Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan jamin tidak beri status warganegara kepada pembeli MM2H

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Kerajaan memberi jaminan tidak memberikan status kewarganegaraan kepada rakyat asing yang membeli rumah mewah tidak terjual menerusi program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan hanya bercadang menawarkan visa selama 10 tahun kepada bakal pembeli mengikut syarat tertentu.

“Tidak ada pemberian MyKad atau dokumen Penduduk Tetap (PR) yang dijanjikan, hanya visa selama 10 tahun. Perkara ini akan dibincang di peringkat Kabinet.

“Bagaimanapun, warga asing berkenaan mesti mempunyai ‘liquid asset’ supaya dapat memberi sumbangan kepada negara,” katanya menambah bahawa kempen pemilikan rumah itu adalah terbuka dan tidak terhad kepada warga China dan Hong Kong sahaja.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian selepas melawat dan menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada balu Mejar Mohd Zahir Armaya, Nour Shafinar Harun di Kem Wardieburn di sini, hari ini.

Allahyarham Mohd Zahir yang juga anak kepada seniman terkenal AR Badul meninggal dunia selepas terkena tembakan dalam satu demonstrasi sempena penubuhan 5 Divisyen di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah pada 4 September lepas.

Pada lawatan lebih setengah jam itu, Dr Wan Azizah diiringi Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima Gerak Khas Mejar Jeneral Datuk Hasan Ali dan Pengarah 21 Gerak Khas Kolonel Othman Mustaffa.

Dr Wan Azizah berkata demikian bagi mengulas kebimbangan orang ramai terhadap kemungkinan pemberian status kewarganegaraan diberi kepada warga asing yang membeli rumah mewah tidak terjual menerusi program MM2H.

Baru-baru ini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mencadangkan penganjuran MM2H kepada pembeli warga asing bagi menyelesaikan isu lambakan rumah mewah tidak terjual sebagai sebahagian daripada usaha untuk memulihkan ekonomi negara.

Dalam perkembangan lain, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata terdapat tujuh negeri tidak bersetuju menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun.

Negeri-negeri terbabit adalah Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan, katanya.

Menerusi Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri pada Oktober lepas, kerajaan menetapkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun bagi bukan Islam dan Islam, lelaki serta perempuan di semua negeri.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang meminda Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) untuk menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun bagi perempuan.

“Permohonan perkahwinan bawah umur di bawah Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) pula diperketat melalui pewujudan prosedur operasi standard (SOP) perkahwinan bawah umur yang mengambil kira aspek sosial dan kesihatan pemohon,” katanya.

Jelas Dr Wan Azizah, Jakim juga sedang membuat penyelarasan dengan negeri-negeri berhubung enakmen undang-undang keluarga Islam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Zuraida: Lambakan rumah mewah dijual melalui MM2H

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menjelaskan, lambakan jualan rumah mewah yang tidak terjual di negara ini, akan dijual kepada warga asing di bawah program Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

“Kempen itu dilaksanakan melalui MM2H dan bukan melalui kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang saya nyatakan sebelum ini, sehingga menimbulkan kekeliruan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Pada 11 September lalu, Zuraida dilapor mencadangkan HOC untuk menarik pembeli dari China dan Hong Kong bagi menyelesaikan isu lambakan rumah mewah di negara ini, yang bernilai kira-kira RM100 bilion dan ini membawa kritikan daripada orang ramai serta anggota partinya.

Beliau berkata, kempen bagi menyelesaikan isu lambakan rumah mewah tidak terjual itu bagaimanapun, masih dalam perbincangan di peringkat kementerian dan belum dibawa kepada Kabinet.

Sementara itu, Zuraida berkata program MM2H terbuka kepada semua warganegara asing, manakala China dan Hong Kong dipetik sebagai contoh memandangkan harga purata hartanah di situ adalah tinggi.

“Program MM2H yang diperkenalkan pada 2002 meletakkan syarat-syarat ketat dan ia dikawal selia oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Menurut Zuraida cadangan itu mengambil kira faktor lain, antaranya mengelakkan lambakan projek gajah putih yang tidak baik kepada pertumbuhan ekonomi negara, di samping masalah sosial yang mungkin wujud berikutan rumah-rumah itu dibiarkan tidak berpenghuni.

Tambahnya lagi, cadangan itu juga dapat merancakkan aktiviti ekonomi dalam negara, menarik aliran wang asing dan pelancongan ke dalam negara, manakala program MM2H pula dapat menambah nilai modal insan melalui perkongsian kemahiran dan pengalaman ekspatriat yang masuk secara sah dalam negara.

“Ini adalah usaha kementerian dalam menyelesaikan beban ditinggalkan pentadbiran Barisan Nasional, yang tidak melakukan kajian menyeluruh mengenai permintaan dan pengeluaran berkaitan perumahan.

“Perkara ini sudah tentu tidak mengalihkan fokus saya, untuk memberi tumpuan kepada program perumahan mampu milik buat golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40),” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Program MM2H Gagal Kerana Dasar Negara Lemah

SHAH ALAM 16 MAC : Tindakan Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen menyalahkan perhimpunan aman rakyat Malaysia sebagai alasan kegagalan program Malaysia My Second Home (MM2H) amat mengecewakan, kata Exco Pelancongan Selangor Elizabeth Wong.

Dalam Parlimen semalam, ketika menjawab soalan, Dr Ng berkata warga asing tidak berminat dalam program MM2H kerana mereka tidak melihat negara Malaysia sebagai negara aman dan stabil.

Elizabeth dalam satu kenyataan media berkata kenyataan Ng hanya memalukan diri dan kerajaan Malaysia dan hanya mencari alasan daripada kegagalan Kementeriannya.

“Saya ingin mengingatkan menteri itu bahawa kebanyakkan negara di dunia yang mengamalkan sistem demokrasi menganggap perhimpunan aman sebagai amalan yang biasa.

“Kebebasan rakyat menyuarakan pendirian tidak dilihat sebagai kelemahan sesebuah negara tetapi keutuhan terhadap prinsip demokrasi,” katanya.

Sebaliknya, beliau memberitahu Dr Ng bahawa MM2H bukanlah gagal kerana perhimpunan awam tetapi dasar berkaitan yang tidak mengurangkan masalah imigresen dan juga permit MM2H yang kurang menarik kerana tiada keistimewaan khas.

“Misalnya, baru-baru ini, saya menerima aduan sepasang suami isteri yang menyertai MM2H. Walaupun anak mereka berjaya memasuki universiti tempatan, beliau terpaksa keluar Malaysia sebelum membuat permohonan baru.

“Tindakan sebeginilah yang mengakibatkan kesusahan terhadap pelabur MM2H dan mengurangkan penerimaan program tersebut.

Tegasnya, adalah lebih wajar jika NG membuat kajian mendalam untuk memahami sebab-sebab kegagalan MM2H.

“Saya yakin dasar imigresen, gejala rasuah dan kedaulatan undang-undang merupakan isu-isu yang lebih utama kepada warga asing yang cuba ditarik menyertai program MM2H,” katanya.