Categories
NASIONAL SELANGOR

Kemenangan Malaysiakini berita baik kebebasan media negara

Kemenangan Malaysiakini berita baik kebebasan media negara

SHAH ALAM, 30 OKT: Kemenangan portal berita, Malaysiakini dalam kes rayuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menolak permit penerbitannya dianggap satu berita baik sekaligus membuka lembaran baru kebebasan media negara.

Mantan Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Mohd Hatta Wahari berkata, keputusan yang dibuat Mahkamah Rayuan hari ini merupakan titik penting bagi menyediakan masyarakat dan pemimpin negara ke arah mentaliti yang setaraf dengan negara dunia pertama.

Mohd Hatta juga berharap kemenangan Malaysiakini akan mendorong media lain untuk menerbitkan pelbagai bahan media lain bagi menyampaikan maklumat yang lebih telus kepada rakyat.

“Itu merupakan berita gembira, pengiktirafan kepada kebebasan media kerana sebelum ini apa yang dilaksanakan kerajaan sekarang tidak mengikut orde dunia baru dalam kebebasan maklumat.

“Kebebasan maklumat juga sangat penting kerana maklumat yang tepat boleh disampaikan dan biarkan masyarakat yang menilaikan tindakan kerajaan atau pun pembangkang.

“Melalui kebebasan media juga boleh membawa negara kita ke arah negara maju, bukan dari segi pembangunannya saja tetapi juga mentalitinya,” kata Mohd Hatta ketika dihubungi TV Selangor hari ini.

Mohd Hatta juga menganggap keputusan ini sebagai suatu bantahan terhadap corak kepimpinan kerajaan yang diterajui BN sejak 56 tahun lalu terhadap pengamal media negara ini.

Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara menolak rayuan KDN dengan bayaran kos RM5,000 terhadap Malaysiakini dalam kes permohonan permit penerbitan yang ditolaknya.

Keputusan itu dibuat setelah rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membatalkan arahan KDN untuk tidak mengeluarkan lesen penerbitan kepada penerbit Malaysiakini Mkini Dotcom Sdn Bhd, didengar hari ini.

-EZY