Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais giat agih bantuan makanan, tumpu keluarga susah

SHAH ALAM, 12 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyasar lebih RM1 juta bantuan makanan disalur kepada golongan terkesan Covid-19 sepanjang tahun ini.

Pengarah pembangunan sosialnya Suhaimi Ismail berkata sumbangan ditumpukan kepada kelompok keluarga berpendapatan rendah (B40) dan individu kehilangan atau diberhenti kerja.

“Agihan makanan bernilai RM100 setiap satu meliputi barangan keperluan asas hasil inisiatif Mais dan pihak berkaitan diharap sedikit sebanyak meringankan beban mereka dalam meneruskan kelangsungan hidup,” kata Suhaimi Ismail selepas program promosi Pusat Informasi Islam Mais (PIIM) di sini semalam.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan mengagihkan bantuan sama kepada 125 keluarga masyarakat Orang Asli di Bukit Komandul, Kuala Langat dalam masa terdekat.

Untuk tiga bulan pertama tahun ini, Mais mengagihkan RM545,500 wang fidyah berupa makanan asas kepada 5,455 keluarga terjejas pandemik.

Bantuan disalur dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor, Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd, Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan serta masjid dan surau di daerah berkenaan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pelancong asing antara 20 individu masuk Islam di pusat informasi Mais

SHAH ALAM, 11 MAC: Seramai 20 individu termasuk pelancong asing menganut agama Islam selepas mengadakan lawatan ke Pusat Informasi Islam Mais (PIIM) sejak 2019.

Pengarah pembangunan sosial Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkata mereka terdiri daripada 14 rakyat tempatan dan enam warga asing yang dibimbing sukarelawan pelancong Islamic Outreach ABIM Centre (IOAC) apabila melafazkan kalimah syahadah.

“Penerangan mengenai Islam diberikan dan tiada paksaan dalam perkara ini sebaliknya memberi ruang untuk mereka benar-benar memahami serta terbuka memilih Islam.

“Warga tempatan yang mendapat hidayah akan dirujuk ke Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) manakala pelancong asing disyor mendaftar dengan badan bukan kerajaan (NGO) atau rumah ibadat di negara mereka,” kata Suhaimi Ismail selepas program promosi PIIM di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata seramai 14,240 pelancong mengunjungi pusat tersebut sejak ditubuhkan 1 April 2016 hingga akhir tahun lalu dengan 69.2 peratus daripadanya bukan Islam.

Menurutnya, pelancong dari Jepun antara yang tertinggi melawatnya setiap tahun iaitu sekitar 7,000 orang diikuti China, Taiwan, Hong Kong dan Amerika Syarikat.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais wujud pusat informasi tangani Islamofobia

SHAH ALAM, 11 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menubuhkan pusat penerangan bagi menangani isu Islamofobia dan salah tanggapan terhadap Islam.

Pengarah pembangunan sosialnya berkata Pusat Informasi Islam Mais (PIIM) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini menjadi pusat rujukan berkaitan keindahan ajaran Islam kepada pengunjung dalam dan luar negara.

“Pelancong berpeluang merasai pengalaman baharu meneroka keindahan Islam secara visual dan infografik selain diberi buku serta risalah termasuk cenderahati sebagai penghargaan melawat pusat tersebut,” kata Suhaimi Ismail selepas program promosi PIIM hari ini.

Beliau memaklumkan pelbagai aktiviti dilaksana sejak pusat bertemakan ‘Islam Untuk Semua’ itu beroperasi secara rasmi pada 1 April 2016 di bawah kendalian Islamic Outreach ABIM Centre (IOAC) yang bertindak selaku operator.

Katanya, aktiviti dijalankan meliputi lawatan galeri, soal jawab Islamofobia, perbincangan antara agama, majlis syahadah, kelas al-Quran dan bahasa Arab, kelas Iqra Mualaf, diskusi ilmiah serta iftar Ramadan.

Pusat berkenaan dibuka setiap hari kecuali cuti umum dari 9 pagi hingga 5 petang dan masuk adalah percuma.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari Facebook Mais Islamic Information Centre atau hubungi 011-61892146 dan 013-3942736.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kembara dakwah Mais didik kumpulan LGBT

SHAH ALAM, 26 FEB: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menjalankan program dakwah kepada kelompok lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Kota Bharu, Kelantan pada 21 hingga 23 Februari lalu bagi membantu golongan berkenaan, kata pengarah pembangunan sosialnya.

Suhaimi Ismail berkata menerusi Kembara Mahabbah Komuniti Disayangi Siri 1/2020, bimbingan diberikan akan membantu mereka membentuk diri menjadi umat Islam taat pada agama dan berjaya pada masa depan.

“Program menerapkan konsep dakwah santai melalui siri lawatan ke tempat mempunyai unsur pelajaran dan nilai murni antaranya Masjid Beijing, Masjid Sultan Ismail Petra, Muzium Islam Kelantan dan Pondok Maahad Diniah Pasir Tumbuh.

“Kami berharap ia akan mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap golongan berkaitan,” katanya dalam kenyataan di Facebook Mais.

Program kembara dilaksanakan Bahagian Pemulihan Riqab Mais membabitkan 29 kelompok LGBT di beberapa lokasi sekitar Kota Bharu selama tiga hari dua malam dan antara aktivitinya ialah solat berjemaah, tazkirah agama, slot kuiz agama dan sesi muhasabah diri.