Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Aplikasi tempah tiket Go Selangor dilancar tahun depan, mudahkan pelancong pilih destinasi

PETALING JAYA, 10 DIS: Aplikasi Go Selangor yang dilancarkan Februari depan memudahkan pengguna menempah tiket ke pelbagai destinasi percutian negeri ini secara dalam talian.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad berkata tempahan tiket melalui aplikasi rasmi pelancongan negeri itu meliputi taman tema, premis inap desa dan hotel.

“Ketika ini, aplikasi tersebut sedang giat dibangunkan dan dijangka tersedia kepada orang ramai pada Februari nanti.

“Rancangan kita adalah untuk mendigitalisasikan industri dan penggiat pelancongan seperti pemandu pelancong, pengusaha inap desa, hotel dan taman tema serta agensi pelancongan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Konvensyen Global Tourism Selangor di Hotel New World di sini hari ini.

Konvensyen selama dua hari bermula semalam disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dengan menghimpunkan seramai 4,400 penggiat industri pelancongan.

Pada 26 November, Amirudin berkata Kerajaan Negeri membangunkan aplikasi Go Selangor dengan kerjasama syarikat pemula tempatan Tourplus dan disokong Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).

Menurutnya, semua perniagaan layak menyertai aplikasi berkenaan secara percuma.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Tourism Selangor, SMARTSEL bekerjasama kukuh jaringan internet kawasan pelancongan

SHAH ALAM, 7 DIS: Tourism Selangor hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama SMARTSEL Sdn Bhd (SMARTSEL) bagi bekerjasama membangun dan menambah baik jaringan internet berkelajuan tinggi di zon awam serta kawasan tarikan pelancong.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata kerjasama itu turut melibatkan pemasangan, pengujian dan pelancaran perkhidmatan sambungan internet.

“Tourism Selangor bertanggungjawab dalam menyediakan akses dan saluran ke semua kawasan atau tapak pelancongan terpilih di negeri ini bagi tujuan pembangunan serta pembinaan infrastruktur telekomunikasi.

“Kita akan beri tumpuan di Hutan Lipur Komanwel, Hutan Lipur Kanching, Hutan Lipur Sungai Congkak dan Rumah Rehat Sri Berkat, Bukit Fraser dan luaskannya ke Kuala Selangor serta Sekinchan,” kata Azrul Shah Mohamad.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menandatangani MoU mewakili Tourism Selangor manakala SMARTSEL diwakili Pengarah Urusannya Ahmad Akmal Hamzah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut hadir menyaksikan majlis berkenaan yang diadakan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini.

Azrul berkata pihaknya berharap usahasama itu mampu memberi manfaat kepada semua pihak dan orang ramai serta operator produk pelancongan negeri ke arah usaha pendigitalan pelancongan yang lebih mampan.

“Sebagai usaha proaktif dalam menetapkan semula industri pelancongan domestik khususnya di Selangor, Kerajaan Negeri menerusi Tourism Selangor telah melancarkan kempen Pusing Selangor Dulu pada Disember tahun lalu.

“Kempen ini digerakkan menerusi landasan digital terutamanya di media sosial rasmi Tourism Selangor dan kewujudan jaringan jalur lebar di zon awam dan pelancongan dijangka memberikan impak signifikan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tourism Selangor sertai pameran Matta, tawar pakej percutian potongan 50 peratus

SHAH ALAM, 19 NOV: Tourism Selangor menyertai Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) selama dua hari mulai esok di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Pengurus Besarnya Azrul Shah Mohamad berkata orang ramai dialu-alukan hadir ke pameran terkemuka itu dan nikmati pelbagai tawaran percutian menarik dengan potongan sehingga 50 peratus.

Menurutnya, delegasi Selangor akan disertai pihak Sky Mirror Travel & Tours, Selangor Fruit Valley, Farm In The City, Wet World Waterpark, Windlab Indoor Skydiving, Jumpstreet Malaysia, Park Inn By Radisson dan FlowRider 1 Utama.

“Sebelum ini, kita tidak melepaskan peluang menyertai Pameran Matta dan penyertaan Tourism Selangor tahun ini bagi mempromosi kempen ‘Pusing Selangor Dulu!’ dengan memfokuskan sektor pelancongan domestik di ambang pandemik Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Azrul Shah berkata penganjur pameran menyasarkan seramai 20,000 pengunjung dalam tempoh dua hari acara itu berlangsung dengan 2,000 orang dibenar berada dalam dewan pada satu-satu masa.

“Inisiatif secara bersemuka ini juga mampu memberi keyakinan kepada orang ramai untuk terus melancong ke Selangor dengan selamat dalam pembudayaan norma baru mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

“Justeru, isi masa terluang anda pada hujung minggu ini dan jangan lepaskan peluang untuk #PusingSelangorDulu dengan pelbagai tawaran potongan harga menarik hanya di Pavilion Selangor di Pameran Matta, jumpa di sana,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

10,000 baucar pelancongan negeri habis ditebus dalam seminggu

SHAH ALAM, 28 OKT : Sebanyak 10,000 Baucar Pelancongan Selangor 2.0 bernilai RM100 habis ditebus menerusi aplikasi beli-belah Shopee hari ini, kata ketua pegawai eksekutif Tourism Selangor.

Azrul Shah Mohamad berkata pihaknya berpuas hati apabila baucar yang ditawarkan kepada umum pada Jumaat lalu habis dalam tempoh seminggu meskipun tarikh penebusan dibuka sehingga 31 Disember.

“Semua baucar habis ditebus dan kita yakin ia habis diguna memandangkan rakyat Malaysia kini teruja untuk bercuti selepas diberi kebenaran merentas negeri dan daerah,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau juga mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika bercuti atau beriadah bersama keluarga.

Sebanyak 170 pakej pelancongan ditawarkan melalui 35 agensi menerusi baucar itu. Pembelian terhad untuk satu transaksi dan tidak boleh diganti produk lain.

Inisiatif bernilai RM2.55 juta itu sebahagian tawaran dalam Pakej Kita Selangor 2.0 yang dilancarkan EXCO Pelancongan Hee Loy Sian pada 5 Oktober.

Inisiatif Kerajaan Negeri itu bagi merancakkan semula aktiviti sektor pelancongan yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada 18 Disember tahun lalu, Selangor melancarkan program Penebusan Subsidi Baucar Pelancongan bernilai RM200 setiap satu.

Pengagihan membabitkan 10,000 baucar untuk menginap di hotel, taman tema dan inap desa berlesen.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Ekspo pelancongan promosi Pusing Selangor Dulu, tingkat jumlah pelancong

SHAH ALAM, 26 OGOS: Kempen pelancongan domestik “Pusing Selangor Dulu” akan dipromosikan dalam Ekspo Pelancongan Maya (VTE) 2021 yang berlangsung mulai esok sehingga Ahad ini.

Pengurus besar Tourism Selangor berkata ia bagi meningkatkan jumlah kedatangan pelancong apabila pergerakan domestik dibenarkan melalui pembudayaan norma baharu.

“Usaha ini mampu membantu operator pelancongan negeri menjana pendapatan menerusi penjualan pakej pelancongan domestik ditawarkan VTE2021 sekali gus memberi sinar kepada industri yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Penyertaan ini memberi peluang kepada penggemar aktiviti pelancongan untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan produk sedia ada di Selangor termasuk yang terbaharu,” kata Azrul Shah Mohamad dalam kenyataan.

Beliau menambah pembabitan Tourism Selangor dalam ekspo anjuran Persatuan Teknologi Pelancongan Digital Malaysia (DiTTAM) mampu memberikan pendedahan dan pembelajaran bagi pelaksanaan program pendigitalan pelancongan pasca pandemik.

“Pusing Selangor Dulu” dilancarkan 17 Disember tahun lalu sebagai pendekatan menggalakkan rakyat tempatan melancong ke negeri ini.

Aktres popular Che Puan Juliana Evans dilantik sebagai duta pelancongan Selangor bagi mempromosikan kempen terbabit.

Penggemar aktiviti pelancongan boleh menyertai VTE2021 di pautan https://vte2021.malaysiaexpo.net/.

Categories
AGENSI SELANGOR

Malaysia Women Marathon secara maya mulai 8 Mac

SHAH ALAM, 10 MAC: Acara maraton wanita MCIS Life Malaysia Women Marathon (MWM) tahun ini akan dijalankan secara dalam talian mulai 8 Mac hingga 8 April depan.

Pengurus besar Tourism Selangor berkata program memasuki tahun kesembilan berlangsung sebulan menyasarkan lebih 2,000 peserta mengambil pendekatan berbeza bersesuaian norma baharu berikutan pandemik Covid-19.

“Kita mengalu-alukan wanita, lelaki atau remaja 15 tahun ke atas menyertai acara larian dan berbasikal dan bersama kekal sihat sambil patuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Peserta boleh melakukannya di dalam atau di luar rumah dengan berentap menggunakan teknologi mudah alih untuk merekod jarak dan masa untuk dihantar kepada penganjur dalam tempoh acara itu berlangsung” kata Azrul Shah Mohamad dalam kenyataan.

Beliau berkata program tersebut juga selaras dengan sambutan Hari Wanita Sedunia 2021 yang membawa tema #ChooseToChallenge iaitu isu semasa atau usaha meningkatkan kesedaran berkaitan pembangunan wanita.

Ia bakal dirasmikan menerusi Facebook dan YouTube sambil mengetengahkan tokoh wanita dari pelbagai industri tempatan antaranya penyanyi, Elvira Arul dan pelakon, Vanidah Imran.

Tahun ini menyaksikan pilihan jarak larian MCIS Life MWM yang lebih pelbagai seperti:

• Masa untuk menghabiskan larian adalah sebulan: 8 Mac – 8 April
• Empat pilihan jarak larian: 50kilometer (km), 100km, 150km atau 250km yang boleh dihabiskan secara berperingkat selama sebulan
• Peserta berbasikal perlu jarak sejauh 400km
• Kategori elit ada disediakan untuk pelari yang ingin mencuba larian separa maraton atau larian maraton penuh

Pada masa sama peserta juga digalak mengguna tanda pagar #NakBerlariPusingSelangorDulu untuk mempromosi Kempen Pelancongan Domestik Tourism Selangor; Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu.

Categories
AGENSI SELANGOR

Tourism Selangor giat promosi pelancongan, tingkat hasil negeri

RAWANG, 14 SEPT: Tourism Selangor menjangkakan kutipan cukai pelancongan pada tahun ini sedikit menurun susulan penularan Covid-19 berbanding RM21.8 juta pada tahun lalu.

Pengurus Besarnya, Azrul Shah Mohamad berkata pihaknya akan mempergiat promosi dan aktiviti pelancongan yang ketika ini dalam proses pemulihan bagi meningkatkan hasil pendapatan negeri.

“Kita mempromosi Selangor sebagai destinasi pelancongan sukan berdasarkan pencapaian negeri menjadi lokasi penganjuran pelbagai acara di peringkat negeri dan antarabangsa.

“Sejak kebelakangan ini minat masyarakat kepada pelancongan berkaitan semakin meningkat, jadi kita anjur pelbagai acara atau kejohanan peringkat domestik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kejohanan Golf Tourism Selangor 2020 kali kedua di Templer Park Country Club semalam.

Beliau berkata sebanyak 50 peratus hasil kutipan cukai pelancongan menjadi milik Kerajaan Negeri manakala baki diberi kepada Kerajaan Pusat.

Kerajaan mengecualikan cukai pelancongan bermula 1 Julai lalu hingga 30 Jun tahun depan sebagai langkah mengaktifkan semula industri itu di negara ini.

Agensi pelancongan, pengusaha hotel dan syarikat penerbangan pula diberi penangguhan bayaran ansuran anggaran cukai sehingga hujung tahun ini manakala khidmat penginapan mulai 1 September hingga 30 Jun tahun depan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Buka pintu sempadan negara untuk perubatan, ‘bonus’ buat Selangor

SHAH ALAM, 24 JUN: Pembukaan semula pintu sempadan negara untuk perubatan memberi kelebihan untuk Selangor apabila terdapat lebih 20 hospital di negeri ini berdaftar dengan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC).

Pengurus Besar Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad berkata pengumuman itu membolehkan pihaknya fokus kepada sektor pelancongan perubatan bagi menjana ekonomi negeri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Antara hospital berdaftar dengan MHTC ialah Hospital Pakar KPJ Damansara, Hospital Wanita Metro, Hospital Mata Tun Hussein Onn, Hospital Columbia Asia Puchong, Prof Muhaya Eye & Lasik Centre serta Avisena Specialist Hospital.

“Justeru kami yakin sasaran Kerajaan Negeri menerusi Tourism Selangor yang menetapkan sasaran baharu kedatangan pelancong seramai 6 juta orang pada tahun ini boleh tercapai,” katanya kepada SelangorKini.

Pada Februari lalu, Azrul Shah berkata bagi tempoh Januari hingga September tahun lalu, seramai 142,000 pelancong Indonesia direkodkan memasuki negeri ini bagi tujuan perubatan.

Sementara jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di Selangor meningkat daripada 135,000 pada 2015 kepada 240,000 orang pada 2018.

16 Jun lalu Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kemasukan warga asing ke negara ini bagi tujuan perubatan adalah dibenarkan dan perlu mendaftar dengan MHTC.

Categories
AGENSI SELANGOR

Tourism bangun JomSave, tawar produk hebat

SHAH ALAM, 5 FEB: Tourism Selangor membangunkan aplikasi JomSave bagi membolehkan pengguna memilih produk dan pakej percutian ke negeri itu secara mudah serta mesra, kata pengurus besarnya.

Azrul Shah Mohamad berkata aplikasi diwujudkan dengan kerjasama JS E-Comm Sdn Bhd juga bertujuan menarik lebih pengunjung sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 dan Tahun Melawat Selangor 2021.

“JomSave adalah aplikasi percuma membolehkan pelancong mengakses tawaran hebat yang tersedia, sekali gus menikmati ganjaran menarik, menebus baucar tunai pelbagai produk dan perkhidmatan seperti hotel, hiburan, restoran serta pusat beli belah,” katanya.

Beliau berkata pengusaha industri pelancongan digalak mengambil bahagian dalam aplikasi itu untuk melihat potensi peningkatan jumlah pelanggan yang datang ke premis mereka.

Kerajaan Negeri menyasarkan kedatangan lapan juta pelancong tahun ini berbanding 7.7 juta tahun lalu dan yakin dengan kepelbagaian produk pelancongan mampu menarik minat pengunjung domestik serta luar.

Categories
AGENSI SELANGOR

Landasan terbaik terokai keunikan Bandar Diraja Klang

KLANG, 4 JAN: Pakej lawatan pelancongan ‘Royal Klang Heritage Walk’ dijangka akan terus menjadi pilihan dan tarikan pelancong untuk menerokai keunikan sejarah, kesenian dan kebudayaan di sini.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad berkata, Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif memperkenalkan lawatan berjalan kaki di sekitar bandar diraja itu sejak 2015.

Katanya, ia merangkumi lawatan ke 11 tempat bersejarah di sekitar daerah Klang yang mengambil masa lebih dua jam.

“Selain ditawarkan secara percuma pada hujung minggu beserta pemandu arah bertauliah, pakej lawatan ini merupakan landasan terbaik bagi memudahkan pelancong dalam dan luar negara mendekati serta mendalami sejarah bandar diraja ini.

“Bandar ini merupakan bandar terawal ditubuhkan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘Royal Klang Town Heritage Walk’ bersama pelajar Management and Science University (MSU) di Stadium Sultan Suleiman di sini, hari ini.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Elya Marini Darmin dan Presiden MSU, Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

Pada masa sama, Azrul Shah berkata, sehingga September tahun lalu, Selangor mencatatkan jumlah kehadiran pelancong seramai kira-kira 5.38 juta.

Katanya, angka itu menyumbang kepada peningkatan sebanyak empat peratus berbanding tempoh sama pada 2018.

“Melihat pada momentum positif yang ditunjukkan, Kerajaan Negeri menyasarkan jumlah kedatangan pelancong seramai 8 juta untuk tahun ini.

“Justeru, pelbagai program pelancongan akan dilaksanakan pada masa akan datang lebih menjurus kepada pembentukan identiti Selangor sebagai sebuah negeri maju yang memperjuangkan kelestarian budaya, peradaban dan warisan tempatan,” katanya.

Azrul Shah berharap konsep sedemikian turut disokong dan mendapat kerjasama semua pihak terutamanya di peringkat pihak berkuasa tempatan, agensi kebudayaan daerah dan pelancongan tempatan.