Categories
SELANGOR

Belanjawan Selangor 2014 tawar biasiswa Ijazah Lanjutan

halimah

SUBANG JAYA 23 SEPT: Belanjawan Selangor 2014 nanti akan menawarkan Biasiswa Menteri Besar dengan peruntukan sebanyak RM 1.1 juta sebagai permulaan.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata biasiswa itu akan diberikan kepada pelajar Ijazah Lanjutan melalui terbitan bon sebagai usaha membentuk sebuah Bank Pemikir Negeri Selangor (Selangor Brain Bank).

Katanya, ia akan dibentangkan di dalam belanjawan 2014 pada November depan dan akan dimulakan awal tahun 2014.

“Bagi portfolio Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, kita menyediakan perancangan jangka pendek dan jangka panjang bagi rakyat Selangor.

“SelepasĀ  berjaya memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyatnya negeri ini penggal lalu, Pakatan Selangor akan meningkatkan lagi khidmat itu dengan tawaran ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas pembentangan kertas cadangan Majlis Dialog Belanjawan Negeri 2014, di Hotel Grand Dorset Subang Jaya.

Halimah menambah antara perkara lain yang akan dilaksanakan pada tahun depan ialah mewujudkan Pusat Kajian Polisi Sosial.

“Pusat ini akan dikawal di bawah Pihak Berkuasa Tempatan negeri bertujuan untuk mengkaji apakah dasar-dasar yang akan kita lakukan, bagaimanapun kos untuk mengendalikan pusat ini masih dalam perbincangan,” katanya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan sebanyak RM 11.6 juta akan peruntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi pembangunan modal insan.

Dalam pembentangan itu yang bertajuk ‘Mengehsankan Insan di Selangor’, sebanyak tujuh rancangan jangka pendek dan panjang akan dilaksanakan dalam lima tahun akan datang dalam program pendidikan, pendidikan tinggi dan menangani gejala sosial.

Antaranya, mewujudkan program pembelajaran sepanjang hayat, peningkatan kemahiran, Kampus Terbuka Selangor, IMBE program kemahiran, Sultan Salahuddin Idris Shah Centre of Excellence dan Enakmen Yayasan Pendidikan Islam Selangor Maahad Tahfiz Integrasi.

“Rancangan ini sedang dalam kajian untuk dilaksanakan. Sebagai contoh, kita mahu mewujudkan Maahad Tahfiz di setiap daerah, setakat ini kita sudah mempunyai tiga buah dan memerlukan enam buah lagi,” katanya.