Categories
AGENDA NASIONAL SUKANKINI

Dana podium suntik semangat persatuan sukan ke Sukan SEA Hanoi

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Persatuan sukan kebangsaan (NSA) berada pada mood lebih baik serta bersemangat dalam mempersiapkan atlet masing-masing menjelang Sukan SEA Hanoi pada 12-23 Mei ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata perubahan positif itu berikutan keputusan kerajaan baru-baru ini yang meluluskan peruntukan RM240 juta untuk pelaksanaan Program Podium bermula 2022 hingga 2025.

Katanya peruntukan itu menandakan kesinambungan terhadap segala program yang dirancang Majlis Sukan Negara (MSN), sekali gus membakar semangat semua persatuan untuk memastikan atlet masing-masing mencapai kejayaan pada temasya dwitahunan itu.

“Kita lihat persatuan sukan menerima berita ini (peruntukan) dengan baik dan mereka mempunyai semangat yang berkobar-kobar untuk meneruskan perjuangan atas nama Malaysia,” katanya.

Mohamad Norza berkata demikian ketika ditanya mengenai tahap ketersediaan NSA menghadapi Sukan SEA Hanoi pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA di Wisma OCM di sini, hari ini.

Beliau turut berpendapat temasya tersebut adalah platform tepat untuk memberi nafas baharu kepada arena sukan tanah air, sebelum misi lebih getir pada Sukan Komanwel di Birmingham, Julai ini dan Sukan Asia di Hangzhou, China pada September.

Pada masa sama, beliau berkata Jawatankuasa Pemilihan mengesyorkan jumlah kontinjen negara ke Hanoi adalah seramai 770 orang terdiri daripada 574 atlet dan 196 pegawai.

Daripada jumlah itu, 317 atlet di bawah kategori A dan 257 di bawah kategori B, namun Mohamad Norza berkata angka itu dijangka meningkat apabila tiga sukan iaitu renang, olahraga dan e-sukan menghantar nama atlet masing-masing sebelum 12 Mac ini.

“Senarai akhir atlet olahraga adalah selepas Kejohanan Terbuka Malaysia pada 5 dan 6 Mac, sukan renang pula selepas Kejohanan Terbuka Malaysia (pada) 3-6 Mac dan untuk e-sukan adalah selepas pemilihan dibuat persatuan itu pada 7 Mac,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Norza berkata skuad petanque dan sepak takraw akan menyertai temasya itu di bawah nama MOM berikutan isu penggantungan yang dihadapi oleh kedua-dua persatuan sukan terbabit.

Menurutnya kontinjen negara ke Hanoi akan mengambil bahagian dalam 40 daripada 43 jenis sukan yang dipertandingkan iaitu tiga sukan yang tidak disertai Malaysia adalah bola baling, vovinam dan gusti.

Sebagai rekod, pada edisi 2019 di Filipina, kontinjen Malaysia diwakili 773 atlet bagi mengambil bahagian dalam 52 daripada 56 jenis sukan yang dipertandingkan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Hantar atlet muda ke Sukan SEA, MOM sedia langgar kriteria pemilihan

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan menukar kriteria pemilihan atlet ke temasya Sukan SEA 2021, sekiranya cadangan menghantar atlet muda ke sukan dwitahunan itu direalisasikan.

Mengikut kriteria kelayakan sebelum ini, atlet sekurang-kurangnya perlu mengatasi catatan dilakukan pemenang pingat gangsa pada Sukan SEA terdahulu, namun kriteria itu perlu dipinda jika atlet muda atau atlet daripada Sukan Malaysia (Sukma) dihantar mewakili negara di Sukan SEA Vietnam pada November 2021.

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata pindaan itu akan dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini menerusi perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN), berdasarkan input dan maklum balas yang diterima MOM selepas mengadakan pertemuan empat mata secara berasingan dengan semua persatuan sukan kebangsaan (NSA) baru-baru ini.

“Cadangan sama ada hendak menghantar atlet muda telah mencetuskan perbahasan kerana Sukan SEA adalah sukan pembangunan dan persahabatan. Ada NSA yang bersetuju, ada yang tidak dan ada yang mahu menggabungkan atlet senior dan junior.

“Kalau kita mahu pertaruhkan atlet muda, tentu kita kena ubah kriteria itu. Kriteria yang dipinda itu akan kita wujudkan menjelang akhir tahun ini, ketika Vietnam mengesahkan senarai sukan yang akan dipertandingkan,” katanya selepas mesyuarat Majlis MOM ke-194 di Wisma OCM hari ini.

Vietnam dijangka mengumumkan senarai acara yang akan dipertandingkan pada Sukan SEA Hanoi November ini, selepas menerima rayuan daripada negara bertanding untuk menambah beberapa jenis sukan dan acara daripada 36 jenis sukan yang diumumkan sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Norza berkata MOM berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengenai cadangan membantu industri sukan yang terjejas dengan pandemik Covid-19 apabila banyak kejohanan serta aktiviti sukan dan rekreasi tidak dapat diadakan.

“Kami tidak mahu pengusaha sukan yang ‘nyawa-nyawa ikan’ terus hilang daripada peta kerana tiada aktiviti untuk menjana pendapatan. Kami telah berbincang dengan menteri untuk mengetengahkan kepada Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi melihat insentif dan perkara yang boleh memberi nafas baharu kepada industri sukan menerusi Belanjawan 2021,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

MOM nasihat persatuan sukan batal hasrat ke China

SHAH ALAM, 27 JAN: Semua persatuan sukan kebangsaan dinasihat membatalkan hasrat ke China susulan penularan wabak koronavirus, kata Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Presidennya Datuk Seri Norza Zakaria berkata wabak yang melanda republik itu menyebabkan beberapa pasukan seperti skuad Liga Super Selangor terpaksa membatalkan hasrat menyertai kejohanan pra musim di sana, lapor Astro Arena.

“Apa sahaja dasar yang hendak dibuat mestilah berpandukan polisi kerajaan. Bagaimanapun, saya nasihatkan persatuan sukan supaya tidak membuat perancangan membabitkan atlet ke China sehingga kita melihat kesan koronavirus,” katanya.

Menyentuh kedudukan empat penerjun negara Wendy Ng, Leong Mun Yee, Pandalela Rinong dan Kimberly Bong yang menjalani latihan di China, Norza menyerahkannya kepada Kesatuan Renang Amatur Malaysia untuk pulang segera atau sebaliknya.

Categories
SUKANKINI

Tingkat pembabitan wanita dalam persatuan sukan-MOM

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menggalakkan persatuan sukan kebangsaan mengambil kira penyertaan golongan wanita dalam struktur pentadbiran persatuan.

Naib presidennya, Datuk Mumtaz Jaafar berkata, persatuan diminta mempertimbangkan sekurang-kurangnya seorang wakil wanita diberi peranan dalam persatuan tanpa mengira jawatan yang disandang.
“Kita bukan hendak lawan kaum lelaki. Niat saya hanya hendak bantu dan matlamat saya mahukan kesaksamaan gender dalam persatuan sukan.

“Kerajaan sekarang pun sudah percaya pada kaum wanita,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Seminar Wanita dan Sukan MOM di sini semalam.

Mumtaz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sukan dan Wanita MOM berkata faktor bukan atlet tidak boleh menjadi penghalang kepada individu yang ingin menyumbang bakti dalam persatuan sukan.

Katanya, cukup jika seseorang itu mempunyai minat untuk memajukan persatuan serta sukan negara.

“Prestasi kerja yang bagus dapat mengubah persepsi terhadap wanita. Lepas kita sudah lantik, kenalah buat kerja tidak kira dengan siapa pun kita bekerja.

“Saya harap seminar ini dapat memberi keyakinan kepada kaum wanita untuk berada dalam persatuan dan maju ke depan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dr Waitchalla R R Suppiah yang merasmikan seminar itu berkata, pembabitan wanita masih kurang sebagai pembuat keputusan dan sebagai pemimpin dalam organisasi sukan.

Waitchalla mencadangkan supaya MOM membangunkan pangkalan data wanita untuk membantu organisasi sukan yang mencari wanita untuk mengisi kedudukan kepimpinan.

Buat masa ini, KBS sedang dalam usaha membangunkan inisiatif baharu untuk wanita dalam sukan, katanya.

-BERNAMA