Categories
AGENDA NASIONAL

KDN akan terus bantu pelajar asing perbaharu visa

SHAH ALAM, 15 SEPT: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus membantu pelajar asing di Malaysia untuk memperbaharui visa bagi meneruskan pengajian di sini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri 1 Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata mereka boleh berhubung terus dengan Jabatan Imigresen bagi tujuan tersebut.

“Kita tidak akan bertindak kejam dan keterlaluan tetapi akan berikan khidmat nasihat sewajarnya bagi membolehkan kerjasama antara negara dan negara luar yang mahu menjadikan Malaysia antara hab pendidikan terkenal,” katanya.

Beliau menjawab soalan Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) berhubung kedudukan pelajar asing yang sudah tamat visa.

Sebelum itu, Maszlee memaklumkan banyak aduan pelajar yang sudah tamat visa diarah keluar dari negara dan kembali semula bagi memperbaharui visa.

Katanya, tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan itu dibimbangi meningkatkan risiko jangkitan Covid-19.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Banyak lagi kenderaan, menteri anggar hingga 1,000 sekatan di KL, Selangor

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Bilangan sekatan jalan raya (SJR) khususnya di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor akan ditambah berikutan jumlah kenderaaan di jalan raya masih banyak di sebalik penguatkuasaan sekatan pergerakan penuh, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau menganggarkan hingga 1,000 sekatan akan diadakan setiap hari selepas ini berbanding 930 SJR dan operasi benteng ketika ini.

“Semalam beberapa kawasan yang saya lihat, masih banyak kenderaan menggunakan jalan raya maka saya telah berbincang dengan Ketua Polis Negara (Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani) untuk menambah lagi sekatan jalan raya di kawasan-kawasan tertentu, khususnya di dua negeri berkenaan (Kuala Lumpur dan Selangor).

“Selain itu, saya juga telah buat tinjauan di Pulau Pinang dan mendapati penggunaan kenderaan di sana juga masih tinggi di sesetengah kawasan,” katanya pada sidang media selepas membuat lawatan mengejut pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di sebuah pusat beli-belah, di sini hari ini.

Negara kini berada di bawah sekatan pergerakan penuh yang berkuat kuasa sejak 1 Jun lepas hingga 14 Jun ini dalam usaha kerajaan menangani peningkatan kes Covid-19 yang terlalu tinggi.

Mengenai pematuhan SOP di pusat beli-belah tersebut, beliau mahu pemantauan dipertingkat di pintu masuk premis bagi memastikan setiap SOP dipatuhi orang ramai.

“Seperti yang kita tahu, rakyat di negara ini sekiranya ada cuti iaitu pada Sabtu dan Ahad kebiasaannya mereka ini akan keluar rumah dan menjadikan pusat beli-belah seolah-olah tempat riadah.

“Saya hendak memaklumkan kepada rakyat semua, tolonglah duduk di rumah kecuali mereka benar-benar memerlukan untuk membeli barang (keperluan asas) tetapi kalau hendak buat pertemuan, saya minta pasukan pemantau ini memperketat penguatkuasaan,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah memohon maaf kepada orang ramai sekiranya ada kekerasan membabitkan pasukan pemantauan SOP memandangkan terdapat orang ramai yang masih degil melanggar SOP.

“Mereka (pasukan pemantau SOP) berbuat demikian untuk memastikan orang ramai mengikut SOP dengan betul,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiada rancangan kaji mansuh butiran agama pada kad pengenalan

PUTRAJAYA, 21 JAN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan hari ini berkata tidak ada sebarang rancangan dibuat untuk melaksanakan kajian secara terperinci berhubung isu pemansuhan butiran agama pada kad pengenalan.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan penularan satu rakaman video dan teks melalui aplikasi WhatsApp, berhubung isu pemansuhan butiran agama pada kad pengenalan.

KDN berkata pelaksanaan perekodan butiran agama pada kad pengenalan dilaksanakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara selaras dengan Peraturan 4 (cc), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (PPPN 1990).

“Pelaksanaan perekodan butiran Agama Islam di muka hadapan kad pengenalan adalah selaras dengan Jadual Pertama, Peraturan 5(2), PPPN 1990. Manakala, bagi agama selain Islam hanya dimasukkan di dalam cip kad pengenalan,” kata KDN.

KDN berkata tindakan itu selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu Agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

“Butiran agama pada kad pengenalan milik individu beragama Islam adalah salah satu elemen penting yang membantu penguatkuasaan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang syariah yang berkuat kuasa,” kata KDN.

“Kementerian ingin menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan berita atau maklumat tidak sahih kerana bimbang boleh menimbulkan ketidakselesaan rakyat dan mengganggu ketenteraman dan keamanan negara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Langkah baik KDN tangani isu permohonan kewarganegaraan

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Penubuhan pasukan petugas khas oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menangani perkara berkaitan dengan permohonan kewarganegaraan adalah langkah yang baik, kata aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata, ia dapat membantu Jabatan Pendaftaran Negara dan KDN mempercepatkan semua permohonan kewarganegaraan bermula tahun ini berdasarkan keadilan, ketelusan dan kecekapan.

“Ini dapat membantu memastikan pemohon tidak perlu menunggu sehingga 10 tahun untuk permohonan kewarganegaraan mereka diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan dengan permohonan kewarganegaraan mesti dikaji untuk memendekkan proses kelulusan, terutama untuk kanak-kanak.

Lee turut menyatakan kebimbangan terhadap permohonan kewarganegaraan untuk kanak-kanak memandangkan tanpa kewarganegaraan, masa depan mereka dalam bahaya.

Sebelum ini, dilaporkan KDN mengambil langkah proaktif termasuk menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyelesaikan masalah yang melibatkan permohonan kewarganegaraan, terutamanya untuk kanak-kanak tanpa dokumen di negara ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KDN proaktif selesai isu permohonan kewarganegaraan

PUTRAJAYA, 28 DIS: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil langkah proaktif merungkai permasalahan membabitkan permohonan kewarganegaraan khususnya kes kanak-kanak tanpa dokumen di negara ini.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, prosedur operasi standard (SOP) berhubung perkara itu ditambah baik dengan pemohon tidak perlu menunggu terlalu lama berbanding sebelum ini.

Beliau berkata, penambahbaikan SOP berhubung pemberian kewarganegaraan, khususnya di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan menyaksikan proses kelulusan terutama membabitkan anak angkat dipercepat di bawah tempoh setahun.

“Dahulu, ada yang mengadu tempoh pemprosesan mengambil masa terlalu lama sehingga ada yang mencapai 10 tahun, dan untuk itu kita akan guna SOP baharu untuk selesaikan isu tersebut.

“Kalau kanak-kanak yang lahir itu kekal tanpa dokumen yang sah, ia menimbulkan banyak masalah. Ini yang kita akan cuba selesaikan,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Bagi permohonan di bawah Perkara 15A, SOP baharu menggariskan beberapa langkah dalam memastikan setiap permohonan kewarganegaraan dapat dipertimbang secara lebih teliti, adil dan cepat antaranya garis panduan yang lebih jelas dalam pengendalian dan pertimbangan permohonan.

Antara lain, pengemaskinian SOP yang melalui proses kajian sejak April lalu mengandungi mekanisme pemakluman kepada pemohon berkaitan sebab permohonan kewarganegaraan ditolak dan tempoh pemprosesan permohonan yang sebelum ini tidak dimaklumkan.

Justeru, bermula tahun hadapan, tempoh permohonan kewarganegaraan yang diterima bagi individu di bawah 21 tahun akan melalui proses lebih efisien iaitu tiga bulan 14 hari di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan lapan bulan di KDN.

Muhyiddin berkata, dengan SOP baharu yang diluluskan itu, JPN dan KDN kini boleh melaksanakan tugas dengan lebih jelas dan menyegerakan setiap proses berdasarkan kewajaran, berbanding sebelum ini ada kes yang pemohon perlu menunggu sehingga 10 tahun.

Untuk rekod, dalam tempoh lima tahun sehingga 2018, JPN merekodkan permohonan kewarganegaraan sebanyak 111,142 dengan 26,222 permohonan ditolak manakala 54,222 masih dalam proses dengan 27,835 adalah permohonan mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan kanak-kanak tanpa kerakyatan.

Muhyiddin berkata, bagi memastikan isu itu diselesaikan sebagaimana terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PAKATAN) khususnya berkaitan kanak-kanak tanpa dokumen, KDN telah menubuhkan pasukan petugas khas yang diberi tanggungjawab menyegerakan dan menyelesaikan semua perkara berkaitan dengan permohonan kewarganegaraan.

Beliau berkata, pasukan petugas khas diketuai timbalan ketua setiausaha KDN itu dijangka dapat menyelesaikan sebahagian besar daripada isu tersebut menjelang akhir tahun ini atau awal tahun hadapan.

Katanya lebih daripada 27,000 kes yang tertangguh dijangka dapat dikendalikan dan diselesaikan oleh pasukan petugas khas itu.

“Jangan salah faham ia sebagai mempermudahkan orang asing mendapat kewarganegaraan kerana jika pemohon dan permohonan itu layak dari segi Perlembagaan negara seperti kes anak angkat, ia tidak harus dilengahkan sehingga mengambil masa lebih lima tahun,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KDN hantar 17 cadangan pertimbang naik gaji polis

Categories
AGENDA NASIONAL

KDN: Kad MCAC tidak diiktiraf

PUTRAJAYA, 21 NOV: Kad Malaysian Clarification Authority Card (MCAC) yang dikeluarkan kepada warga asing tidak diiktiraf, kata Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.

KDN dalam satu kenyataan berkata, ia menerima maklumat berhubung kegiatan Agensi Pekerjaan AJZ Sdn Bhd yang menjalankan aktiviti mengumpul maklumat, mendaftar dan mengeluarkan kad MCAC kepada warga asing terutamanya pendatang asing.

KDN menjelaskan, bahawa ia tidak pernah melantik Agensi Pekerjaan AJZ untuk menjalankan aktiviti pendaftaran warga asing dan tidak terlibat sama sekali dalam proses pendaftaran, tapisan, temuduga dan pengeluaran kad tersebut.

Kegiatan syarikat itu berunsurkan penipuan ekoran dakwaan bahawa kad MCAC, dengan jumlah bayaran tertentu, memberi kebenaran kepada warga asing untuk tinggal di Malaysia dan membenarkan mereka bekerja dalam mana-mana sektor pekerjaan tanpa sebarang ikatan kontrak, katanya.

“Kad yang dikeluarkan oleh syarikat ini tidak memberi apa-apa keistimewaan kepada warga asing dan tidak memberi kebenaran kepada warga asing untuk bekerja secara sah di Malaysia seperti yang dijanjikan,” tegas KDN.

KDN berkata, satu laporan polis telah dibuat pada 13 November bagi menafikan perkaitan KDN dalam kegiatan pengeluaran kad MCAC itu.

Menurut KDN, Jabatan Imigresen dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah meyerbu sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 18 November lepas dan menahan sembilan individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengeluaran kad MCAC.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak membuat sebarang bentuk pembayaran kepada mana-mana pihak yang mendakwa membuat program pendaftaran atau pengeluaran kad kepada warga asing ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KDN nafi tahanan SOSMA didera

PONTIAN, 2 NOV: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menafikan dakwaan berlakunya kejadian tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) didera dan diseksa sepanjang ditahan.

Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau sudah menyemak dakwaan tersebut dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dan pegawai terlibat, dan mendapati dakwaan terbabit tidak benar.

“ Bila mereka (tahanan) dibawa keluar dengan peguam mereka berhadapan dengan hakim dalam kamar dan sebagainya… tidak ada yang buat aduan mengatakan bahawa mereka dipukul dan sebagainya,” katanya yang ditemui pemberita selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, di sini hari ini.

Muhyiddin mengulas laporan portal yang mendakwa berlakunya kes lima daripada 12 tahanan SOSMA yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas LTTE didera dan diseksa.

Muhyiddin berkata beliau tidak boleh menerima dakwaan itu ‘bulat-bulat’ dan siasatan terperinci mengenainya akan dilakukan selanjutnya oleh polis.

Menurutnya sekiranya benar berlakunya kejadian seperti didakwa kelima-lima tahanan itu, maka, mereka berhak membuat laporan polis untuk tindakan seterusnya.

“Tetapi setakat semalam saya diberi laporan (tiada penderaan). Sebab ada suara tuntut saya berhenti (letak jawatan) supaya saya bertanggungjawab, yes saya bertanggungajwab. Tetapi, jangan ambil tindakan hanya apabila seorang dua berkata begitu, dan buat andaian.

“Mesti siasat, sebab ini tuduhan yang berat. Saya tidak pandang ringan dan minta Ketua Polis Negara buat siasatan secara lebih terperinci,” tambah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KDN rampas 28 komik propaganda di Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 25 OKT: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 28 komik ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ dalam dua serbuan di dua lokasi berbeza di Pulau Pinang, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, dalam serbuan pertama, 15 buah komik itu dalam versi Bahasa Melayu dirampas di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Timur Laut.

Katanya, siasatan awal mendapati kesemua komik tersebut diterima dari beberapa buah sekolah menengah sekitar daerah tersebut.

“Seramai lima pegawai penguat kuasa KDN Pulau Pinang telah ke PPD Timur Laut dan menerangkan tujuan kedatangan mereka untuk mengambil komik tersebut yang menyalahi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 kerana naskah tersebut telah diwartakan perintah larangan,” katanya di sini, hari ini.

Che Zaimani berkata selain itu, semalam pihak KDN juga telah merampas 13 buah komik versi Bahasa Cina, di Muzium Kebudayaan Komik Asia di Komtar, di sini.

“Kesemua komik itu telah dibawa balik ke pejabat KDN Pulau Pinang untuk siasatan dan tindakan lanjut menurut Seksyen 8(2) AMCP 1984,” katanya.

Katanya, mengikut seksyen tersebut, sesiapa yang didapati mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, menawarkan untuk menjual atau memiliki komik terbabit boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KDN haram komik promosi ideologi komunisme

PUTRAJAYA, 23 OKT: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mewartakan perintah larangan terhadap komik “Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama” termasuk versi bahasa Inggeris dan bahasa Cina penerbitan tersebut.

KDN dalam kenyataannya berkata penerbitan itu dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.

“Kandungan penerbitan ini antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunis serta mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.

“Ia juga boleh menimbulkan keraguan kepada pembaca khususnya generasi muda tentang sejarah Malaysia, seterusnya mempertikaikan usaha serta perjuangan tokoh atau pemimpin negara terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan dan membangunkan negara,” katanya.

KDN berkata kandungan penerbitan itu juga dlilihat tidak mengambil kira sensitiviti rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama serta dibimbangi boleh memecah belahkan keharmonian dan perpaduan masyarakat di negara ini.

KDN berkata warta perintah larangan itu adalah mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) yang menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan itu adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.

Mana-mana individu yang disabitkan dengan kesalahan tersebut boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, katanya.

KDN berkata jika masyarakat awam mendapati masih terdapat penerbitan yang mungkin melanggar undang-undang negara diedarkan di pasaran, aduan boleh dibuat kepada Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, KDN di talian telefon 03-88868047 atau faks ke 03-88891682 atau melalui Sistem Pengaduan Awam Bersepadu KDN di laman sesawang http://moha.spab.gov.my.

Baru-baru ini, media melaporkan komik berunsur propaganda itu dipercayai diedarkan ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) di negara ini.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pasukan petugas khas tangani pencerobohan nelayan asing

PUTRAJAYA, 24 APR: Kabinet akan menubuhkan sebuah pasukan petugas khas diketuai oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menangani masalah pencerobohan nelayan asing di perairan negara, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain KDN, katanya, pasukan itu turut disertai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar serta tujuh agensi penguatkuasaan.

Tujuh agensi berkenaan adalah ​​​​​​​Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Mereka akan mengatur operasi khas dalam tempoh yang segera dan diharapkan dengan tindakan ini maka pencerobohan nelayan asing tidak terus berlaku,” katanya pada sidang media di KDN, di sini, hari ini.

Turut serta pada sidang media itu ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Datuk Salahuddin Ayub dan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong.

Menurut Muhyiddin, masalah pencerobohan nelayan asing terutamanya dari Vietnam pada tahun ini semakin berleluasa dengan 41 bot telah ditahan oleh APMM, manakala Jabatan Perikanan menahan sebanyak 26 bot.

“Kes ini bukan baru tetapi akhir-akhir ini semakin meningkat mengikut musim kerana sekarang musim sotong. Mereka (nelayan asing) masuk dan tidak mengendahkan undang-undang perairan antarabangsa,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan penguatkuasaan sebelum ini kurang berkesan, Muhyiddin berkata, setiap agensi menjalankan tugas dan operasi mengikut bidang masing-masing.

“Kalau gerakan dibuat secara bersepadu, bila mereka (nelayan asing) dengar kita datang, diharapkan mereka tak berani masuk dan ceroboh peraiaran kita.

“Jika mereka ceroboh juga, dengan aset yang lebih dan tenaga manusia yang dimobilisasikan maka mungkin kita boleh tahan mereka secara lebih baik,” jelasnya.

Muhyiddin berkata, Malaysia melalui Kementerian Luar akan turut meminta pihak berkuasa Vietnam untuk menasihati nelayan mereka supaya tidak mencerobohi perairan negara.

Mengenai penglibatan SPRM, Muhyiddin berkata suruhanjaya itu dijemput supaya tidak berlaku penyelewengan dalam aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan pasukan tersebut.

“Kita tidak pasti kalau ada elemen-elemen rasuah berlaku tetapi pastinya itu (penglibatan SPRM) cara kita hendak mengambil tindakan supaya penguatkuasaan dapat dijalankan dengan lebih berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata pencerobohan nelayan asing menyebabkan negara kehilangan hasil laut sehingga RM6 bilion setiap tahun.

Beliau turut menjelaskan bahawa kementeriannya tidak pernah memberi lesen atau permit kepada nelayan asing untuk menangkap hasil laut dalam kawasan perairan negara.

“Mungkin berlaku penyelewengan di mana mereka mempergunakan lesen tertentu, tetapi secara rasminya kementerian tidak pernah memberi lesen kepada bot-bot asing untuk beroperasi,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kebanyakkan al-Quran dijual dalam talian tiada kelulusan KDN

KUALA LUMPUR, 17 FEB: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang memantau modus operandi tiga pihak yang menjual al-Quran secara dalam talian di negara ini, tanpa mendapat kelulusan kementerian.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Mohd Nawardi Saad berkata, sebahagian besar naskah al-Quran yang dijual secara dalam talian, datang dari negara-negara jiran, yang didapati tidak memenuhi syarat dari segi standard percetakan di Malaysia.

“Siasatan kami mendapati penjual atau ejen terbabit membeli al-Quran dari negara jiran, yang sebahagian besarnya tidak memohon lesen import dari KDN, menyebabkan ia tidak dapat disemak oleh kami.

“Di Malaysia, percetakan naskah al-Quran berdasarkan kepada sistem percetakan Arab Saudi, yang dipanggil Rasm Uthmani, tetapi negara tetangga kita mempunyai standard percetakan yang berbeza dan dari segi tanda ‘waqaf’ (tanda-tanda untuk menghentikan bacaan sebentar) dan ‘ibtida’ (tanda-tanda untuk menyambung semula bacaan) juga berbeza, daripada apa yang kita gunakan di sini,” katanya lapor BERNAMA.

Mohd Nawardi berkata, kesalahan menjual naskah al-Quran tanpa kelulusan KDN, boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 8 (1) (d) Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986, yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya.

Katanya, pada masa ini pihaknya masih belum membuat sebarang tangkapan, tetapi aktiviti pihak terbabit kini dalam pemerhatian disamping mengumpulkan maklumat dan bukti sebelum mengambil sebarang tindakan.

Dalam pada itu, beliau berkata bahagiannya akan terus menjalankan pemeriksaan di premis perniagaan, pejabat pos dan pintu masuk negara untuk memastikan tidak ada naskah al-Quran tanpa kelulusan KDN dijual kepada orang ramai.

“Naskah al-Quran yang dapat kelulusan KDN mempunyai cetakan cop khas berwarna biru dalam tulisan jawi, ‘Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran memperakui bahawa ayat-ayat al-Quran yang terkandung di dalam teks ini adalah betul’ disamping KDN menambah ciri baru dengan kod QR dan hologram,” katanya.

Pada 7 Februari lalu, sejumlah 178 naskah al-Quran tanpa kelulusan KDN dirampas dari sebuah premis di Sungai Petani.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kedah, Zaki Mohamed berkata ketiga-tiga pihak itu didapati secara aktif melakukan pemasaran dalam talian untuk ‘menarik’ pengguna membeli al-Quran tersebut.

– BERNAMA