Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBPJ rangkul tiga anugerah khas pengurusan projek mampan

SHAH ALAM, 5 APRIL: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) merangkul tiga anugerah khas susulan kejayaan mencapai objektif pembangunan mampan pertubuhan bangsa-bangsa bersatu (PBB).

Sekretariat media Unit Komunikasi Korporatnya berkata anugerah Projek Kebun Kita@ Jabatan Landskap MBPJ, Projek Kebun Kita@Dataran Anak Muda PJ dan Projek Segar Tani@Damai Setia diraih sempena Malaysian GPM Sustainability Recognition Awards 2020 pada 30 Mac.

“Tahun lalu, Jabatan Landskap mencadangkan tiga projek iaitu Kebun Kita@Jabatan Landskap (kebun bandar di perkarangan pejabat sebagai showroom pertanian bandar), Kebun Kita@Dataran Anak Muda (kebun bandar diusahakan bersama komuniti PJS1 South Avenue) dan Segar Tani@Damai Setia (kebun bandar berkonsep ‘farm to table’ diusahakan komuniti Damai Setia).

“Pada 8 Disember, pihak penjurian mengumumkan jabatan ini sebagai penerima anugerah Projek of The Year 2020 bagi ketiga-tiga yang dipertandingkan. Anugerah ini adalah julung kali dianugerahkan kepada pencalonan projek oleh pihak berkuasa tempatan (PBT),” menurut jabatan itu dalam kenyataan.

Justeru, PBT itu berazam meneruskan khidmat perbandaran lebih cekap selaras harapan tinggi pemegang taruh selain memantapkan tadbir urus dalam usaha mencapai status bandar raya pintar, berdaya tahan dan dinamik menjelang 2025.

Penyertaan Penganugerahan Pengurusan Projek Hijau Malaysia 2020 dibuka pada 1 September hingga 31 Oktober tahun lalu.

Semua jenis projek layak dipertandingkan bagi penganugerahan itu jika mencapai objektif mana-mana 17 matlamat pembangunan mampan PBB dengan menekankan lima elemen penilaian iaitu produk, proses, sosial, persekitaran dan kemakmuran.

Categories
PBT SELANGOR

Peralihan bil cukai kepada elektronik, MBPJ jimat RM800,000

SHAH ALAM, 4 DIS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mampu menjimatkan kos operasi sebanyak RM800,000 setahun melalui peralihan serahan bil cukai taksiran secara fizikal kepada elektronik.

Datuk Bandar Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata penggunaan aplikasi e-cukai@MBPJ memudahkan lebih 250,000 pemilik harta di kawasan pihak berkuasa tempatan itu.

Menurutnya, sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini, MBPJ menerima sekurang-kurangnya 2,000 bil yang dikembalikan kerana tidak dapat diserahkan kepada pemilik harta.

“Pengembalian ini disebabkan alamat tidak lengkap dan menghadapi pelbagai masalah ketika penyerahan bil menggunakan alamat harta tanah kosong.

“(Justeru), kos operasi dapat dijimatkan jika tiada lagi penghantaran bil cukai secara fizikal yang diamalkan seperti sebelum ini,” katanya dalam perutusan Mesyuarat Majlis Bil.11/2020 pada 30 November.

Beliau berkata aplikasi memberikan perkhidmatan semakan bil cukai taksiran, pembayaran dan pertukaran alamat surat-menyurat boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple Store bermula penggal pertama tahun hadapan.

“Aplikasi ini menyediakan integrasi dengan epay@mbpj. Pemilik harta boleh membuat pembayaran bil cukai taksiran secara dalam talian dengan hanya menggunakan kad kredit, kad debit atau Pertukaran Proses Kewangan (FPX).

“Pengemaskinian pembayaran melalui aplikasi ecukai@mbpj adalah secara waktu sebenar dan mengurangkan pergerakan masyarakat berurusan di kaunter MBPJ,” katanya.

Tatacara penggunaan aplikasi boleh dirujuk di e-panduan laman yang boleh dimuat turun melalui laman sesawang www.mbpj.gov.my.

Mohd Roslan Kekal Datuk Bandar MBPJ

PETALING JAYA 2 OKT : Datuk Mohamad Roslan Sakiman masih kekal sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya(MBPJ) kerana jawatan berkenaan adalah statutori yang tertakluk di bawah Akta Kerajaan Tempatan.

Kenyataan ini dikeluarkan Sekretariat Media Unit Perhubungan Awam MBPJ hari ini.

Tulis kenyataan itu lagi, oleh kerana arahan tersebut adalah tidak sah, maka Mohamad Roslan masih lagi merupakan Datuk Bandar MBPJ dan masih boleh berkhidmat di MBPJ.

Ini kerana, Seksyen 10 Akta Kerajaan Tempatan 1976, jelas memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri untuk melantik Datuk Bandar, di mana Datuk Bandar dilantik mengikut prosedur di bawah undang-undang.

Surat itu juga memaklumkan MBPJ tidak bersetuju dengan surat arahan penempatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) kepada Mohamad Roslan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia.

Surat yang bertarikh 27 September 2012 tersebut diterima oleh Majlis pada 28 September 2012 dan arahan penempatan Mohamad Roslan sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor berkuatkuasa mulai 1 Oktober 2012.

“Dengan ini Majlis dengan tegas membantah arahan tersebut yang ternyata bercanggah dengan Seksyen 10 Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang jelas menyatakan memberi kuasa mutlak kepada Kerajaan Negeri untuk melantik Datuk Bandar Pihak Berkuasa Tempatan.

“Arahan pertukaran tersebut adalah tidak sah kerana Mohamad Roslan dilantik sebagai Datuk Bandar Petaling Jaya oleh Kerajaan Negeri dan perlantikan itu masih berkuatkuasa, ” kenyataan itu dipetik.

Kenyataan itu juga memaklumkan pada masa ini MBPJ dalam proses menyediakan bajet 2013 yang mana bertemakan PJ Prihatin.

Bajet ini dikemukakan kepada penduduk PJ yang mana kini dalam proses akhir pembentangan bajet yang dijadualkan pada hari Rabu, 3 Oktober ini.

“Arahan Jabatan Perkhidmatan Awam yang dikeluarkan secara serta merta dan tergesa-gesa ini akan menjejaskan proses penyediaan bajet 2013 ini yang melibatkan kepentingan orang awam khususnya rakyat Petaling Jaya juga boleh menjejaskan sistem pentadbiran dan pengurusan MBPJ,” kata kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu Majlis Bandaraya Petaling Jaya dengan tegasnya menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam memandang serius perkara ini. Kemungkinan perkara ini terpaksa dibawa ke mahkamah untuk satu deklarasi yang menyatakan tindakan arahan penempatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik kepada Mohamad Roslan adalah tidak sah dan ultra vires.