar itu semalam.

Seminar yang dihadiri 60 peserta itu menjadi medan informasi terkini dalam menyusun keutamaan dan strategi baharu bagi memastikan masyarakat sentiasa terbela.

Seminar setengah hari itu diteruskan dengan perkongsian berkaitan tajuk Pasca Covid19- Implikasi, Prioriti dan Strategi oleh Penasihat Ekonomi dan Korporat kepada Dato’ Menteri Besar, Dr Zulkufli Zakaria.

Kemudian diikuti dengan perkongsian bertajuk “Surviving The Low Touch Economy” oleh Penganalisis Kewangan dan Ekonomi, Prof Madya Aimi Zuhazmi Abdul Rashid.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais: 497 golongan LGBT berjaya pulih tahun lalu

SHAH ALAM, 24 JULAI: Seramai 497 golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) berjaya dipulihkan sepanjang tahun lalu, menurut Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Setiausahanya, Ahmad Shahir Makhtar berkata agensi itu bertindak secara proaktif memulihkan golongan tersebut dengan pembiayaan penuh peruntukan zakat asnaf al-Riqab.

“Tujuan kami untuk membantu golongan ini melalui proses pemulihan dan bimbingan dalam program yang dijalankan oleh Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan dan pihak berdaftar di bawah Mais.

“Mereka ini secara aktif melaksanakan program membebas, mengurus, melindungi, merawat dan memerdekakan golongan ini supaya dapat menjalani kehidupan sempurna menurut Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Mais menyeru semua individu muslim yang terlibat dengan masalah akidah dan sosial untuk menyertai program pemulihan yang terdapat di rumah pemulihan berdaftar dengan menghubungi Bahagian Pemulihan al-Riqab Mais di talian 03-3361 4080.

Categories
AGENSI SELANGOR

Urusan di Mais secara janji temu sahaja mulai hari ini

SHAH ALAM, 1 JUN: Semua urusan khidmat pelanggan di Majlis Agama Islam Selangor (Mais) adalah secara janji temu sahaja mulai hari ini hingga 30 Jun.

Mais dalam kenyataan memaklumkan keadah itu digunakan sebagai usaha mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan orang awam hendaklah mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika berurusan.

“Bagi urusan bayar sewa boleh terus ke kaunter kewangan Mais yang beroperasi setiap Isnin, Rabu dan Jumaat jam 9 pagi hingga 12.45 tengah hari. Maklumat lanjut boleh layari www.mais.gov.my,” maklum Mais di Facebook.

Berikut adalah beberapa talian untuk dihubungi bagi urusan janji temu:

– Pengurusan wasiat, hibah, harta pusaka dan perkara berkaitan Baitulmal
019-264 7637 / 019-383 0032 / 019-266 1404 / 03-5514 3773 / 3773

– Sewaan hartanah
019-230 2040 / 019-264 0631 / 03-5514 2187

– Bahagian pendaftaran Muallaf
014-324 5146 / 03-3361 4000

– Bahagian pemulihan al-Riqab
019- 264 6277 / 03-3361 4080 / 4088

– Bahagian kewangan
019-966 4123 / 03-5514 3753 / 3741

– Unit Syariah Nasihat Perundangan Syariah dan Permohonan Bantuan Guaman Syarie
03-5514 3643

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais hargai petugas LZS, sumbang set makanan ringan

SHAH ALAM, 30 APRIL: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) semalam menyumbang 150 set makanan ringan kepada petugas hadapan institusi Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang menguruskan penghuni di beberapa asrama dan penempatan kedua-dua agensi berkenaan.

Setiausaha Mais Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata sumbangan kurma, air kotak dan roti diagihkan kepada petugas serta penghuni di Baitul Hasanah (asrama anak asnaf fakir miskin), Baitus Salam (rumah perlindungan muallaf) dan Bait al-Mawaddah (penempatan warga emas).

“Program ini bagi memberikan motivasi dan sokongan terhadap komitmen mereka yang bertugas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ketika ada yang berada di rumah, namun mereka sebagai barisan hadapan terus bertugas demi agama, bangsa dan negara serta sebagai tanggungjawab kepada Mais dan LZS,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pengurusan Institusi LZS Md Yusmizan Yusuf merakamkan terima kasih atas kunjungan Mais dan menghargai sumbangan yang diberikan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide-Mais sumbang makanan asas sempena Ramadan

SHAH ALAM, 24 APRIL: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbang makanan asas kepada 10 rumah anak yatim di sekitar negeri ini sempena menyambut Ramadan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Pengurus Besar Yide Nur Mohd Razali Abdullah berkata makanan asas yang disumbang meliputi beras, minyak masak, gula, kicap dan tepung gandum.

“Agihan makanan asas bertujuan memastikan setiap rumah anak yatim ini mempunyai makanan asas yang lengkap dan cukup untuk disediakan kepada 395 orang (anak yatim),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata bantuan kepada mereka yang memerlukan adalah hasil sumbangan orang ramai melalui Tabung Covid-19 Mais.

“Selain itu, kita turut mendapat kerjasama dengan QSR Brands Holdings Bhd melalui Pizza Hut Restaurants Sdn Bhd yang menyediakan set hidangan pizza buat rumah anak yatim seliaan Yide,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan bantuan melalui Tabung Prihatin Covid-19 Mais dengan melayari http://fpx.mais.gov.my/epay/sedekah.php atau pindahan wang ke nombor akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) (12038010134961) atas nama Majlis Agama Islam Selangor. (Nyatakan:Tabung sumbangan Covid19).

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais hulur bantuan kepada penghuni rumah pemulihan

SHAH ALAM, 17 APRIL: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyerahkan 146 set bekalan makanan asas kepada penghuni di dua Rumah Pemulihan Al Riqab di Jalan Kebun semalam.

Mais dalam kenyataan di Facebook memaklumkan rumah tersebut adalah Rumah Penjagaan Damai yang menerima 56 set makanan dan Madrasah Darussolihin (90 set) dengan kos keseluruhan melibatkan RM7,300.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Zawawi Mughni yang juga anggota Mais turut bersama meluangkan masa dan menyerahkan sumbangan di kedua-dua rumah tersebut.

Zawawi turut menzahirkan terima kasih kepada Mais dan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) yang membantu penduduk terjejas terutamanya penghuni rumah penjagaan ini.

“Semoga dengan sumbangan ini dapat membantu mereka untuk hidup dengan lebih baik dan selesa. Terima kasih kepada Mais dan Teras kerana cepat bertindak,” katanya.

Bantuan itu disalurkan hasil sumbangan Tabung Prihatin Covid-19 Mais dan orang ramai dialu-alukan untuk terus menderma demi membantu golongan memerlukan dan petugas barisan hadapan.

Untuk sumbangan boleh terus layari http://fpx.mais.gov.my/epay/sedekah.php⁣ atau secara pindahan wang ke nombor akaun 12038010134961, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), atas nama Majlis Agama Islam Selangor, (Nyatakan: Tabung Sumbangan Covid-19).⁣

Sumbangan anda akan mendapat pengecualian cukai pendapatan di bawah Seksyen 44(6), Akta Cukai Pendapatan 1967 nombor rujukan LHDN 01/35/42/51/179-6 5621 dan nombor Warta Kerajaan 14369 bertarikh 27.07.2004.

Categories
AGENSI SELANGOR

PKP: Mais bantu penduduk pangsapuri Taman Kosas

SHAH ALAM,12 APRIL: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menjayakan program #musaadahcovid19 dengan mengedarkan makanan kepada penduduk pangsapuri kos rendah, Taman Kosas, Ampang semalam.

Ketua Audit Dalam Mais, Zaharuddin Salim berkata bantuan itu memastikan kebajikan mereka tidak terabai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Walaupun mata pencarian mereka tergendala, tetapi ketabahan dan kesungguhan golongan ini mematuhi PKP amat dihargai. Semoga mereka terus bersabar, mudah-mudahan isu Covid-19 dapat diselesaikan, Insya Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook Mais semalam.

Bantuan disampaikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin itu berupa makanan sumbangan Syarikat QSR Brands seperti  KFC, Pizza Hut dan Ayamas.

Program tersebut anjuran Syarikat QSR Brands dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji; Mais, Lembaga Zakat Selangor serta Pertubuhan Belia Girl2Leader Malaysia.