Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir Sri Muda lebih perlu makanan kering, henti sumbang pakaian

SHAH ALAM, 22 DIS: Sumbangan pakaian untuk mangsa banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini tidak lagi diperlukan, kata Pengurus Operasi Pengurusan Kecemasan Bencana Selangor Shehdi Hazrik Shamsudin.

Sebaliknya, Shehdi Hazrik berkata pihaknya yang turut membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam menguruskan sumbangan, masih menerima sumbangan makanan kering dan minuman seperti air mineral; mi segera; alat pembersihan diri; lampin pakai buang dan susu formula.

“Pakaian kita tidak perlu sebab yang ada masih banyak dan ia sudah jadi lambakan di tempat pengumpulan bantuan ini.

“Pihak kami memohon sangat kepada semua, hentikan hantar pakaian terpakai dan fokus kami adalah bantuan makanan seperti biskut, maggi, makanan kering,” katanya pada pemberita di pusat pengumpulan bantuan banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 hari ini.

Beliau berkata makanan yang sudah diproses akan diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan jabatan tersebut sudah mempunyai peruntukan khusus.

-BERNAMA

Categories
ADN SELANGOR

2,000 penduduk DUN Bandar Baru Klang terima bantuan makanan kering

SHAH ALAM, 16 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Baru Klang mengagih bantuan makanan kepada 2,000 penduduk berpendapatan rendah (B40) kawasan itu sebagai usaha membantu golongan berkenaan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata sumbangan bernilai RM60,000 itu diberikan secara berperingkat pada hari ini dan minggu depan.

“Penerima akan mendapat makanan kering seperti beras, sardin, tepung, gula, biskut, bihun dan minyak.

“Hari ini 1,000 agihan dibuat di Pangsapuri Mawar, Cempaka, Dahlia, Pelangi Indah dan Rebana manakala minggu hadapan sekitar Teluk Pulai, Batu Belah dan Tepi Sungai,” katanya kepada SelangorKini.

Menurutnya, bantuan diagihkan pasukan petugas khas yang diketuai empat Ahli Majlis iaitu Dr Quah Perng Fei, Low Kwee Sia, Halid Kaab dan Gan Eu Eng.

“Kita harap bantuan ini akan meringankan beban semua penerima,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais agih 1,000 set makanan kering kepada mangsa banjir Hulu Langat, Sepang

SHAH ALAM, 22 NOV: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memperuntukkan RM50,000 membantu penduduk sekitar Hulu Langat dan Sepang yang menjadi mangsa banjir awal bulan ini.

Anggota Mais, Prof Madya Dr Yasmin Hanani Mohd Safian berkata sumbangan berupa 1,000 bungkusan makanan kering diagihkan semalam melalui wakil ketua kampung.

“Setiap mangsa menerima bungkusan berisi beras, gula, biskut, gula dan minyak.

“Kos sumbangan ini dari Baitulmal Mais dengan kerjasama Yayasan Islam Darul Ehsan dan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Sementara itu, Ketua Kampung Batu 20 Sungai Lui, Mohd Ramdan Kamso menghargai bantuan makanan tersebut.

“Ini dapat mengurangkan beban perbelanjaan penduduk selepas terjejas akibat banjir,” katanya.

Awal November lalu, lebih 400 rumah di 10 kampung di Hulu Langat ‘lumpuh’ akibat banjir susulan hujan lebat hampir lima jam.