Categories
AGENDA NASIONAL

Kabinet setuju penubuhan Majlis Media Malaysia

KUALA PILAH, 15 DIS: Kabinet baru-baru ini secara dasar bersetuju dengan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC), kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith.

Beliau berkata, mesyuarat pertama mengenai majlis berkenaan dijangka akan diadakan minggu hadapan, dipengerusikan oleh beliau sendiri, dengan disertai bersama lapan individu yang mewakili media, dan ia akan membincangkan aspek mengenai kerangka penubuhannya.

“Penubuhan MMC ini bertepatan masanya, bagi memastikan masa depan dan kebajikan pengamal media dalam negara lebih terjamin. Saya percaya dengan penubuhan MMC ini banyak perkara berkaitan dengan masalah pengamal media akan dapat diatasi dari semasa ke semasa,” katanya di sini, hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas menutup Pesta Bola Ngoca 2019 di Empang Bangkung, Juasseh, di sini, Ahli Parlimen Kuala Pilah itu berkata, keanggotaan majlis berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.

MMC adalah sebuah badan kawal selia kendiri yang boleh meletakkan standard yang tinggi bagi komuniti media untuk membantu membina dan mengekalkan kepercayaan rakyat kepada industri berkenaan dan bertindak sebagai sebuah badan timbang tara antara rakyat dan pihak media demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

Terdahulu pada program berkenaan, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan muncul juara pertandingan bola sepak sawah dan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, manakala Veteran DBKL, Kuala Lumpur, naib johan dan meraih RM7,000 serta Baling FC, Kedah ditempat ketiga dan membawa pulang wang tunai RM5,000.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Eddin Syazlee kini stabil

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith yang mengalami sesak nafas semasa menghadiri sidang Dewan Rakyat pagi tadi, berada dalam keadaan stabil buat masa ini.

Beliau tiba di unit kecemasan Institut Jantung Negara (IJN) pada kira-kira pukul 11.20 pagi ini selepas dikejarkan dengan ambulans dari Parlimen.

Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada timbalan menteri itu Farahiah Zubir ketika ditemui Bernama di IJN berkata ,Ahli Parlimen Kuala Pilah itu kini berada di Unit Jagaan Rapi Jantung untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

Eddin mengalami sesak nafas ketika Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah sedang menjawab soalan Wong Hon Wai (PAKATAN-Bukit Bendera) yang merupakan soalan ketiga pada sesi pagi ini.

Beliau ketika itu dilaporkan baru sahaja tiba di Dewan Rakyat dan hendak duduk sebelum dilihat tiba-tiba tidak bermaya dan terduduk mengejut di kerusinya.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dengan serta-merta menangguhkan sesi persidangan kira-kira 10 minit untuk membolehkan ahli Parlimen lain serta pasukan perubatan Parlimen memberikan beliau bantuan segera sebelum dikejarkan ke IJN.

Sementara itu, kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia petang ini turut mengesahkan Eddin berada dalam keadaan stabil dan memohon kerjasama semua agar mendoakan beliau pulih segera.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Eddin Syazlee sesak nafas, sidang Dewan Rakyat henti seketika

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Sidang Dewan Rakyat pagi ini dihentikan hampir 10 minit apabila Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith mengalami sesak nafas ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan pada 10.30 pagi ini, dan kemudiannya dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN).

Eddin ketika itu dilaporkan baru sahaja tiba di Dewan Rakyat dan hendak duduk sebelum dilihat tiba-tiba tidak bermaya dan terduduk di kerusinya.

Perkara itu disahkan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas beliau Farahiah Zubir.

Pada waktu itu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah sedang menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang merupakan soalan ketiga pada sesi pagi ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon kemudian segera menghentikan persidangan Dewan Rakyat dan meminta pasukan perubatan segera memberi bantuan sewajarnya.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen kemudian dilihat segera memberikan bantuan kepada Ahli Parlimen Kuala Pilah itu sebelum diikuti oleh beberapa ahli Parlimen lain dan pasukan perubatan.

Eddin kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Parlimen dengan kerusi roda dan diberi rawatan kecemasan  oleh Ketua Klinik Parlimen Dr R Murugesu sebelum dibawa oleh pasukan perubatan ke IJN.

Sebelum ini, pada 21 Oktober lalu, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman pitam ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2020.

Dr Kelvin yang ditemui di lobi Parlimen kemudiannya berkata, Eddin mengalami beberapa simptom seperti sesak nafas dan ketegangan di bahagian dada.

Beliau berkata hal berkenaan disedari oleh Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah yang duduk bersebelahan dengan Eddin sebelum datang kepadanya untuk meminta bantuan.

“Saya bersama beberapa ahli Parlimen lain, selepas itu segera memberi bantuan kecemasan bagi menstabilkan keadaan beliau.

“Ini kali pertama beliau ada isu seperti ini di Parlimen,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kebebasan media perlu diguna dengan berdisiplin, tanggungjawab

SHAH ALAM, 31 OGOS: Media tempatan di negara ini perlu menggunakan kebebasan diberi oleh kerajaan dengan berdisiplin dan penuh tanggungjawab serta tidak memainkan isu yang boleh mengapi-apikan sentimen kaum dan agama, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith.

Katanya, walaupun demikian, pihaknya memahami bahawa media memerlukan berita yang mempunyai ‘sengat’ untuk menarik minat pembaca untuk membeli akhbar atau mengunjungi laman portal mereka.

“Dalam mencari cerita yang seperti ini kita perlu mengimbanginya dengan etika kewartawanan yang berasaskan prinsip-prinsip Rukun Negara seperti Kesopanan dan Kesusilaan dan prinsip lain yang sesuai dengan etika kewartawanan.

“Kita tidak mahu berita seperti ini disensasikan atas maksud yang boleh menyemarakkan api kebencian antara kaum, tetapi saya fikir pihak media tidak berniat berbuat demikian (menyemarakkan api kebencian antara kaum), mereka hanya melaporkan isu ini mengikut nilai berita yang ada sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa pihak media tidak lagi mengapi-apikan isu perkauman dan agama supaya bahang ketegangan antara kaum ketika ini kembali reda.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke kejohanan rugbi 10 sebelah anjuran kementeriannya dan Kelab Rugbi Home of Warriors di sini, malam tadi.

Eddin berkata, sebagai pembaca, seseorang itu perlu meneliti dan membaca keseluruhan kandungan berita yang ditulis untuk memahami konteks sebenar berita berkenaan.

Ketika ditanya sama ada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan meningkatkan pemantauan terhadap media tempatan dan pengguna laman sosial, Eddin Syazlee berkata, belum ada ketetapan daripada pihak kerajaan untuk berbuat demikian.

“Kerajaan masih mengamalkan keterbukaan cuma dalam perkara 3R iaitu Race (Kaum), Religion (Agama) dan Royalty (Institusi Diraja) jika isu ini dimainkan SKMM akan mengambil tindakan yang tegas.

“Selain daripada itu (3R) insha-Allah, kita (kerajaan) tetap berpegang kepada prinsip memberikan kebebasan yang sepatutnya kepada pihak media,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKMM: Tindakan tegas ke atas pihak main isu 3R

KUALA PILAH, 24 OGOS: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang memainkan isu kandungan 3R iaitu Race (Kaum), Religion (Agama) dan Royalty (Institusi Diraja) dalam media sosial.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata, kementeriannya tidak akan bertolak ansur kerana perbuatan itu boleh mencetuskan sentimen ketegangan kaum di negara ini.

Katanya, walaupun Kerajaan Pakatan Harapan mengamalkan sifat keterbukaan tetapi gabungan itu tidak mahu sesetengah pihak mengambil kesempatan atas keterbukaan dengan menjadikan isu sentimen kaum untuk mencetus api perkauman.

“3R ini saya percaya amat penting untuk mengekalkan kestabilan dan mengekang pihak tidak bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

“Perkara ini (tindakan tegas) bukanlah untuk menakutkan mana-mana pihak kecuali mereka yang sengaja mencabar pihak berkuasa. Jadi, tindakan undang-undang akan dikenakan ke atas mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Amal Merdeka Za’ba Parlimen Kuala Pilah 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan daripada orang awam berhubung insiden atau kandungan berunsur 3R yang dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), baru-baru ini.

Pelaksanaan 3R itu adalah hasil kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia yang lebih mudah dan mempercepatkan proses tindakan penguatkuasaan diambil berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, ketika diminta perincian berhubung jumlah laporan terkini diterima pihaknya melalui aplikasi WhatsApp dan e-mel, Eddin Syazlee berkata masih belum dimaklumkan mengenainya.

Terdahulu, SKMM dalam kenyataannya sebelum ini menggesa orang ramai supaya tampil melaporkan insiden atau kandungan berunsur 3R dalam media sosial terus kepada suruhanjaya berkenaan.

Eddin Syazlee, yang juga Anggota Parlimen Kuala Pilah, berkata karnival yang diadakan pada hari ini satu contoh baik yang dilaksanakan kepimpinan sekolah dan ibu bapa bagi menjalankan aktiviti berbentuk pengisian kemerdekaan.

“Saya kagum dengan penyertaan peserta dari seluruh negara dan sambutan cukup menggalakkan ini seharusnya menjadi contoh kepada sekolah dan organisasi lain untuk menjadikan ia sebagai satu pengisian kemerdekaan yang diterjemahkan melalui tindakan menunjukkan tanda sayang kepada negara ini dan mengukuhkan perpaduan kaum.

Karnival anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Sukan Negeri, Sekolah Menengah Kebangsaan Za’ba Kuala Pilah dengan kerjasama Parlimen Kuala Pilah itu melibatkan 1,500 peserta dari seluruh negara dan telah bermula sejak semalam hingga esok dengan pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti Larian Merdeka Za’ba, persembahan teater, bicara ilmu dan pentarama.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rakaman CCTV tertakluk di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Sebarang rakaman video termasuk daripada kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan awam atau hak persendirian tertakluk di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709), kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith.

Beliau berkata, penyebaran rakaman sedemikian menjadi kesalahan di bawah akta berkenaan apabila pemiliknya berdaftar dengan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).

“Berkenaan kandungan CCTV seperti itu (termasuk rakaman hotel) tertakluk kepada perlindungan data peribadi, di mana pihak pengurusan hotel perlu berdaftar dengan JPDP supaya maklumat semua rakaman itu dilindungi,” katanya pada sesi Pertanyaan bagi Jawab Lisan di persidangan Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff yang ingin tahu adakah penyebaran video daripada rakaman CCTV atau hak persendirian seperti premis hotel dikira sebagai kesalahan di bawah akta berkenaan.

Berhubung kesalahan di bawah akta berkenaan, Eddin Syazlee berkata, JPDP menerima 680 aduan daripada subjek data bagi tahun 2018 dengan 46 peratus kes berjaya diselesaikan dan ditutup.

Jenis kesalahan paling kerap diterima pula ialah aduan berkaitan pelanggaran tujuh prinsip perlindungan data peribadi terutama prinsip am, penzahiran dan keselamatan, katanya.

“Golongan pengguna data yang merekodkan aduan tertinggi adalah golongan institusi perbankan dan insurans serta aduan berkaitan penzahiran data peribadi kepada pihak ketiga tanpa kebenaran (ejen pengutip hutang) dan pemasaran langsung,” katanya.

Beliau berkata Akta 709 itu penting dalam meletakkan Malaysia sebagai salah sebuah negara di dunia yang menguatkuasakan perundangan mengenai perlindungan data peribadi seperti United Kingdom, Kesatuan Eropah, Kanada, New Zealand, Australia, Macau, Hong Kong, Jepun, Singapura dan Thailand.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

ECRL akan beri tempias kepada daerah Kuala Pilah

KUALA PILAH, 23 JUN: Anggota Parlimen Kuala Pilah, Eddin Syazlee Shith optimis daerah itu akan turut menerima tempias daripada pembangunan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Jelebu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, meskipun projek itu dilaksanakan di Jelebu, namun ia mampu memberi impak kepada ekonomi negeri secara keseluruhannya dan sekali gus Kuala Pilah yang berhampiran dengan ibu negeri iaitu Seremban, turut akan beroleh manfaat daripada projek mega itu.

“ECRL walaupun kita (daerah Kuala Pilah) tidak terlibat secara langsung sebab laluan terhampir (ialah) di Jelebu. Bagaimanapun, apa juga yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi bagi bandar seperti Seremban sedikit sebanyak akan beri impak kepada bandar berhampiran.

“Ini termasuklah Kuala Pilah, Jempol, Tampin dan sudah tentu kita akan dapat menerima limpahan (ekonomi dan pembangunan) kalau tak banyak pun sikit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri anjurannya di Dewan Dato’ Bahaman di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan pemberita sama ada projek berkenaan akan mampu memberi tempias ekonomi termasuk peluang pekerjaan kepada penduduk di daerah Kuala Pilah.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook pada 16 Jun lepas dilaporkan berkata pelan jajaran projek mega itu akan dimuktamadkan tahun ini sebelum dijangka memulakan proses pengambilan tanah pada tahun hadapan.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada 12 April lepas mengumumkan projek ECRL akan disambung semula dengan kos lebih rendah susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) antara MRL dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Menurut kenyataan itu, kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion.

Pembinaan ECRL berkenaan akan menyaksikan jajaran baharu iaitu Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Klawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

MMC ditubuh bukan untuk sekat media – Eddin

KUALA PILAH, 16 MEI Cadangan menubuhkan Majlis Media Malaysia (MMC) bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan media di negara ini.

Sebaliknya, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata, ia bertujuan menyediakan garis panduan yang jelas kepada pengamal media.

“Disamping kita amalkan kebebasan media dan kita juga mengimbangi kestabilan politik dan juga kebaikan kepada rakyat.

“Ini supaya negara tidak terjejas dengan perkara-perkara yang tidak bertanggungjawab seperti penyebaran berita palsu yang boleh menjejaskan hubungan baik rakyat dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan walkabout di bazar Ramadan di sini.

Sementara itu, diminta mengulas prestasi semua agensi dibawah kementerian sepanjang setahun dibawah pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN), Eddin Syazlee berkata beliau setakat ini berpuas hati.

“Walaupun ada beberapa kelemahan yang dikenalpasti, saya percaya dalam penghujung setahun (pentadbiran PH 9 Mei lepas) saya lihat kesungguhan dan keikhlasan semua agensi bawah KKMM untuk berusaha bersungguh-sungguh untuk menterjemah hasrat kerajaan.

“Ini satu perkara yang positif walaupun kita menerima teguran, kita terima secara terbuka dan Insya-Allah saya yakin dalam tempoh terdekat ini kita akan cuba perbaiki dan masih ada ruang yang boleh diisi untui kita perbetulkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Eddin Syazlee turut menyertai kira-kira 200 jemaah Masjid Kariah Kampung Parit di sini dalam majlis berbuka puasa.

Beliau kemudian menyampaikan sumbangan kepada 20 penerima asnaf daripada sekitar kampung berkenaan pada majlis itu.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

KKMM sedia bantuan belia ceburi industri kandungan kreatif

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata, kerajaan memperkenalkan bantuan Dana Kandungan Digital (DKD) kepada penggiat industri kandungan kreatif tempatan termasuk golongan belia untuk menghasilkan karya yang bermutu.

Dana ini melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) disasarkan kepada penggiat seni individu tanpa mengira umur dan syarikat yang berkecimpung dalam industri kandungan kreatif merangkumi filem dan televisyen, animasi, permainan digital, dokumentari dan filem pendek, katanya.

“Kementerian melalui Finas juga komited dalam melahirkan karyawan pelapis dalam kalangan belia dengan memperkenalkan program pemerkasaan modal insan industri perfileman yang meliputi program pemacuan, pembangunan kemahiran, perkongsian idea dan kesedaran industri kreatif,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) yang ingin tahu cara membantu belia melibatkan diri dalam pengeluaran filem dan program hiburan tempatan dan kesudian RTM untuk membeli hasil visual tempatan itu.

“Penyaluran DKD adalah melalui dana mikro, iaitu inisatif kerajaan untuk menyokong pencipta kandungan yang memberi tumpuan kepada pembikinan kandungan video pendek untuk tayangan dan perkongsian pada platform media sosial seperti Youtube, Instagram dan Facebook,” katanya.

Eddin Syazlee berkata, peruntukan pembiayaan dana mikro adalah sehingga RM5,000 bagi satu projek untuk pemohon layak bergantung kepada idea, subjek dan kos pembikinan.

“Bilangan projek yang diluluskan dari 2016 sehingga 2018 ialah sebanyak 175 projek dengan nilai kelulusan berjumlah RM757,000.

“Individu yang berminat membekalkan program televisyen kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) perlu mempunyai syarikat yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Finas,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Ling sama ada kerajaan bercadang mengeluarkan lesen siaran televisyen kepada parti politik, Eddin Syazlee berkata kerajaan masih belum ada perancangan itu buat masa ini.
-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan tambah baik undang-undang penyalahgunaan media sosial

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Langkah pengkemaskinian dan penambahbaikan undang-undang berkaitan penyalahgunaan media sosial akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan peruntukan undang-undang terbabit terus kekal relevan dan selaras peredaran semasa.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata, kerajaan tidak sesekali berkompromi dengan mana-mana pengguna media sosial yang menggugat keselamatan, kestabilan dan keharmonian negara khususnya mereka yang menghina institusi diraja, perkauman dan agama.

Beliau berkata, walaupun kerajaan sentiasa komited dalam usaha menjamin kebebasan bersuara rakyat Malaysia, hak kepada kebebasan bersuara tidak bersifat mutlak dan tertakluk kepada peruntukan undang-undang sedia ada.

“Peruntukan undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan adalah antara instrumen perundangan khusus bagi menangani penyalahgunaan yang berupa provokasi dan penghinaan terhadap kaum dan agama serta institusi diraja.

“Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula bagi kesalahan penggunaan tidak wajar berasaskan aduan yang diterima daripada masyarakat awam dan daripada pihak yang terkesan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Sabri Azit (PAS-Jerai) yang ingin tahu apakah tindakan tegas diambil terhadap pengguna media sosial yang sewenang-wenangnya menghina agama, hak istimewa orang Melayu dan institusi raja-raja.

Pada masa sama, Eddin Syazlee berkata, kempen kesedaran sentiasa dijalankan di bawah agensi kementerian seperti RTM, selain kempen yang dibuat secara terus kepada masyarakat yang bertujuan untuk menyedarkan dan mendidik.

“Perkara-perkara yang melibatkan apa jua agama tanpa mengira kaum tertentu adalah satu perkara sensitif dan sentiasa diambil berat untuk diletakkan dalam kedudukan yang stabil supaya tidak wujud elemen-elemen yang boleh memecahkan perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya. -BERNAMA