Categories
SELANGOR

Jangan takut jika anak perempuan minat politik

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Jangan takut dan gentar merestui anak gadis terbabit dengan politik, nasihat Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad.

“Mungkin ada antara kita yang khuatir apabila anak gadis ini didedahkan pada dunia politik ekoran mereka akan terbabit dengan politik kepartian yang sering terpalit dengan persepsi negatif.

“Namun saya ingin nyatakan di sini, politik adalah penggerak kepada dasar dan polisi yang menentukan hala tuju Malaysia sebagai negara demokrasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Pelancaran Inisiatif Girl2Leader di Hotel Corus, di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Presiden Girl2Leader, Nurainie Haziqah.

Masdiana yang juga isteri kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau berharap program Girl2Leader dapat mendidik ibu bapa memahami bahawa anak gadis mereka adalah permata yang perlu digilap.

Katanya, anak gadis adalah pemimpin masa depan yang memerlukan dorongan dan panduan supaya dapat menjadikan Malaysia negara maju, berdaya saing dan cemerlang untuk semua.

“Tugas kita adalah memberi pendedahan secukupnya supaya mereka faham bahawa masa depan negara terletak di tangan mereka.

“Kita menaruh harapan amat besar kepada program Girl2Leader ini supaya wanita Malaysia tidak lagi ketinggalan, terutama dari posisi pembuat keputusan, kepimpinan politik, industri dan masyarakat,” katanya.

Categories
SELANGOR

Isteri MB Masdiana Muhamad dilantik YDP Pekawanis baharu

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 OGOS: Isteri Dato’ Menteri Besar, Masdiana Muhamad dilantik menjadi Yang DiPertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) baharu.

Pelantikan itu dilakukan selepas Mesyuarat Agung Khas Pekawanis 2018, semalam.

Masdiana memegang tanggungjawab itu bagi mengantikan Datin Seri Shamshida Taharin, yang menjadi Yang DiPertua kira-kira empat tahun.

“Terima kasih di atas kepercayaan semua Ahli dengan perlantikan saya sebagai Yang Di Pertua Pekawanis yang baru bagi menggantikan Datin Seri Shamshida Taharin.

“Semoga Pekawanis terus mara ke hadapan bersama Misi Dan Visi nya iaitu menjadi pertubuhan yang peka dengan kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi lontarannya di Facebook.

Masdiana berkata, mesyuarat itu diadakan bagi perlantikan semula Ahli Jawatan kuasa Tertinggi Pekawanis yang baharu.

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada ahli jawatankuasa yang lama di atas usaha dan sumbangan diberikan sebelum ini.

“Tahniah kepada semua AJK yang baru dilantik Dan terima kasih kepada semua AJK lama di atas sumbangan yang diberikan,” katanya.