Categories
AGENDA EKONOMI

BNM terus perluas, perkukuh pasaran tempatan

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata perbincangan pihaknya dengan penyedia indeks bon global, FTSE Russell, mengenai kemungkinan bon Malaysia dikekalkan dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI), sangat menggalakkan.

Ketika ini, BNM terus berusaha untuk memperluas dan mempekukuh pasaran tempatan, termasuk memberikan fleksibiliti yang lebih tinggi ke atas rogram lindung nilai dinamik.

Ini telah meningkatkan lagi kecekapan pasaran dan kecairan dalam landskap pasaran kewangan semasa.

“Kami telah meningkatkan penglibatan dengan pelabur. Kami mengadakan perbincangan dengan FTSE Russell ketika mereka berada di sini. Mereka sangat menghargai usaha untuk memperkukuh pasaran tempatan,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama baru-baru ini.

“FTSE Russell telah mengadakan siri perbincangan dengan para pelabur, dan para pelabur memberitahu bahawa mereka melihat akses ke pasaran tempatan kini lebih mudah menerusi pelbagai langkah yang diperkenalkan,” katanya.

Hasil daripada langkah yang dilaksanakan, termasuk membenarkan pelabur menjalankan aktiviti lindung nilai, perolehan pasaran tempatan hari ini meningkat dengan ketara.

Purata jumlah dagangan harian tukaran asing dalam negara meningkat kepada antara US$12 bilion (US$1= RM4.20) dan US$14 bilion setakat ini tahun ini berbanding hanya US$8 bilion pada 2016.

FTSE Russell menawarkan pelbagai indeks yang komprehensif, yang dibangunkan untuk mengukur prestasi pasaran pendapatan tetap di seluruh dunia, termasuk WGBI.

Pada April 2019, FTSE Russell dilapor meletakkan Malaysia di bawah senarai pemantauannya selama enam bulan dengan satu lagi pusingan semakan semula yang dijadualkan pada September.

Ini berikutan kajian pertama klasifikasi pendapatan tetap negara.

“Berada dalam senarai ini tidak bermakna kita akan dikeluarkan. Ini bermakna mereka akan tingkatkan penglibatan dengan pihak berkuasa. Sebelum ini, penglibatan hanya dilakukan pada asas tahunan namun kini ia akan menjadi lebih kerap,” kata Nor Shamsiah.

Mengenai kelestarian fiskal, Gabenor itu berkata: “Kerajaan Malaysia sangat komited terhadap penyatuan fiskal kerana defisit fiskal dijangka berkurangan daripada 3.7 peratus pada 2018 kepada 3.4 peratus pada 2019 dan untuk mengukuh sehingga 2020.

“Ini adalah komitmen untuk kemapanan fiskal. Pengurangan defisit fiskal akan mengurangkan keperluan untuk meminjam.”

Menurut data BNM, jumlah hutang kerajaan Persekutuan pada akhir Jun 2019 sebanyak RM799.1 bilion, di mana hutang dalam negeri berjumlah RM609.1 bilion dan hutang luar negeri pada RM190 bilion.

Ekonomi negara kekal berdaya tahan meskipun terdapat tekanan luar dengan pertumbuhan 4.9 peratus yang dicatatkan pada suku kedua tahun ini daripada 4.5 peratus pada suku pertama.

Bagaimanapun, ditanya sama ada negara mampu menawarkan pakej rangsangan jika sektor luar menjadi lebih teruk namun tetap komited terhadap penyatukan fiskal, Nor Shamsiah berkata: “Walaupun dalam laluan penyatuan fiskal, dasar fiskal masih mempunyai peranan untuk mengutamakan projek dan bidang yang boleh mempunyai kesan pengganda yang tinggi terhadap ekonomi.”

Selain perbelanjaan, peningkatan kecekapan juga akan membantu menjana pertumbuhan dan mengurangkan kos, katanya.

– BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

BNM: EAC perlu cari kaedah rancak pelaburan awam

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) perlu mencari kaedah bagi pergiatkan lagi pelaburan awam untuk memacu ekonomi negara, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau berkata, majlis itu perlu mengkaji insentif sedia ada untuk melihat sama ada ia menarik pelaburan langsung asing yang betul dan sekiranya insentif diberikan kepada syarikat yang betul.

“Kami telah kongsikan dengan kerajaan tentang apa yang boleh dikaji untuk memulihara ekonomi dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun penuh 2018 dan pertumbuhan suku keempat 2018 (4Q18) di sini, hari ini.

Nor Shamsiah turut mengesyorkan supaya EAC menangani isu berkaitan kos sara hidup yang tinggi dengan melakukan kajian terhadap kos itu sendiri, dan bagaimana kerajaan dapat meningkatkan pendapatan dengan menjana lebih banyak kerja perdapatan tinggi, meningkatkan rantaian nilai industri-industri dan menambah baik mobiliti buruh.

“EAC juga perlu berusaha memastikan sistem pendidikan kita mengeluarkan jenis graduan yang betul untuk memenuhi keperluan industri. Ini adalah antara pembaharuan struktur jangka panjang yang perlu kita laksanakan.

“Kita juga perlu lakukan kajian untuk menyokong sektor pelancongan, wang dibelanjakan bagi pelancongan dan bagaimana kita boleh maksimumkan ekonomi semasa untuk meningkatkan pendapatan,” katanya.

Pada Isnin, kerajaan mengumumkan penubuhan EAC 16 anggota, dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anggota majlis itu termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking; Menteri Kerja Raya, Baru Bian; Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri, Dr Muhammed Abdul Khalid; mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz dan Pengerusi Permodalan Nasional Bhd, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Sementara itu, mengenai pertumbuhan pinjaman Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Nor Shamsiah berkata, langkah mengklasifikasikan semula PKS pada tahun lalu tidak menjejaskan bantuan kewangan diberikan oleh kerajaan kepada syarikat-syarikat.

Pinjaman diberikan kepada PKS meningkat kepada RM80.8 bilion pada 4Q18 daripada RM77.2 bilion pada 3Q18.

Tahun lalu, BNM menerusi pekeliling dalaman mengumumkan entiti senaraian dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan anak syarikat mereka tidak lagi diklasifikasikan sebagai PKS dan tidak layak untuk bantuan kerajaan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kementerian kewangan ucap tahniah pelantikan Gabenor BNM baru

OLEH  SYAZWANI SUFIAN
SHAH ALAM, 22 JUN: Kementerian Kewangan mengucapkan tahniah diatas pelantikan Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baharu untuk tempoh lima tahun.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pada 19 Jun lalu, Yang diPertuan Agong memperkenan cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melantik Shamsiah sebagai Gabenor BNM ketika beliau mengemukakan hasrat itu, pada 18 Jun lalu.
“Datuk Nor Shamsiah akan berkhidmat sebagai Gabenor BNM untuk tempoh lima tahun berkuatkuasa mulai 1 Julai hingga 30 Jun 2023.
“Baru-baru ini beliau berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Bahagian Kewangan dan Pasaran Modal Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF),” katanya dalam kenyataan.
Katanya, Shamsiah juga sebelum ini beliau pernah memegang jawatan Timbalan Gabenor BNM dari 2010 hingga 2016 dan dipertanggungjawab ke atas penyeliaan perbankan, insurans dan Takaful, perisikan kewangan dan penguatkuasaan, pengurusan bakat, kewangan dan perkongsian perkhidmatan di BNM.
Tambahnya lagi, beliau juga merupakan seorang lepasan University of South Australia dengan Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Perakaunan selain seorang Akauntan Bertauliah (CPA)
Categories
NASIONAL

Nor Shamsiah dinamakan Gabenor Bank Negara Malaysia

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 22 JUN: Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus dinamakan sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), lapor Bloomberg.

Nor Shamsiah, yang menjadi Timbalan Gabenor BNM selama enam tahun sehingga November 2016, akan menggantikan Tan Sri Muhammad Ibrahim, yang meletakkan jawatan awam bulan ini.

Perletakan jawatan itu dibuat selepas beberapa persoalan dibangkitkan mengenai peranan bank pusat itu dalam satu urus niaga berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Jurucakap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan pelantikan itu selepas mendapat perkenan Yang diPertuan Agong, Sultan Muhammad V.