Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KPN: Sistem khas pantau individu jalani tempoh kuarantin

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Polis mempunyai sistem khas bagi mengawasi individu yang menjalani tempoh kuarantin 14 hari di rumah selepas mereka pulang dari luar negara.

Tanpa memperincikan butiran lanjut sistem khas itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata ia digunakan untuk mengesan mereka yang keluar dari rumah dan melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata individu yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalani tempoh kuarantin harus mematuhi arahan KKM dan tidak dibenarkan keluar rumah.

“Sekiranya mereka ingkar dan berdegil keluar rumah dalam tempoh kuarantin, polis boleh mengambil tindakan dengan menahan serta mendakwa mereka… tindakan mereka (keluar rumah) membahayakan orang lain jika dijangkiti Covid-19,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman, di sini.

Abdul Hamid berkata selain itu, untuk memastikan keberadaan individu dikuarantin di rumah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara diarah membuka pusat panggilan dengan menghubungi atau membuat panggilan video terhadap individu dikuarantin.

“IPD-IPD terlibat diberikan tanggungjawab memantau mereka namun atas faktor kekangan keanggotaan, kami meminta bantuan Jabatan Sukarelawan (Malaysia) untuk membuat tinjauan ke rumah mereka serta menggunakan kaedah sama (menghubungi dan membuat panggilan video).

“Sampai macam itu sekali kami terpaksa buat untuk mengesahkan keberadaan individu dikuarantin untuk mereka sentiasa berada di dalam rumah,” katanya.

Abdul Hamid berkata polis dan KKM hanya meminta individu dikuarantin berada di rumah dan bukannya diperintah untuk masuk lokap, oleh yang demikian, beliau berharap pihak terlibat akur dengan arahan itu.

“Ia adalah arahan amat mudah sekali iaitu untuk duduk di rumah dan mengkuarantinkan diri,” katanya.

Sementara itu, ditanya sekiranya ada orang ramai yang menyembunyikan maklumat kluster Covid-19 daripada polis dan KKM, Abdul Hamid berkata ia menjadi satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342.

“Oleh itu, saya mohon orang ramai untuk tampil menyampaikan maklumat jika ada individu berdekatan mereka yang berkemungkinan dijangkiti Covid-19.

“Jangan disebabkan anda menyorokkan maklumat kluster Covid-19, orang lain yang menjadi mangsa kerana ini adalah tanggungjawab bersama untuk memutuskan rantaian wabak itu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

ABIM gesa kerajaan lindungi pemberi maklumat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 9 FEB: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa langkah proaktif kerajaan bagi mendaulatkan undang-undang dengan melindungi pemberi maklumat seperti termaktub di bawah Akta Perlindungtan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

Presiden ABIM, Mohd Raimi Ab Rahim berkata, langkah terbabit perlu demi menghilang kegusaran rakyat untuk mendedahkan maklumat tertentu yang difikirkan mengandungi unsur rasuah serta penyalahgunaan dan penyelewengan dana awam oleh pihak tertentu.

“ABIM mengungkap kembali kenyataan kerajaan pada Jun 2010 ketika Parlimen meluluskan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) yang menegaskan tujuannya antara lain untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa dengan menggalakkan serta memudah cara pendedahan salah laku dalam sektor awam juga swasta serta melindungi mereka yang membuat pendedahan.

“Maka, ABIM menggesa pelindungan yang dinyatakan dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) tidak dibatasi oleh mana-mana undang-undang bertulis lain yang secara tidak langsung boleh menjenayahkan sesiapa sahaja ingin membuat pendedahan,” katanya.

Mohd Raimi berkata demikian sambil menjelaskan, ABIM memandang berat sabitan dan hukuman penjara 30 bulan dikenakan ke atas Naib Presiden KEADILAN yang juga Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan bekas kerani, Johari Mohamad, atas kesalahan mendedahkan maklumat perbankan berhubung skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Katanya, ABIM mengamati keputusan Mahkamah Sesyen itu adalah terhad hanya dalam ruang lingkup untuk mengaplikasikan undang-undang sedia ada khususnya peruntukan dalam Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (Akta 372) (Bafia) dan ia harus dihormati.

“Justeru, langkah lebih proaktif di peringkat kerajaan sebagai badan eksekutif serta institusi Parlimen sebagai organ legislatif perlu untuk mengangkat dan mendaulatkan undang-undang sedia ada dalam melindungi pemberi maklumat atau ‘whistleblower’ termasuk Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

“ABIM merujuk kepada Seksyen 6 (1) akta sama yang menyatakan: “Seseorang boleh membuat pendedahan kelakuan tidak kepercayaannya yang munasabah bahawa mana-mana orang telah membabitkan diri, sedang membabitkan diri atau bersedia untuk membabitkan diri dalam kelakuan tidak wajar: Dengan syarat bahawa pendedahan sedemikian tidak dilarang secara khusus oleh mana-mana undang-undang bertulis,” katanya.

Selain itu, Mohd Raimi berkata, ABIM juga menggesa untuk diwujudkan peruntukan ‘pembelaan’ kepada kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) untuk memberi hak kepada pemberi maklumat membela diri atas alasan munasabah seperti kepentingan awam apabila didakwa atas kesalahan mendedahkan sesuatu kesalahan.

Categories
SELANGOR

LAPORAN KHAS: Maklumat Tanaman Padi Luar Jadual

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 15 APR: Bagi musim pertama, Sawah Sempadan dijadual air mula masuk pada 1 Januari manakala tempoh menuai pula selama 120 hari bersamaan empat bulan.

Bagi musim kedua pula, Sawah Sempadan mula menerima air pada 1 Julai dengan tempoh menuai juga empat bulan.

Bagi Sungai Burong, air masuk pada 1 Februari bagi musim pertama dan 1 Ogos bagi musim kedua.

padi_sabak_01Bagi Sungai Besar, air masuk pada 1 Mac bagi musim pertama manakala musim kedua 1 September.

Sungai Besar mula masuk air pada 1 April bagi musim pertama dan musim kedua bermula 1 Oktober.

Penuaian padi sepatutnya dalam tempoh 120 hari dari tarikh menanam dan antara tempoh menuai dan jadual air masuk, lazimnya mengambil masa kira-kira dua bulan.

Tanaman luar jadual boleh menyebabkan kelewatan untuk musim kedua, contohnya tanaman sepatut bermula pada Julai terpaksa ditunda hingga Ogos.

Ini menyebabkan ketidakseragaman dalam tempoh pengawalan air masuk.

Risiko serangan serangga dan perosak juga lebih tinggi akibat kawasan lain belum bertanam lagi.

Hasil padi pada tanaman luar jadual selalunya berada pada tahap 2.5 tan berbanding hasil dalam jadual iaitu 6.14 tan semusim.