Categories
EXCO SELANGOR

Waspada jangkitan malaria, tingkat pencegahan

SHAH ALAM, 30 JUN: Masyarakat dinasihatkan terus mengambil langkah berjaga-jaga dalam mengurangkan risiko jangkitan malaria walaupun tiada kes baharu dicatatkan, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata orang ramai perlu mengelakkan aktiviti luar pada waktu malam namun sekiranya perlu disarankan memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang.

“Setakat ini tiada kes baharu tetapi mengambil langkah pencegahan lebih baik kerana kita bimbang ketika dunia dilanda pandemik Covid-19, kes malaria turut sama meningkat. Itu yang kita tidak mahu,” kata beliau ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau turut menasihatkan individu yang mempunyai simptom demam, sejuk dan menggigil juga perlu ke pusat kesihatan bagi mendapatkan rawatan susulan.

Baru-baru ini, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat mengesan 14 kes malaria membabitkan 13 warga asing dan seorang rakyat tempatan di Ampang.

Jangkitan itu berpunca daripada seorang pekerja Indonesia di tapak pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Klang yang mendapat jangkitan dari negara asalnya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Empat belas kes malaria dikesan di Ampang, punca dari warga asing

SHAH ALAM, 26 JUN: Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat mengesan 14 kes malaria membabitkan 13 warga asing dan seorang rakyat tempatan di Ampang.

Ketua pengarah kesihatan berkata jangkitan berpunca daripada seorang pekerja Indonesia di tapak binaan Lebuhraya Sungai Besi-Klang yang mendapat jangkitan dari negara asalnya.

“Seramai 3,017 individu di tapak pembinaan dan taman perumahan berhampiran disaring dan 14 individu dijangkiti membabitkan sembilan warga Indonesia, Bangladesh (tiga) dan masing-masing satu Nepal serta rakyat tempatan,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

“Kesemua kes dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan disahkan sembuh.”

Sebagai langkah kawalan katanya, PKD Hulu Langat membuat semburan racun di 193 rumah pekerja dan menyerahkan 340 kelambu berubat.

Categories
NASIONAL

Malaria: Majikan diingat pastikan pekerja asing disaring

PADANG BESAR 5 OGOS: Majikan terutamanya syarikat perladangan diingatkan supaya memastikan setiap pekerja asing mereka melalui prosedur saringan malaria semasa masuk ke negara ini bagi memastikan penyakit itu tidak terus menular di negara ini, kata Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, walaupun bilangan kes malaria di negara ini telah menurun, komitmen dan sokongan daripada semua pihak masih diperlukan bagi mencapai sifar malaria menjelang 2020.

 

“Masih terdapat risiko jangkitan semula di kawasan yang telah diisytiharkan bebas malaria disebabkan faktor kemasukan pekerja asing dari negara yang bermasalah malaria atau rakyat Malaysia yang bekerja di negara berisiko malaria.

“Pihak majikan antaranya bertanggungjawab menyediakan kelambu berubat kepada pekerja bagi melindungi daripada gigitan nyamuk dan memastikan pekerja menjalani pemeriksaan di klinik dengan segera jika mengalami gejala malaria,” katanya pada majlis perasmian Sambutan Hari Malaria Sedunia peringkat Kebangsaan di Felcra Lubuk Sireh di sini, hari ini.

Perasmian program itu disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri pantau aktiviti cegah kes malaria

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan agensi berkaitan sentiasa menjalankan pemantauan juga aktiviti kawalan bagi mencegah kes malaria, di Selangor.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, pendekatan itu diambil bagi memastikan ia terkawal dan setakat ini 87 kes dicatatkan di seluruh Selangor, sehingga 14 Oktober lalu.

“Aktiviti kawalan malaria di bawah bidang Kementerian Kesihatan Malaysia dan JKNS bertujuan mengurangkan ‘mortality’ dan ‘morbidity’ penyakit malaria serta mencegah kejadian di kawasan sudah bebas daripada penyakit itu.

“Bagi mengelak kes kematian berulang, JKNS mengarahkan semua hospital di Selangor memantau sejarah pergerakan pesakit dalam tempoh sebulan sama ada baru balik dari hutan atau kawasan malaria.

“Ia juga memantau golongan sepertu pembalak, orang asli, pemburu, pelancong atau penduduk yang mendiami kawasan pinggiran hutan,” katanya menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri Selat Klang, Dr Halimah Ali dalam sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Dalam masa sama, beliau berkata, semua pengamal perubatan swasta diminta meningkatkan ‘indexs of suspicion’ jangkitan malaria dan melaksanakan ujian filem darah untuk parasit malaria (BFMP) terhadap kumpulan berisiko mempunyai kriteria antaranya warga asing dari negara seperti Afrika, Pakistan, Myanmar, India, Indonesia juga Nepal juga orang asli dan rakyat tempatan mempunyai rekod perjalanan ke kawasan berisiko di dalam atau luar negara.

Pihak berkuasa tempatan (PBT), katanya, turut membantu melaksanakan aktiviti pencegahan antaranya Majlis Perbandaran Klang mengadakan ‘zonning’ untuk menempatkan pekerja warga asing digajikan pegilang supaya tidak menimbulkan kacau ganggu dan kesihatan awam.

“Selain itu, satu mesyuarat membincangkan perkara berkaitan dilaksanakan setiap empat bulan sekali bersama pemain industri bagi menyelesaikannya.

“Penyediaan pamplet pelbagai bahasa juga diedarkan PBT kepada warga asing bagi membolehkan mereka memahami perkara itu,” katanya.