Categories
NASIONAL

Pembebasan Azhar bukti perhimpunan aman ikut perlembagaan

Oleh: SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 24 JULAI: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Selangor mengucapkan tahniah kepada penyelaras bersama SAMM Selangor, Azhar Achil yang dibebaskan Mahkamah Sesyen Klang.

Penyelaras bersama SAMM Selangor,  Khairool Anyar Al-Megat, berkata mahkamah akhirnya mengisytiharkan beliau tidak bersalah lantas dibebaskan secara mutlak selepas hampir setahun dibicarakan.

azhar achil 1Katanya, keputusan itu wajar dijadikan ‘precedent case’ pada semua perbicaraan membabitkan Akta Perhimpunan Aman.

“Pembebasan Azhar adalah satu kejayaan untuk rakyat, membuktikan perhimpunan aman adalah dibenarkan mengikut perlembagaan.

“Rakyat wajar berhimpun secara aman di sebarang lokasi tanpa tertakluk dengan undang-undang pra-kemerdekaan,” katanya dalam kenyataan media.

Mengikut Akta Perhimpunan Aman, Azhar dituduh kononnya menganjurkan himpunan haram di Dataran Tonggak, Sungai Besar, pada Jun 2013.

SAMM Selangor turut mengajak seluruh rakyat Malaysia menolak akta yang tidak berpelembagaan itu.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Jangan sampai gadai negeri untuk biayai bola sepak – SAMM

bolaSHAH ALAM 27 SEPT: Penajaan sesebuah kerajaan negeri terhadap pasukan bola sepak tidak harus sampai menggadaikan kepentingan rakyat dalam aspek lain, kata Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Selangor.

“Kebajikan rakyat adalah keutamaan dan tidaklah perlu menggadai negeri hanya semata-mata untuk sebuah pasukan bola sepak menjadi kuat.

“Berbelanja biarlah dengan berpada-pada. RM7 juta setahun yang diperuntuk lebih dari mencukupi dalam aspek bantuan kerajaan negeri,” kata penyelarasnya, Azhar Achil.

Pada kenyataan media hari ini, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak bergantung kepada pembiayaan daripada sesebuah kerajaan negeri sebaliknya berusaha mencari tajaan luar.

“Pengkritik harus meneliti apakah sebabnya bolasepak tempatan kurang mendapat tajaan besar sehingga memaksa kerajaan negeri dilihat ‘wajib’ menjadi penaja utama,” katanya.

Azhar menyeru semua pihak yang mengkritik dasar kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam sudut pembangunan sukan supaya lebih proaktif dan positif.

Beliau berkata, kerajaan Selangor menyumbang lebih RM7 juta setahun untuk pembangunan sukan bola sepak negeri dan ia tertinggi berbanding negeri lain.

“Kerajaan negeri beri sokongan besar tetapi perlu ingat, bola sepak harus lebih bertenaga dengan tajaan syarikat besar,” katanya menambah pelaburan besar kerajaan negeri tidak semestinya membawa hasil lumayan.

“Melaka, contohnya melaburkan jutaan ringgit tetapi hasilnya tidak seperti yang diharapkan dan menjadi pembaziran,” katanya.

Selain itu, Azhar menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dirombak dan diberi nafas baru untuk menarik minat syarikat gergasi melabur dalam sukan bola sepak.

“FAM sebagai satu badan bola sepak gagal membawa bolasepak tanahair ke tahap komersial yang tinggi,” katanya.

– FZL

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rakyat Selangor Diseru Hadir Himpunan Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat

Himpunan Air 01

SHAH ALAM, 22 JAN: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Selangor hari ini menggesa seluruh rakyat Selangor hadir ke perhimpunan menolak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sebagai syarikat mengurus air di negeri ini.

Perhimpunan yang diadakan di perkarangan Masjid Sultan Sulaiman, Klang itu akan diadakan selepas solat Jumaat pada 25 Januari ini.

Menurut satu kenyataan Penyelaras SAMM Selangor Azhar Achil, perhimpunan yang dianjurkan bersama dengan AMK Selangor itu turut mendapat kerjasama dari Pakatan Rakyat Selangor.

“Rakyat Selangor terpaksa melanggan perkhidmatan Syabas yang tidak mempunyai kepakaran dalam pengurusan bekalan air hingga menyebabkan rakyat mendapat perkhidmatan yang tidak memuaskan.

“(Dan) kini mengalami gangguan bekalan air ditambah dengan kadar tarif yang tidak munasabah dan amat membebankan,” menurut Azhar dalam satu kenyataan.

Sebelum ini Kerajaan Negeri menjalankan usaha untuk mengambilalih Syabas apabila syarikat konsesi itu gagal memberikan perkhidmatan yang memuaskan kepada pengguna di Selangor.

Bagaimanapun usaha itu menemui jalan buntu apabila Kerajaan Persekutuan enggan memberi kerjasama kepada usaha Kerajaan Negeri.

Categories
NASIONAL

SAMM Serah Bunga Kepada Polis Sebagai Simbolik Keamanan Sempena HKR112

SAMM Serah Bunga Kepada Polis 01

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Soladiriti Anak Muda Malaysia(SAMM) menyerahkan sejambak bunga kepada polis sebagai simbolik keamanan sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat 112(HKR122) Sabtu ini.

Penyerahan jambangan bunga ini dibuat oleh Koordinator SAMM Wilayah Persekutuan, Azmir Mustafa sambil ditemani Koordinator SAMM Selangor, Azhar Achil dan diterima oleh Timbalan Ketua Balai IPD Dang Wangi, M Nazir.

Jambangan bunga pelbagai warna ini membawa maksud mewakili beberapa NGO lain yang akan turut serta Sabtu ini.

Meskipun menerima SMS berbaur ugutan daripada pihak yang menamakan diri mereka Perkasa, Pekida, Pemuda Umno dan 80 NGO lain.

SAMM mengingatkan pihak berkenaan agar tidak melakukan sebarang bentuk provokasi pada HKR 112 kali ini.

Azmir dalam sidang media ringkas menyatakan, HKR 112 ingin diadakan secara aman tanpa melibatkan sebarang kekasaran mahupun kejadian yang tidak diingini sebagai satu bentuk proses pendemokrasian secara matang.

“Sayugia saya memberikan amaran kepada pihak-pihak ini untuk tidak sama sekali merancang untuk menyerang kumpulan-kumpulan rakyat yang hadir ke HKL 112.

“Sekiranya anda menjual, kami sedia membelinya. SAMM Wilayah tegas menyatakan kepada pihak-pihak ini jangan cuba ingin menghalang proses demokrasi dan kebebasan bersura daripada terus tertegak di bumi bertuah ini.

“Ini menunjukkan sikap sebenar rejim usang Umno-BN yang tidak pernah menghormati Keluhuran Perlembagaan dan juga prinsip-prinsip Rukun Negara,” katanya di luar IPD Dang Wangi.

Tambah Azmir lagi, SMS berkenaan diterima sekitar jam 4.00 hingga 6.00 pagi sejak tiga hari lalu

Namun demikian, SAMM tidak membuat sebarang laporan polis berhubung SMS berkenaan sebaliknya hanya ingin memberikan fokus kepada HKR 112.

SAMM Serah Bunga Kepada Polis 02

Categories
SELANGOR

SAMM Lancar Wayang Pacak Sebar Maklumat Selangorku

SABAK BERNAM 10 NOV: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Selangor melancarkan siri Jelajah Anak Muda Selangorku khususnya di kawasan luar bandar di negeri ini.

Penyelaras SAMM Selangor, Azhar Achil berkata, siri jelajah ini dengan kerjasama TVSelangor bertujuan menyampaikan maklumat dan dasar Kerajaan Negeri secara terus melalui pengedaran risalah mengenai skim dan program supaya rakyat mengetahuinya secara lebih jelas.

Katanya, tumpuan utama siri jelajah ini adalah kepada masyarakat luar bandar kerana masih kekurangan akses kepada saluran media alternatif bagi mendapatkan maklumat dan gambaran sebenar mengenai Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

“Siri jelajah ini memberikan naskhah dan risalah mengenai skim bantuan air percuma, penjelasan mengenai hutang Talam, Skim Mesra Usia Emas (SMUE), serta pengedaran akhbar Selangor Kini kepada penduduk yang datang ke tapak pasar malam ini,” katanya ketika di temui di lokasi pertama siri jelajah di tapak Pasar Malam Sabak Bernam petang semalam.

Azhar berkata, SAMM Selangor turut menggunakan pendekatan menggunakan ‘Wayang Pacak’ iaitu tayangan video mengenai iklan mengenai program serta skim yang dianjurkan selama empat tahun pentadbiran Selangor di bawah Pakatan Rakyat (PR).

Seterusnya, siri jelajah ini akan ke tapak pasar malam di Sungai Besar, Sekinchan, Tanjong Karang, Sungai Panjang dan Bestari Jaya.

Turut hadir ketika melancarkan siri pertama jelajah ini adalah Professor Dr. Aziz Bari yang merupakan calon bagi Parlimen Sabak Bernam pada pilihan raya akan datang.

Dr Aziz Bari berkata, siri jelajah ini merupakan salah satu kaedah yang ada memandangkan maklumat-maklumat penting kerajaan negeri masih ada yang tidak diketahui oleh rakyat khususnya yang kekurangan kepada akses internet.

“Kekangan media massa yang dimanipulasikan oleh Kerajaan Umno-BN menyukarkan rakyat mendapatkan maklumat sebenar mengenai perancangan yang dilakukan Kerajaan Negeri bagi membantu meringankan rakyat.

“Pengedaran risalah dan maklumat ini dapat memberitahu rakyat bagaimana wang Kerajaan Negeri diuruskan supaya kekayaan negeri dapat dikembalikan kepada rakyat untuk dinikmati,” katanya ketika memberikan ucapan melancarkan siri jelajah itu.

 

Categories
SELANGOR

Polis Didesak Siasat Ketua Pemuda Gerakan Kedah Hina Islam

SABAK BERNAM, 17 OKT : Kira-kira 15 ahli Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Selangor membuat laporan polis terhadap Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang yang menghina Islam.

Penyelaras SAMM Selangor, Azhar Achil berkata, laporan polis itu menuntut siasatan segera polis ekoran kenyataan Tan di dalam twitter yang mempersenda dan menghina arahan berpakaian sopan kepada bukan Islam dan menutup aurat kepada Islam.

“Tan Keng Liang perlu ditahan, telefonnya perlu dirampas dan dia perlu dihukum. Kita juga ingin melihat polis bertindak tegas seperti mana jika ada laporan polis terhadap yang lain,” kata Azhar dalam kenyataan medianya.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Daerah Sabak Bernam di sini bersama Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Dewan Pemuda PAS Sabak Bernam

Menurut Azhar, Umno gagal memperkenalkan kepada Tan Keng Liang mengenai Islam sebagai ‘ Ad Din’ yang bukan sekadar solat dan berzakat.

“Agama kepercayaan kami (Islam) yang menyusun hidup kami termasuk menutup aurat. Menutup aurat bukan arahan PAS tetapi tuntutan agama. Kamu sudah melampau dan menghina agama,” kata Azhar.

Sebelum ini, Majlis Perbandaran Alor Setar (MBAS) mula melaksanakan garis panduan supaya model iklan yang dipaparkan dalam kawasan mereka hanya memaparkan model yang berpakaian sopan.

 

Isu ini dipolitikkan sejak beberapa minggu yang lalu apabila beliawanis MCA, Tee Hoi Ling memberikan komen bahawa tindakan memastikan model berpakaian sopan itu seperti memperbudakkan pengiklan.

Di sisi Melayu dan Islam mereka akan menggunakan Umno dan membayar ustaz – ustaz upahan untuk menyerang Pakatan Rakyat yang kononnya tidak Islamik.

Tetapi dalam sisi lain mereka menggunakan MCA dan parti komponen bukan Melayu Islam agar menyerang PR yang terlalu Islamik dengan menggambarkan Islam itu hina dan ortodok,” katanya.

Categories
SELANGOR

SAMM Selangor Gesa Polis Siasat Hamidzun

SABAK BERNAM, 9 OKT : Polis digesa membuat siasatan segera terhadap Presiden Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin yang didakwa melakukan ‘penyelewengan’ ketika menjadi peguam kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Penyelaras Bersama Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Selangor, Azhar Achil berkata, walaupun kononnya Hamidzun membayar semula wang berkenaan tetapi dari segi profesionalisme guaman ia tetap merupakan kesalahan.

Justeru, pihak SAMM Selangor membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam bersama kira-kira 10 orang ahlinya menggesa tindakan segera diambil oleh polis.

“Jika benar perkara ini berlaku beliau (Hamidzun) seharusnya dilucutkan dari menjadi seorang peguam kerana jelas menipu dan dikhuatiri ramai lagi akan tertipu dengan gelaran peguamnya,” kata Azhar dalam kenyataan medianya.

Sebelum ini media melaporkan kes pecah amanah itu melibatkan wang berjumlah RM199,236.15 itu didakwa berlaku sebelum Oktober 2010, ketika Hamidzun merupakan rakan kongsi dalam firma guaman yang juga panel peguam PKNS, Zamri Ibrahim & Co.

Penyelewengan itu didakwa melibatkan kepentingan PKNS dan pembeli-pembeli projek perumahan yang dimajukan oleh anak syarikat Kerajaan Negeri itu.

Setelah PKNS mengambil beberapa tindakan termasuk dua surat amaran, Hamidzun akhirnya menjelaskan bayaran duti setem pindah milik berjumlah RM46,626.15 kepada PKNS pada 6 Jun 2011.

Bayaran Duti Setem tersebut sepatutnya dibuat kepada Lembaga Hasil pada tahun 2009 lagi.

Manakala wang pemegang bernilai RM152,610 yang sepatutnya dijelaskan pada 2010 hanya dilangsaikan pada 24 Januari 2011.