Categories
AGENSI SELANGOR

Malaysia Women Marathon secara maya mulai 8 Mac

SHAH ALAM, 10 MAC: Acara maraton wanita MCIS Life Malaysia Women Marathon (MWM) tahun ini akan dijalankan secara dalam talian mulai 8 Mac hingga 8 April depan.

Pengurus besar Tourism Selangor berkata program memasuki tahun kesembilan berlangsung sebulan menyasarkan lebih 2,000 peserta mengambil pendekatan berbeza bersesuaian norma baharu berikutan pandemik Covid-19.

“Kita mengalu-alukan wanita, lelaki atau remaja 15 tahun ke atas menyertai acara larian dan berbasikal dan bersama kekal sihat sambil patuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Peserta boleh melakukannya di dalam atau di luar rumah dengan berentap menggunakan teknologi mudah alih untuk merekod jarak dan masa untuk dihantar kepada penganjur dalam tempoh acara itu berlangsung” kata Azrul Shah Mohamad dalam kenyataan.

Beliau berkata program tersebut juga selaras dengan sambutan Hari Wanita Sedunia 2021 yang membawa tema #ChooseToChallenge iaitu isu semasa atau usaha meningkatkan kesedaran berkaitan pembangunan wanita.

Ia bakal dirasmikan menerusi Facebook dan YouTube sambil mengetengahkan tokoh wanita dari pelbagai industri tempatan antaranya penyanyi, Elvira Arul dan pelakon, Vanidah Imran.

Tahun ini menyaksikan pilihan jarak larian MCIS Life MWM yang lebih pelbagai seperti:

• Masa untuk menghabiskan larian adalah sebulan: 8 Mac – 8 April
• Empat pilihan jarak larian: 50kilometer (km), 100km, 150km atau 250km yang boleh dihabiskan secara berperingkat selama sebulan
• Peserta berbasikal perlu jarak sejauh 400km
• Kategori elit ada disediakan untuk pelari yang ingin mencuba larian separa maraton atau larian maraton penuh

Pada masa sama peserta juga digalak mengguna tanda pagar #NakBerlariPusingSelangorDulu untuk mempromosi Kempen Pelancongan Domestik Tourism Selangor; Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu.

Categories
AGENSI SELANGOR

Acara maraton wanita masuk kalendar pelancongan Selangor

PETALING JAYA, 20 JAN: Acara Malaysia Women Marathon (MWM) pada 6 hingga 8 Mac disenarai dalam kalendar pelancongan bagi mempromosikan Selangor di peringkat antarabangsa, kata Tourism Selangor.

Pengurus besarnya berkata program yang menjadi tarikan 8,000 peserta dari dalam dan luar negara membuka ruang pihaknya mempromosi negeri ini.

“Pada masa sama Tourism Selangor mahu memperkenalkan pelancongan sukan sepanjang 2020 sekali gus menyemarakkan lagi aktiviti pelancongan di sini.

“Mungkin pada masa akan datang acara larian sebegini akan dimeriahkan dengan dron seiring dengan Revolusi Industri 4.0 yang ingin dicapai Selangor,” kata Azrul Shah Mohamad pada sidang Media MWM di Hotel Crystal Crown hari ini.

Hadir sama Pengarah MWM, Karen Loh, Ketua Pegawai Eksekutif MCIS Life, Prasheem Seebran, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dan Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan Elizabeth Wong.

MWM yang berlangsung di Padang Timur itu terbuka kepada empat kategori iaitu 42 kilometer (km), 21km, 10km dan 5km.

Peserta wanita terbaik bagi kategori maraton 42km akan berpeluang menyertai Acara Maraton Nagoya di Jepun sementara bagi peserta terbaik 21km akan menyertai Larian Wanita Taipei 2020.

Categories
SELANGOR

Jalan ditutup sempena Larian MWM 2018

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 23 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menutup beberapa jalan untuk persiapan dan penganjuran Program Larian Malaysia Women Marathon (MWM), pada 4 Mac ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, jalan ditutup sementara mulai jam 12.01 tengah malam sehingga 9 pagi.

“Antara jalan-jalan terlibat adalah Persiaran Bandar Raya Seksyen, Persiaran Perbandaran Seksyen 14, Persiaran Tasik Seksyen 14, Persiaran Masjid Seksyen 2 dan Persiaran Dato’ Menteri Seksyen 10.

“Selain itu, Persiaran Raja Muda Seksyen 16, PersiaranSelangor Seksyen 15 , Bulatan Melawati Seksyen 13, Persiaran Kayangan Seksyen 9 dan Persiaran Damai Seksyen 11 turut ditutup,” katanya.

Shahrin berkata, acara pelepasan peserta akan bermula di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, Shah Alam.

“JMBSA memohon orang ramai khususnya pengguna jalan raya tidak melalui jalan terlibat serta mematuhi arahan yang diberikan oleh anggota
Penguatkuasa MBSA dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengawal aliran trafik semasa program diadakan,” katanya.

Categories
SELANGOR

MWM 2018 kembali lebih meriah

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 17 FEB: Maraton Wanita Malaysia (Malaysia Women Marathon – MWM) kembali dengan acara lebih meriah dan hadiah lumayan bernilai RM45,000 untuk direbut peserta, tahun ini.

Selepas mendapat sambutan hebat lebih 6,000 peserta tahun lalu, acara larian diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini, 4 Mac ini, tentu menjanjikan penyertaan besar peserta juga pelancong bagi menambah kemeriahannya.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, berkata acara semakin mendapat tempat itu menyajikan cabaran berbeza dengan pelbagai program menarik untuk disertai pelbagai usia masyarakat yang menjadikannya antara acara terbesar di Malaysia.

“Kerajaan Negeri menyokong acara seperti ini dan MWM adalah satu kejayaan besar yang berjaya mengumpulkan peserta dari dalam dan luar negara.

“Sejak awal penganjurannya hingga kini, ia menarik minat wanita dari pelbagai lapisan usia untuk turut serta dalam program diadakan,” katanya.

MWM bermula pada 2013, diserikan dengan penyertaan istimewa Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Isteri Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Shamshida Taharin bersama semua peserta, tahun lalu.

MWM mendapat kerjasama Tourism Selangor saban tahun itu, tersenarai sebagai salah satu acara dalam kalendar rasmi Selangor bagi merancakkan aktiviti pelancongan di negeri itu.

“MWM memainkan peranan penting untuk menarik pelancong domestik dan luar untuk berkunjung ke Selangor.

“Tourism Selangor sentiasa menyokong MWM dan memberi komitmen penuh bagi memastikan acara ini dapat dijalankan dengan jaya, ” kata Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din.

MWM kali ini mempertandingkan empat kategori iaitu maraton penuh (42km), separuh maraton (21km), 10km dan 5km termasuk kategori individu dan dua pilihan pakej keluarga.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari lama web: www.mwm.my atau akaun Facebook MWM, @MalaysiaWomenMarathon