Categories
AGENDA JENAYAH

KPN: 372 tekong ditahan dalam Op Benteng

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Polis menahan 372 tekong yang terbabit dalam penyeludupan pendatang asing tanpa izin ke negara ini sejak Op Benteng dilaksanakan pada Mei lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata daripada jumlah itu, 80 kertas siasatan yang lengkap dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan.

“Sebanyak 80 tekong didakwa dalam masa terdekat,” katanya selepas menghadiri majlis serah terima tugas antara Timbalan Pengarah JSJK Datuk Saiful Azly Kamaruddin yang dilantik sebagai Pemangku Pengarah JSJK dengan Pengarah JSJK Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad yang bersara wajib Ahad ini (28 Jun).

Op Benteng diaktifkan sejak Mei di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia, polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Mengenai penahanan tiga pegawai Imigresen yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan warga asing di Johor, beliau berkata polis akan menjalankan siasatan dengan meneliti daripada setiap sudut.

“Terdapat beberapa dakwaan mengatakan pegawai itu tidak bersalah kerana pas lawatan atau pasport individu berkenaan sukar untuk diperbaharui berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Namun, risikan yang diterima mendapati mereka ini memberi laluan mudah dengan licik kepada pendatang asing masuk ke negara ini,” kata Abdul Hamid.

Selasa lepas, seorang pegawai kanan dan dua pegawai Jabatan Imigresen berusia 30 hingga 48 tahun ditahan di Terminal Feri Pasir Gudang, Johor Bahru.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KPN: Sistem khas pantau individu jalani tempoh kuarantin

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Polis mempunyai sistem khas bagi mengawasi individu yang menjalani tempoh kuarantin 14 hari di rumah selepas mereka pulang dari luar negara.

Tanpa memperincikan butiran lanjut sistem khas itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata ia digunakan untuk mengesan mereka yang keluar dari rumah dan melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata individu yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalani tempoh kuarantin harus mematuhi arahan KKM dan tidak dibenarkan keluar rumah.

“Sekiranya mereka ingkar dan berdegil keluar rumah dalam tempoh kuarantin, polis boleh mengambil tindakan dengan menahan serta mendakwa mereka… tindakan mereka (keluar rumah) membahayakan orang lain jika dijangkiti Covid-19,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman, di sini.

Abdul Hamid berkata selain itu, untuk memastikan keberadaan individu dikuarantin di rumah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara diarah membuka pusat panggilan dengan menghubungi atau membuat panggilan video terhadap individu dikuarantin.

“IPD-IPD terlibat diberikan tanggungjawab memantau mereka namun atas faktor kekangan keanggotaan, kami meminta bantuan Jabatan Sukarelawan (Malaysia) untuk membuat tinjauan ke rumah mereka serta menggunakan kaedah sama (menghubungi dan membuat panggilan video).

“Sampai macam itu sekali kami terpaksa buat untuk mengesahkan keberadaan individu dikuarantin untuk mereka sentiasa berada di dalam rumah,” katanya.

Abdul Hamid berkata polis dan KKM hanya meminta individu dikuarantin berada di rumah dan bukannya diperintah untuk masuk lokap, oleh yang demikian, beliau berharap pihak terlibat akur dengan arahan itu.

“Ia adalah arahan amat mudah sekali iaitu untuk duduk di rumah dan mengkuarantinkan diri,” katanya.

Sementara itu, ditanya sekiranya ada orang ramai yang menyembunyikan maklumat kluster Covid-19 daripada polis dan KKM, Abdul Hamid berkata ia menjadi satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342.

“Oleh itu, saya mohon orang ramai untuk tampil menyampaikan maklumat jika ada individu berdekatan mereka yang berkemungkinan dijangkiti Covid-19.

“Jangan disebabkan anda menyorokkan maklumat kluster Covid-19, orang lain yang menjadi mangsa kerana ini adalah tanggungjawab bersama untuk memutuskan rantaian wabak itu,” katanya.

-BERNAMA