UNISEL rai kepelbagaian pendapat pemimpin

Universiti Selangor (UNISEL) sekali lagi melangkah ke hadapan apabila julung kali menjemput wakil parti kerajaan dan pembangkang dalam sesi wacananya hari ini.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, berkata usaha itu bagi memberi peluang kepada pelajar meraikan kepelbagaian pendapat di kalangan pemimpin.

Selangor bakal bina lebih banyak institut kemahiran, tingkat kemahiran belia

SINOPSIS

Kerajaan Negeri kini dalam usaha untuk mewujudkan lebih banyak institut latihan kemahiran di negeri itu terutama dalam usaha meningkatkan kemahiran belia.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, berkata pelaksanaan itu juga bagi menampung pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak berpeluang untuk menyambung pelajaran ke institut pengajian tinggi.

KAFA Menengah usaha Selangor perkasa Pendidikan Islam

SINOPSIS :

Penubuhan Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) ke peringkat menengah oleh Kerajaan Negeri adalah perintis kepada usaha meletakkan sistem pendidikan Islam di negeri itu ke persada arus perdana.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, berkata usaha terancang itu juga bertujuan memastikan kesinambungan pendidikan Islam dalam pembentukkan sahsiah diri pelajar tercapai.

Ini adalah proses memperkenalkan kembali Islam seperti yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W sebagai ad-din iaitu cara hidup yang syumul.

Categories
SELANGOR

2,003 graduan Unisel terima ijazah dan diploma 26 Oktober

Unisel-GrafikSHAH ALAM 23 OKT : Seramai 2,003 graduan Universiti Selangor (UNISEL) bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Istiadat konvokesyen yang dijalankan dalam empat sidang, pada 26 Oktober ini.

Pengarah Komunikasi Korporat UNISEL, Rosniza Mohamad Rasol, berkata istiadat itu akan disempurnakan Canselornya, Raja Tan Sri Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda dan turut dihadiri Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Pro-Canselor UNISEL, Datuk Setia Dr Anuar Masduki dan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali pada sidang pertama.

Katanya, tujuh graduan akan menerima ijazah kedoktoran falsafah dan profesional, ijazah sarjana (34), ijazah sarjana muda (1,025) dan 937 orang bagi diploma.

“Turut hadir pada istiadat kali ini adalah dari Politeknik Lembaga Pendidikan LP3I, Indonesia, seramai 42 orang terdiri daripada tujuh tenaga pengajar dan 35 pelajar terbaik seluruh republik itu.

“Penerima bagi Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Sains tahun ini adalah Rektor Institut Teknologi Bandung (ITB) Indonesia, Prof Dr Akhmaloka,” katanya.

Rosniza berkata, pemilihan Prof Dr Akhmaloka berdasarkan sumbangan beliau sebagai sarjana ulung dan keupayaan mengemudi ITB ke puncak kejayaan sehingga tercatat sebagai institusi dihormati.

Katanya, Unisel turut menganjurkan Pesta Konvokesyen UNISEL (FESKONISEL) yang dikendalikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang berlangsung pada 24 hingga 27 Oktober ini.

“Pelbagai aktiviti diadakan antaranya jualan pelbagai produk, sukaneka, nasyid, pameran kebudayaan, Forum Hal Ehwal Agama Islam dan Pameran Kejayaan UNISEL,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Selangor akan ambil alih untuk atasi kelemahan kewangan KUIS

halimah kuisSHAH ALAM 04 OKT : Kerajaan Negeri bercadang mengambil alih Kolej Univesiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) bagi menyelamatkan kolej itu daripada terus dilanda masalah kewangan.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, berkata usaha pembelian saham KUIS bersama Kerajaan Negeri itu, bagaimanapun masih dalam proses rundingan.

“KUIS adalah milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), jadi mustahil KUIS dari entiti yang berbeza akan memaklumkan semua masalahnya kepada Kerajaan Negeri seperti mana yang dilakukan Unisel.

“Setelah melihat KUIS berdepan masalah kewangan ditambah pula dengan prestasi yang tidak berapa baik, Kerajaan Negeri tampil membantu dengan membeli sahamnya,” ujarnya ketika dihubungi TVSelangor.

Dr Halimah berkata, dengan adanya pegangan saham itu nanti, Kerajaan Negeri mempunyai kuasa mengemas kini urus tadbir sedia ada, selain menyalurkan dana untuk menaik taraf kemudahan pendidikan di kolej itu.

Sementara itu, Timbalan Rektor Pengurusan Korporat KUIS, Dr Zulkefli Hamid berkata, pihak pengurusan kolej akan membuat kenyataan mengenai perkara itu dalam masa terdekat.

Baru-baru ini, Laporan Ketua Audit Negara 2012 memaklumkan prestasi kewangan KUIS didapati kurang memuaskan dengan kerugian sebelum cukai bernilai RM11.30 juta pada tahun 2011.

Turut ditekankan pada laporan tersebut ialah pengurusan KUIS yang dikendalikan KUIS Sdn. Bhd. kurang memuaskan termasuk tindakan pengambilan pelajar yang tidak mencapai sasaran ditetapkan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB ucap takziah pemergian Tan Sri Azizan -FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 25092013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim melalui kiriman twiter mengucapkan takziah atas pemergian itu.

2. Kerajaan Selangor merancang untuk menaikkan elaun guru Kelas Agama Fardu Ain (KAFA) daripada RM1,300 kepada RM1,500 sebulan,kata Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan , Dr Halimah Ali.

3. Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN) perlu mengaktifkan peranan Majlis Sukan Daerah (MSD) jika mahu mengembalikan kegemilangan sukan termasuk hoki di negeri ini.

4. Majlis Perbandaran Selayang menyita dua rangka bangunan milik JRD Development yang dipercayai untuk dijadikan stor barangan di Batu 20, Jalan Ipoh, Rawang.

Categories
SELANGOR

Selangor rancang kenaikan elaun guru KAFA kali ke-3

KAFA-GrafikSHAH ALAM 26 SEPT: Kerajaan Selangor merancang untuk menaikkan elaun guru Kelas Agama Fardu Ain (KAFA) daripada RM1,300 kepada RM1,500 sebulan, kata Dr Halimah Ali.

“Jumlah itu selaras dengan gaji minimum yang sebelum ini dua kali dinaikkan sejak Pakatan Rakyat memerintah negeri ini.

“Lebih kurang 7,000 guru KAFA akan menerima manfaat,” kata Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan itu.

Beliau berkata, Belanjawan Selangor 2014 memberi tambahan peruntukan dalam bidang pendidikan bagi memperkasa institusi pendidikan dan latihan kepada belia.

Malah, katanya, had kelayakan hadiah masuk ke IPT akan dinaikkan daripada RM1,500 kepada 3,000 bagi memberikan peluang lebih ramai menikmati bantuan itu.

Antara 2008 hingga 2013, Halimah berkata seramai 40,000 individu memohon mendapatkan hadiah itu tetapi hampir 10,000 permohonan ditolak kerana tidak mematuhi syarat.

Beliau berkata, golongan belia pula terus dibantu bagi mendapatkan latihan kemahiran bagi membantu mereka mendapatkan pekerjaan sesuai.

“Kita mahu tahap pembelajaran di negeri ini dalam keadaan kondusif sebagai sebuah negeri maju,” katanya.

– FZL

Categories
SELANGOR

Belanjawan Selangor 2014 tawar biasiswa Ijazah Lanjutan

halimah

SUBANG JAYA 23 SEPT: Belanjawan Selangor 2014 nanti akan menawarkan Biasiswa Menteri Besar dengan peruntukan sebanyak RM 1.1 juta sebagai permulaan.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata biasiswa itu akan diberikan kepada pelajar Ijazah Lanjutan melalui terbitan bon sebagai usaha membentuk sebuah Bank Pemikir Negeri Selangor (Selangor Brain Bank).

Katanya, ia akan dibentangkan di dalam belanjawan 2014 pada November depan dan akan dimulakan awal tahun 2014.

“Bagi portfolio Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, kita menyediakan perancangan jangka pendek dan jangka panjang bagi rakyat Selangor.

“SelepasĀ  berjaya memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyatnya negeri ini penggal lalu, Pakatan Selangor akan meningkatkan lagi khidmat itu dengan tawaran ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas pembentangan kertas cadangan Majlis Dialog Belanjawan Negeri 2014, di Hotel Grand Dorset Subang Jaya.

Halimah menambah antara perkara lain yang akan dilaksanakan pada tahun depan ialah mewujudkan Pusat Kajian Polisi Sosial.

“Pusat ini akan dikawal di bawah Pihak Berkuasa Tempatan negeri bertujuan untuk mengkaji apakah dasar-dasar yang akan kita lakukan, bagaimanapun kos untuk mengendalikan pusat ini masih dalam perbincangan,” katanya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan sebanyak RM 11.6 juta akan peruntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi pembangunan modal insan.

Dalam pembentangan itu yang bertajuk ‘Mengehsankan Insan di Selangor’, sebanyak tujuh rancangan jangka pendek dan panjang akan dilaksanakan dalam lima tahun akan datang dalam program pendidikan, pendidikan tinggi dan menangani gejala sosial.

Antaranya, mewujudkan program pembelajaran sepanjang hayat, peningkatan kemahiran, Kampus Terbuka Selangor, IMBE program kemahiran, Sultan Salahuddin Idris Shah Centre of Excellence dan Enakmen Yayasan Pendidikan Islam Selangor Maahad Tahfiz Integrasi.

“Rancangan ini sedang dalam kajian untuk dilaksanakan. Sebagai contoh, kita mahu mewujudkan Maahad Tahfiz di setiap daerah, setakat ini kita sudah mempunyai tiga buah dan memerlukan enam buah lagi,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Penyusunan air selesai Disember -FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 12092013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Penyusunan semula industri air di Selangor akan diselesaikan sebelum 31 Disember tahun ini setelah Kerajaan Negeri mendapat pengesahan daripada Kerajaan Pusat kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

2. Pengguna Lembah Klang yang terjejas akibat gangguan bekalan air digalak memfailkan tuntutan terhadap Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) di Tribunal Tuntutan Pengguna kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

3. Kemelut pelajar universiti tidak akan diberikan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ekoran badan itu gagal mengutip semula hutang perlu ditangani dengan segera, kata Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali

4. Kerajaan Negeri memaklumkan pihaknya masih menunggu maklum balas daripada Kerajaan Pusat berhubung pembinaan rumah teres seperti yang dijanjikan kepada 400 penghuni sementara di Pangsapuri Kos Rendah Taman Permata, Dengkil, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

5. Adun Taman Medan Haniza Talha kecewa dengan birokrasi pihak atasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (KEMAS) yang masih belum membuat keputusan berhubung penyertaan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) Kemas dalam Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS).

6. Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah membidas mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana memberi keterangan yang mereka sifatkan bohong kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja Berhubung Pendatang Asing Sabah.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Halimah – Bantuan galakan untuk Megat Imran dan Megat Zaid

DSC_0189aBANDAR PUNCAK ALAM 2 SEPT : Kecemerlangan dua beradik, Megat Imran dan Megat Zaid Megat Mohd Khushairi dalam permainan catur hingga terpilih mewakili Malaysia dalam 9th Asian Schools Chess Championship di Sri Lanka, mendapat penghargaan Kerajaan Negeri.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Dr Halimah Ali menyerahkan sumbangan bernilai RM7,000 kepada Megat Imran, 7, yang bertanding dalam kategori umur di bawah tujuh tahun dan adiknya, Megat Zaid, 5, yang bertanding dalam kategori umur bawah lima tahun.

Kejohanan bermula 30 Ogos hingga 6 September.

“Saya bagi pihak Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) dan Exco Kerajaan Negeri mengucapkan syabas dan tahniah kepada anak-anak kita ini dan doakan mereka berjaya di dalam pertandingan catur yang akan disertai,” kata Halimah kepada TVSelangor selepas majlis penyampaian sumbangan RM7,000 kepada adik Megat Imran dan Megat Zaid di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Edu-Kids Al-Amin.

Paling membanggakan, Megat Zaid adalah wakil tunggal negara dalam kategori itu manakala abangnya bersama dua peserta lain dalam kategori disertai di samping beberapa peserta lain dalam kategori masing-masing ke kejohanan berkenaan.DSC_0224a

Halimah berharap kejayaan mereka akan menjadi inspirasi kepada anak muda lain di negeri ini untuk berusaha gigih mencipta kejayaan dalam bidang masing-masing khususnya bidang baru seperti catur yang mampu mencabar minda seseorang itu.

“Semoga mereka ini boleh mencetuskan satu keterujaan baru di kalangan anak-anak muda di Selangor. Permainan catur ini adalah satu cara yang baik untuk mengasah minda mereka dan kita mengharapkan mereka akan membantu melakarkan sejarah di Selangor hingga kita boleh melahirkan ilmuan-ilmuan yang berkaliber pada masa depan,” katanya.

Pasti Edu-Kids Al-Amin berdaftar di bawah Majlis Permuafakatan Tadika Selangor dan termasuk dalam skim bantuan Tunas.

Turut hadir, ibu bapa Megat Imran dan Megat Zaid, Megat Mohd Khusairi Megat Aris dan Norashikin Arif serta Pengetua Pasti Edu-Kids Al-Amin, Norbaiti Pijar.

Megat Mohd Khushairi, 32, berkata, sumbangan Kerajaan Negeri amat bermakna bagi keluarga itu dan banyak membantu persiapan kedua anaknya.

Beliau menambah, kedua anaknya serius di dalam permainan catur sejak akhir tahun lalu dan aktif menyertai pelbagai kejohanan tempatan sejak awal tahun ini.

“Sejak Januari tahun ini mereka menunjukkan permainan yang baik dengan peningkatan membanggakan. Mereka berjaya meraih kejayaan dalam beberapa kejohanan disertai dan pernah bergelar Pemain Terbaik (Megat Imran) dan Pemain Muda Terbaik (Megat Zaid).

“Dalam kejohanan yang akan disertai di Sri Lanka ini, saya harap mereka mampu bermain cemerlang dan setidak-tidaknya mereka berjaya membawa pulang medal,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pelajar Selangor di Mesir lega tiba di tanah air

halimah 2

SEPANG, 28 OGOS : Sekumpulan 31 penuntut Selangor di Mesir yang dibawa pulang secara berperingkat melalui penerbangan komersil dalam Ops Piramid 2 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 11.30 malam tadi.

Mereka yang tiba di tanah air dengan menaiki pesawat Etihad 0416 itu disambut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Kumpulan berkenaan adalah sebahagian daripada lebih 800 pelajar Selangor di Mesir yang sedang dibawa pulang secara berperingkat melalui penerbangan komersial dalam Ops Piramid 2 mulai 22 Ogos lalu.

Bagi pelajar jurusan Perubatan di Universiti Al azhar, Mesir, Nur Atikah Zulkifli, ketibaannya ke tanah air dapat mengurangkan kebimbangan ahli keluarga mengenai keselamatannya di negara yang sedang bergolak itu.

Menceritakan pengalaman berada di sana, Atikah yang berada di bawah tajaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkata, keadaan asrama anak Selangor di sana rata-ratanya masih berada dalam keadaan selamat.

“Sebenarnya semasa hari kejadian, saya tidak berada di situ tetapi ada dikalangan rakan-rakan yang dapat melihat gas pemedih mata dilepaskan kerana rumah kami memang berhampiran dengan tempat kejadian.

“Pihak keselamatan di sana sentiasa memantau keadaan pelajar. Kalau ikutkan, pelajar tidak mengalami sebarang masalah di sana, tetapi demi keselamatan lebih baik kami dihantar pulang ke tanah air,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Ahmad Muizuddin Muhammad Kamaruzzaman berkata, tidak semua tempat di Mesir yang terlibat dengan pergolakan itu, namun tempiasnya masih dapat dirasakan.

Beliau berkata, langkah membawa pulang pelajar ke Malaysia adalah tindakan bijak kerana kebanyakan ibu bapa bimbangkan keselamatan anak-anak mereka di sana.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak tertentu yang telah membawa kami pulang kerana kalau lihat keadaan sekarang, memang elok kami balik ke Malaysia,” katanya.halimah 2

Sementara itu, Dr Halimah ketika ditemui mengharapkan supaya semua pelajar Malaysia di Mesir dapat pulang ke tanah air sehingga keadaan kembali tenang di sana.

Beliau turut menghargai usaha Kerajaan yang memperuntukkan dana untuk memastikan kesemua pelajar selamat pulang ke negara ini.

“Kita khuatir kerana keadaan dijangka teruk dan ada dikalangan pelajar yang tidak dapat keluarkan duit.

“Bila tidak dapat keluarkan duit, maknanya sara hidup, makan minum agak sukar. Jadi adalah lebih baik jika mereka pulang ke kampung halaman sehingga keadaan tenteram.

“Kita akan tengok sama ada mereka boleh melanjutkan pelajaran ke Mesir atau bagaimana,” ujarnya.

Selasa lalu, kerajaan memutuskan untuk membawa pulang 3,300 pelajar Malaysia di Mesir menggunakan pesawat komersial berikutan pergolakan di negara itu yang dilaporkan semakin tidak menentu.

Proses membawa pulang pelajar dijangka akan berlangsung sehingga Jumaat ini.