Categories
SELANGOR

Polis Didesak Siasat Ketua Pemuda Gerakan Kedah Hina Islam

SABAK BERNAM, 17 OKT : Kira-kira 15 ahli Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Selangor membuat laporan polis terhadap Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang yang menghina Islam.

Penyelaras SAMM Selangor, Azhar Achil berkata, laporan polis itu menuntut siasatan segera polis ekoran kenyataan Tan di dalam twitter yang mempersenda dan menghina arahan berpakaian sopan kepada bukan Islam dan menutup aurat kepada Islam.

“Tan Keng Liang perlu ditahan, telefonnya perlu dirampas dan dia perlu dihukum. Kita juga ingin melihat polis bertindak tegas seperti mana jika ada laporan polis terhadap yang lain,” kata Azhar dalam kenyataan medianya.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Daerah Sabak Bernam di sini bersama Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Dewan Pemuda PAS Sabak Bernam

Menurut Azhar, Umno gagal memperkenalkan kepada Tan Keng Liang mengenai Islam sebagai ‘ Ad Din’ yang bukan sekadar solat dan berzakat.

“Agama kepercayaan kami (Islam) yang menyusun hidup kami termasuk menutup aurat. Menutup aurat bukan arahan PAS tetapi tuntutan agama. Kamu sudah melampau dan menghina agama,” kata Azhar.

Sebelum ini, Majlis Perbandaran Alor Setar (MBAS) mula melaksanakan garis panduan supaya model iklan yang dipaparkan dalam kawasan mereka hanya memaparkan model yang berpakaian sopan.

 

Isu ini dipolitikkan sejak beberapa minggu yang lalu apabila beliawanis MCA, Tee Hoi Ling memberikan komen bahawa tindakan memastikan model berpakaian sopan itu seperti memperbudakkan pengiklan.

Di sisi Melayu dan Islam mereka akan menggunakan Umno dan membayar ustaz – ustaz upahan untuk menyerang Pakatan Rakyat yang kononnya tidak Islamik.

Tetapi dalam sisi lain mereka menggunakan MCA dan parti komponen bukan Melayu Islam agar menyerang PR yang terlalu Islamik dengan menggambarkan Islam itu hina dan ortodok,” katanya.