Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir Sri Muda lebih perlu makanan kering, henti sumbang pakaian

SHAH ALAM, 22 DIS: Sumbangan pakaian untuk mangsa banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini tidak lagi diperlukan, kata Pengurus Operasi Pengurusan Kecemasan Bencana Selangor Shehdi Hazrik Shamsudin.

Sebaliknya, Shehdi Hazrik berkata pihaknya yang turut membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam menguruskan sumbangan, masih menerima sumbangan makanan kering dan minuman seperti air mineral; mi segera; alat pembersihan diri; lampin pakai buang dan susu formula.

“Pakaian kita tidak perlu sebab yang ada masih banyak dan ia sudah jadi lambakan di tempat pengumpulan bantuan ini.

“Pihak kami memohon sangat kepada semua, hentikan hantar pakaian terpakai dan fokus kami adalah bantuan makanan seperti biskut, maggi, makanan kering,” katanya pada pemberita di pusat pengumpulan bantuan banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 hari ini.

Beliau berkata makanan yang sudah diproses akan diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan jabatan tersebut sudah mempunyai peruntukan khusus.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Murid tiada seragam sekolah boleh pakai baju biasa hingga 26 Mac

PUTRAJAYA, 24 FEB: Murid yang belum mempunyai pakaian seragam sekolah diberi kebenaran memakai pakaian yang sesuai dan kemas serta sopan untuk hadir ke sekolah, kata Kementerian Pendidikan (KPM).

Dalam kenyataan hari ini, KPM berkata kebenaran itu diberi mulai 1 Mac sehingga 26 Mac, iaitu sehingga cuti pertengahan penggal persekolahan 2021.

KPM berkata berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas 3/1983: Pakaian Seragam Murid-Murid Sekolah, murid perlu memakai pakaian seragam sekolah untuk hadir ke sekolah, namun mengambil kira keadaan semasa kebenaran itu diberikan.

Menurutnya perkara itu diputuskan susulan banyak pertanyaan daripada ibu bapa mengenai peraturan pemakaian pakaian seragam sekolah apabila sesi persekolahan dibuka kelak.

“KPM berharap kebenaran ini akan membolehkan semua murid kembali hadir ke sekolah bagi mengikuti pembelajaran secara bersemuka. KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya.

Pada 19 Februari lepas, KPM mengumumkan tarikh pembukaan sekolah untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 1 Mac.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP rampas baju, seluar jenama tiruan bernilai lebih RM67,000

PUTRAJAYA, 20 NOV: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membanteras penjualan pakaian berjenama tiruan melalui transaksi dalam talian melalui satu operasi yang dijalankan di sebuah kediaman di Taman Cheras Jaya di Balakong, Selangor pada Selasa lepas.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata dalam serbuan itu, KPDNHEP merampas pelbagai baju dan seluar jenama Adidas, Puma dan Nike yang disyaki tiruan dengan nilai dianggarkan RM67,750.

“Modus operandi peniaga ini ialah dengan mengiklankan pakaian berjenama tiruan dengan harga yang lebih murah daripada pasaran bagi menarik perhatian pembeli di tapak pasar dalam talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Iskandar Halim, pengadu yang juga wakil pemilik cap dagang berjaya mengesan lokasi tempat pengedaran barangan tiruan tersebut selepas membuat pesanan dalam talian menerusi alamat peniaga yang tertera pada bungkusan yang dikirimkan.

“Rentetan daripada urus niaga itu, pengadu telah membuat perbandingan dengan pakaian jenama yang asli. Setelah mengenal pasti pakaian yang dibeli adalah tiruan, pengadu membuat aduan kepada KPDNHEP untuk tindakan yang selanjutnya,” katanya.

Iskandar Halim berkata dalam serbuan tersebut, seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis telah diambil keterangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah, katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada individu atau syarikat agar lebih bertanggungjawab dan menghormati harta intelek orang lain.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Derma pakaian lama, jana sumber kewangan tujuan amal

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Menderma pakaian lama bukan sahaja menyumbang kepada kelestarian alam sekitar, tetapi juga boleh menjadi sumber kewangan bagi tujuan amal dan membantu golongan memerlukan.

Pengurus syarikat kitar semula tekstil ‘Life Line Clothing Malaysia’ Mohamad Zaki Suratman berkata, pihaknya bekerjasama dengan pelbagai institusi seperti masjid dan sekolah bagi menjayakan matlamat itu.

“Sebagai contoh, menerusi projek pengumpulan pakaian lama yang dijalankan di sebuah masjid baru-baru ini, kami berjaya mengumpul 40 tan pakaian yang menghasilkan dana sehingga RM4,000 untuk tabung masjid berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Mohamad Zaki berkata pakaian yang dikumpul menerusi siri jelajah di pelbagai lokasi seluruh negara pada setiap minggu itu, akan diasingkan di kilang terletak di Pelabuhan Klang mengikut keadaan pakaian berkenaan.

“Pakaian yang masih elok untuk dipakai akan didermakan kepada negara membangun, manakala yang sudah tidak dalam keadaan baik akan dibawa untuk proses kitar semula atau guna semula,” katanya.

Pada masa sama, pihaknya juga sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai pihak, untuk menjadi pusat pengumpulan pakaian dan maklumat berkenaan lokasi program boleh diperoleh menerusi akaun Telegram.

“Harapan saya kepada orang ramai, fikirlah dahulu dalam membuang sebarang sampah yang akan berakhir di tapak pelupusan sampah, kerana ia mengambil masa lama untuk dilupuskan selain menyebabkan pencemaran alam sekitar.

“Sebaiknya, kita perlu mulakan dengan belajar untuk mengamalkan amalan kurang membeli barang. Bukan tak boleh beli baju, tapi biarlah ikut keperluan atau beli yang lebih berkualiti dan menjaga tekstil supaya boleh pakai lebih lama,” katanya.

Sementara itu, syarikat penjualan pakaian multinasional ‘H&M Group’ telah mengumpulkan hampir 1,300 tan pakaian di Malaysia sejak 2013 di kesemua kedai H&M dan Monki menerusi inisiatif kutipan pakaiannya, yang bertujuan mengurangkan jumlah pakaian tidak digunakan, dibuang ke tapak pelupusan sampah.

Pengurus Kelestarian Asia Tenggara H&M Marian Dang berkata, bagi setiap kilogram pakaian yang dikutip, sebanyak EUR 0.02 (kira-kira 10 sen) didermakan kepada Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu untuk kemanusiaan kanak-kanak dan bantuan pembangunan.

“Inisiatif kutipan pakaian H&M merupakan salah satu daripada inisiatif kelestarian, di mana pelanggan boleh menyertainya ke arah masa depan fesyen yang lestari.

“Dengan rakan kongsi I:CO, kesemua pakaian dikumpulkan sama ada digunakan semula, dipakai semula atau dikitar semula, dengan tiada yang akan sampai ke tapak pelupusan sampah,” katanya.

Dang berkata bagi menggalakkan pelanggan mereka untuk menyertai program tersebut, pelanggan akan menerima baucar potongan 15 peratus untuk setiap beg pakaian yang tidak dikehendaki, tanpa mengira jenama dan keadaan.

Beliau menambah, mereka juga mengenakan 20 sen bagi setiap beg plastik atau beg kertas yang akan didermakan kepada projek WWF-Malaysia untuk menjaga sumber air bersih dan ekosistem di Lembah Klang, Setiu Wetlands di Terengganu dan juga di Sarawak.

“Sejak pelancaran inisiatif ‘Choose To Reuse’ di Malaysia Julai tahun lepas, rangkaian kedai H&M telah berjaya mengurangkan penggunaan lebih 1.5 juta beg plastik dan beg kertas,” katanya.

-BERNAMA