Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

17 wakil dilantik ahli jawatankuasa pro-tem Majlis Media Malaysia

SHAH ALAM, 17 JAN: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melantik 17 wakil daripada pelbagai organisasi media sebagai ahli jawatankuasa pro-tem Majlis Media Malaysia (MMC), semalam.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata MMC dianggotai tokoh media cetak, elektronik dan dalam talian, organisasi wartawan media tempatan serta antarabangsa, kesatuan wartawan juga wakil badan bukan kerajaan.

“Jawatankuasa itu berikutan keputusan Jemaah Menteri pada 6 Disember tahun lalu yang mempersetujui cadangan penubuhan sebuah majlis media sebagai sebuah badan kawal selia kendiri (self-regulatory body) bagi menjaga kepentingan media dan pengamalnya.

“Keputusan ini satu anjakan besar kerana usahanya mula bergerak setelah lama ditangguhkan dan dibangkitkan buat kali pertama sejak 45 tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.

Gobind berkata jawatankuasa terbabit mempunyai dua bulan untuk membincang dan meneliti penyediaan Rang Undang-Undang (RUU) bagi penubuhan serta fungsi MMC.

Katanya, majlis media itu akan memperkasa dan memastikan kebebasan serta hak pengamal media dipelihara selain memastikan etika media yang lebih bertanggungjawab.

“Sebagai sebuah badan yang akan mengawal selia industri media, MMC boleh membuat pemantauan semasa berdasarkan undang-undang serta bertindak berhubung aduan orang ramai mengenai media,” katanya.

Ahli jawatankuasa yang dilantik:

1) Datuk Dr Chamil Wariya (Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI)
2) Datuk Yong Soo Heong (Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPI)
3) Ding Jo Ann (media monitor Centre For Independent Journalism)
4) Datuk Ahiruddin Attan (Presiden National Press Club)
5) V. Gayathry (pensyarah Nottingham University)
6) Kuik Cheng Kang (wakil Editor’s Association of Chinese Medium Malaysia)
7) Tehmina Kaoosji (ahli pengasas Journalists Alliance)
8) Radzi Razak (jurucakap Gerakan Media Merdeka)
9) Ashwad Ismail (wakil Astro Awani)
10) Rozaid A. Rahman (wakil The Star)
11) Jahabar Sadiq ( wakil The Malaysian Insight)
12) Wakil dari Sabah
13) Wakil dari Sarawak
14) Wakil dari National Union of Journalists
15) Wakil dari Foreign Correspondents Club Malaysia
16) National Union of Journalists (NUJ)
17) Foregin Correspondents Club Malaysia (FCCM)

Categories
AGENDA NASIONAL

Kabinet setuju penubuhan Majlis Media Malaysia

KUALA PILAH, 15 DIS: Kabinet baru-baru ini secara dasar bersetuju dengan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC), kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith.

Beliau berkata, mesyuarat pertama mengenai majlis berkenaan dijangka akan diadakan minggu hadapan, dipengerusikan oleh beliau sendiri, dengan disertai bersama lapan individu yang mewakili media, dan ia akan membincangkan aspek mengenai kerangka penubuhannya.

“Penubuhan MMC ini bertepatan masanya, bagi memastikan masa depan dan kebajikan pengamal media dalam negara lebih terjamin. Saya percaya dengan penubuhan MMC ini banyak perkara berkaitan dengan masalah pengamal media akan dapat diatasi dari semasa ke semasa,” katanya di sini, hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas menutup Pesta Bola Ngoca 2019 di Empang Bangkung, Juasseh, di sini, Ahli Parlimen Kuala Pilah itu berkata, keanggotaan majlis berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.

MMC adalah sebuah badan kawal selia kendiri yang boleh meletakkan standard yang tinggi bagi komuniti media untuk membantu membina dan mengekalkan kepercayaan rakyat kepada industri berkenaan dan bertindak sebagai sebuah badan timbang tara antara rakyat dan pihak media demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

Terdahulu pada program berkenaan, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan muncul juara pertandingan bola sepak sawah dan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, manakala Veteran DBKL, Kuala Lumpur, naib johan dan meraih RM7,000 serta Baling FC, Kedah ditempat ketiga dan membawa pulang wang tunai RM5,000.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

MMC ditubuh bukan untuk sekat media – Eddin

KUALA PILAH, 16 MEI Cadangan menubuhkan Majlis Media Malaysia (MMC) bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan media di negara ini.

Sebaliknya, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata, ia bertujuan menyediakan garis panduan yang jelas kepada pengamal media.

“Disamping kita amalkan kebebasan media dan kita juga mengimbangi kestabilan politik dan juga kebaikan kepada rakyat.

“Ini supaya negara tidak terjejas dengan perkara-perkara yang tidak bertanggungjawab seperti penyebaran berita palsu yang boleh menjejaskan hubungan baik rakyat dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan walkabout di bazar Ramadan di sini.

Sementara itu, diminta mengulas prestasi semua agensi dibawah kementerian sepanjang setahun dibawah pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN), Eddin Syazlee berkata beliau setakat ini berpuas hati.

“Walaupun ada beberapa kelemahan yang dikenalpasti, saya percaya dalam penghujung setahun (pentadbiran PH 9 Mei lepas) saya lihat kesungguhan dan keikhlasan semua agensi bawah KKMM untuk berusaha bersungguh-sungguh untuk menterjemah hasrat kerajaan.

“Ini satu perkara yang positif walaupun kita menerima teguran, kita terima secara terbuka dan Insya-Allah saya yakin dalam tempoh terdekat ini kita akan cuba perbaiki dan masih ada ruang yang boleh diisi untui kita perbetulkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Eddin Syazlee turut menyertai kira-kira 200 jemaah Masjid Kariah Kampung Parit di sini dalam majlis berbuka puasa.

Beliau kemudian menyampaikan sumbangan kepada 20 penerima asnaf daripada sekitar kampung berkenaan pada majlis itu.

— BERNAMA