Categories
AGENDA NASIONAL

Kenaikan kos makanan ternakan punca harga ayam meningkat

PUTRAJAYA, 19 APRIL: Mengakui berlaku peningkatan harga ayam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, peningkatan kos makanan ternakan ayam yang diimport adalah antara penyebab utamanya.

Berikutan itu, katanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pemilik ladang ayam besar di negara ini, serta perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), bagi membolehkan penetapan harga ayam standard dilaksanakan.

Hasilnya, harga ayam standard ditetapkan pada harga RM7.90 dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021, yang akan bermula Rabu ini sehingga 20 Mei, berbanding RM7.50 pada SHMMP Hari Raya Puasa 2020.

“Terdapat pelbagai faktor kenaikan harga ayam, tetapi yang paling ketara peningkatan kos makanan ternakan ayam sejak Januari tahun ini, iaitu jagung dan soya yang diimport dari luar negara,” katanya dalam sidang media mengumumkan SHMMP Hari Raya Puasa 2021 di kementeriannya hari ini.

SHMMP Hari Raya Puasa 2021 selama 30 hari iaitu 22 hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan tujuh hari selepas hari perayaan, melibatkan 12 jenis barangan membabitkan empat kategori iaitu ayam, telur ayam, daging dan hasil laut.

Nanta berkata, kawalan harga dilaksanakan di setiap peringkat rantaian pengedaran ayam, iaitu peringkat ladang, borong dan runcit, bagi mengekang kenaikan harga ayam yang berlebihan.

“Penetapan ini tidak membebankan peniaga, kerana setiap rantaian pengedaran ayam tersebut mendapat keuntungan masing-masing,” katanya yang berharap penetapan harga ayam itu mengurangkan rungutan rakyat, berhubung isu kenaikan harga terutama ayam yang merupakan sumber protein yang mudah diperolehi.

Beliau berkata kawalan harga ayam itu hanya melibatkan ayam hidup, ayam standard dan ayam super sahaja, semasa musim Perayaan Hari Raya Puasa.

“Harga bagi bahagian ayam yang telah dipotong tidak kawal, contohnya dada, kaki dan paha,” katanya.

Nanta memberi amaran agar harga ayam atau barangan lain tidak dinaikkan melebihi harga yang ditetapkan dalam SHMMP Hari Raya Puasa 2021.

“Kita galakkan mereka untuk jual dengan harga lebih murah daripada yang ditetapkan dalam SHMMP Hari Raya Puasa 2021.

“Sekiranya ada yang menaikkan harga barangan, kita akan ambil tindakan nasihat terlebih dahulu dan sekiranya mereka tetap berdegil, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.

Semalam, Nanta dilaporkan berkata, KPDNHEP mengeluarkan 24 notis kepada pemborong yang disyaki mencatut dalam Operasi Antipencatutan 8.0 (Ops Catut 8.0) selama dua hari, bermula 15 April di seluruh negara.

Ops Catut 8.0 yang dilaksanakan, susulan kenaikan mendadak harga ayam yang dikesan baru-baru ini juga, turut mengeluarkan 16 notis kepada penternak atas kesalahan sama.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan Negeri bangun industri makanan ternakan berasaskan sawit

SHAH ALAM, 31 JAN: Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia untuk membangunkan industri pembekalan makanan ternakan tempatan.

EXCO pertanian dan asas tani berkata penghasilan produk tempatan berasaskan batang dan pelepah kelapa sawit mengurangkan kebergantungan import makanan lembu dan kambing.

“Kajian dijangka siap sepenuhnya menjelang Mac, selepas ini kita boleh gunakan produk tempatan yang lebih tinggi kandungan protein berbanding produk luar negara.

“Selain sawit, inovasi pertanian membolehkan jerami diproses sebagai makanan ternakan. Produk ini menawarkan kos lebih murah malah kandungan khasiat yang tinggi membantu tumbesaran haiwan ternakan,” kata Ir Izham Hashim selepas meninjau pasar tani di pekarangan Stadium Shah Alam hari ini.

Beliau menambah Kerajaan Negeri komited bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan dalam sektor pertanian.

Pada Mac 2019, bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub Asas Tani berkata Malaysia berbelanja RM3.2 bilion untuk mengimport makanan ternakan berasaskan jagung dan soya setiap tahun.