Categories
SELANGOR

Komuniti Kantin dorong autisme jalankan perniagaan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 APR: Pembukaan Komuniti Kantin dijalankan golongan autistik akan membuka mata banyak pihak untuk terus memberi sokongan dan dorongan kepada insan istimewa itu.

Yang DiPertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad berkata, ia sekali gus membantu lebih ramai golongan istimewa untuk mahir dalam pengendalian makanan.

Katanya, usaha berkenaan menunjukkan insan istimewa turut mempunyai kebolehan untuk berdikari sekiranya diberi peluang.

“Ia adalah salah satu usaha sangat membanggakan dan wajar dipuji bukan sahaja kerana Islam menggalakkan umatnya berniaga.

“Bahkan, perniagaan adalah satu tarbiyyah terbaik bagi mendidik jiwa, meningkatkan jati diri supaya lebih mandiri dan berusaha, bertawakal serta mempelajari matlamat mengenai kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Akademi Headstart dan Komuniti Kantin oleh Austism Cafe Project (ACP), di SACC Mall, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Kewangan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Zannifa Azura Ahmad.

Masdiana berkata, MBI juga akan mengadakan jalinan kerjasama bersama Headstart melalui Early Intervention Programme (EIP).

“Pihak Headstart akan menaja lokasi bagi ujian kanak-kanak. Ia diasaskan oleh ibu bapa kanak-kanak autistik dan akademi ini direka untuk memberi keutamaan buat setiap kanak-kanak keperluan khas.

“Saya percaya, banyak manfaat bakal diperoleh dan dinikmati orang ramai melalui pembukaan akademi ini,” katanya.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)

Categories
SELANGOR

Masdiana sambut baik amalan pembacaan aktif kanak-kanak

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: MIWA Manufacturing Sdn Bhd menyeru elemen pembacaan aktif dalam kalangan kanak-kanak selari Majlis Pelancaran MIWA OLI, di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

MIWA OLI adalah satu jenama minuman berasaskan rumpai laut berperisa empat jenis buah dengan penampilan pelbagai karakter berbeza.

Isteri kepada Dato’ Menteri Besar, Masdiana Muhamad berkata, beliau menyambut baik usaha syarikat terbabit menyeru elemen pembacaan aktif dalam kalangan kanak-kanak sejajar matlamat Jabatan Pendidikan Selangor (JPS).

“Saya yakin dan percaya bahawa MIWA OLI dapat menjadi salah satu faktor penyumbang kepada usaha JPS, sekali gus merangka pendekatan baharu yang lebih mantap dalam menyemarakkan lagi elemen pendidikan berkualiti sebagai tunjak insan terdidik demi mencapai kesejahteraan negara, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran MIWA OLI sekaligus melancarkannya di Pentas Utama Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Pada masa sama, katannya, keempat-empat karakter menarik mewakili perisa minuman jeli itu adalah amat baik untuk dijadikan contoh dan tauladan kepada kanak-kanak masa kini.

Masdiana berkata, ia sekali gus membuka minda dan membina personaliti kanak-kanak untuk tampil cergas serta bijak.

“Personaliti inilah yang harus kita terapkan dalam diri generasi masa kini demi membentuk masa hadapan yang lebih cerah.

“Semoga kita semua dapat menyokong usaha murni ini ke arah mendorong pembacaan aktif dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Ubah tradisi, wanita perlu ke hadapan

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Wanita bukan lagi dilihat untuk duduk di belakang, sebaliknya perlu dididik sehingga mampu menjadi modal insan berilmu dan berakhlak mulia.

Isteri kepada Dato’ Menteri Besar, Masdiana Muhamad berkata, peranan wanita kini sudah jelas berubah daripada fungsi tradisionalnya.

“Saya ingin menyeru wanita melakukan pembaharuan selaras peralihan teknologi dan kemajuan negara melalui inovasi dasar negara masa kini.

“Dengan perubahan zaman dan cabaran semasa, usaha secara bersepadu amat diperlukan supaya dapat menyumbang kepada kejayaan wanita, sekali gus kejayaan institusi kekeluargaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup International Winning Women’s Day 2019 anjuran ADLA Group Sdn Bhd (ADLA) di Dewan Perdana Felda, D’ Saji Keramat, di sini.

Beliau yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) berkata, inisiatif ADLA giat membuka ruang dan landasan khusus buat wanita mendapatkan ilmu dan berkongsi maklumat seharusnya dipuji.

“Saya optimis inisiatif dilaksanakan ADLA tidak terhenti di sini sahaja, sebaliknya dapat diteruskan demi membantu wanita untuk terus berjaya dan sentiasa kehadapan.

“Justeru, dengan pelbagai cabaran baharu pada masa kini, ia menuntut kita untuk sentiasa meneroka ilmu, melakukan inovasi dan berusaha melangkaui sempadan kecemerlangan,” katanya.

ADLA atau “Advisory, Development, Learning & Achievement” adalah institusi latihan yang memfokuskan kepada keseimbangan kerja untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja, korporat, individu serta usahawan.

Ditubuhkan pada Januari 2016 di Ampang, ia diasaskan Datin Dr Leez Hassan, seorang usahawan, penulis dan ibu kepada enam orang anak.

Difahamkam, ADLA tercetus apabila Dr Leez mempunyai minat untuk membantu usahawan mempelajari dan mengembangkan ilmu keusahawanan, sekali gus berjaya dalam perniagaan serta kehidupan.

Categories
SELANGOR

Era Malaysia baharu angkat wanita setiap peringkat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 MAC: Keupayaan sesebuah negara mencapai setiap sasaran dalam Matlamat Pembangunan Mampan memerlukan keterlibatan semua pihak.

Isteri Dato’ Menteri Besar, Masdiana Muhamad percaya era Malaysia Baharu ketika ini mengangkat kaum wanita di setiap peringkat.

Justeru, katanya, golongan wanita merupakan pemegang taruh terpenting dalam menjayakan agenda berkenaan.

Beliau berkata, pembabitan wanita dalam kepimpinan di Malaysia adalah sangat signifikan dan perlu diberikan tempat dalam pentadbiran setiap organisasi.

“Hal ini supaya setiap dasar, polisi dan keputusan yang dibuat akan menjadi lebih inklusif dan peka terhadap kehendak setiap golongan masyarakat.

“Malaysia pada hari ini menempa sejarah dengan menobatkan Timbalan Perdana Menteri Pertama Wanita, iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Apresiasi Kepimpinan Wanita Selangor, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Masdiana berkata, penyertaan wanita dalam setiap lapis kepimpinan di negara menambah variasi dan kepelbagaian yang bakal menatijahkan hasil positif dalam meningkatkan produktiviti.

“Memandangkan wanita itu sendiri sememangnya memiliki peranan semula jadi yang pelbagai, iaitu seorang ibu, isteri, anak malah seorang nenek.

“Maka, sudah tentulah peranan semulajadi yang pelbagai ini membentuk dinamika berbeza yang menjadi nilai tambah kepada setiap organisasi sedia ada seperti nilai empati, peduli dan bersifat rahmah,” katanya.

Pada masa sama, beliau yang juga Yang DiPertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) berharap Kerajaan Negeri turut memperkukuhkan program yang dilaksanakan menerusi Institut Wanita Berdaya (IWB) dan Pusat Wanita Berdaya (PWB).

“Saya amat berharap agensi ini terus menjadi landasan utama wanita di Selangor untuk mendapatkan latihan pengupayaan, baik dari aspek kepimpinan, pembinaan kapasiti mahupun kemahiran asas.

“Ia sebagai persediaan untuk mereka ini diangkat ke tahap yang lebih tinggi, menjadi pemimpin di peringkat komuniti, daerah mahupun negeri,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Wanita Elit tambah baik sosio ekonomi

OLEH NORHAYATI UMOR

CYBERJAYA, 24 FEB: Pertubuhan Wanita Elit (WE) yang akronim kepada teras ekonomi, legasi, inovasi dan teknologi perlu terus memainkan peranan penting sebagai ‘one stop centre’ dalam menaik taraf golongan berkenaan melalui pelbagai bidang.

Isteri kepada Dato’ Menteri Besar, Masdiana Muhamad berkata, sejajar polisi Kerajaan Negeri, WE perlu memainkan peranan dan menyahut seruan untuk melahirkan wanita mahir dalam perniagaan khususnya.

“WE ditubuhkan dengan matlamat menyediakan landasan untuk wanita daripada pelbagai profesion dan pengalaman berdaya saing serta pemerkasaan.

“Sejak dua tahun lalu, WE berjaya menambah penyertaan dan berperanan memberdayakan kaum ini supaya membabitkan diri dalam bidang sosial dan ekonomi.

“Justeru, WE perlu terus komited membantu wanita menaik taraf kehidupan, menjana ekonomi, melahirkan wanita yang berjaya dalam pelbagai bidang, peringkat umur, berpotensi melahirkan tranformasi kepada lebih berpengetahuan dan teknologi,” katanya.

Beliau yang menggantikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata demikian pada Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa dan Majlis Ulangtahun kedua WE, di Dewan Banquet Astana, di sini.

Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan WE, Datin Seri Nurzarina Sepran.

Pada masa sama, Masdiana yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mengangkat martabat wanita melalui pelbagai aspek.

Malah, katanya, Selangor adalah satu-satunya negeri, di Malaysia yang memenuhi kuota 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan sama ada di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mahupun Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan.

“Di peringkat polisi, penubuhan Institut Wanita Berdaya diwujudkan sebagai ‘think thank’ wanita negeri ini, sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan kepada agenda pemberdayaan wanita, yang menyumbang kepada penubuhan Pusat Wanita Berdaya di 56 Dewan Undangan Negeri.

“Begitu juga melalui salah satu agenda Inisiatif Peduli Rakyat antaranya Kasih Ibu Smart Selangor yang turut memberi impak positif.

“Lahirnya penambahbaikan ‘work from home’, kerajaan memberikan latihan untuk mereka menambah sumber pendapatan, sekali gus mahir dalam sesuatu pekerjaan,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Lebih 7,000 peserta Malaysia Women Marathon 2019

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 20 FEB: Lebih 7,000 peserta dijangka menyertai Malaysia Women Marathon (MWM) 2019 edisi ke tujuh di Padang Timur, di sini, pada 3 Mac depan.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu larian 42 kilometer (KM), 21 km, 10 km dan 5 km.

Katanya, peserta berpeluang meraih wang tunai RM28,200 dalam cara tahunan yang dilaksanakan sempena Hari Wanita Sedunia yang diadakan setiap 8 Mac itu.

Hadir sama, Yang DiPertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad.

Noorul Ashikin berkata, penganjuran larian itu juga sebagai usaha untuk mempromosikan Selangor sebagai salah sebuah destinasi pelancongan dengan pelbagai kemudahan disediakan.

Katanya, ‘sports tourism’ juga dapat dipertingkatkan dan memberi kesan positif terhadap ekonomi negara khususnya perniagaan hospitaliti.

Pada masa sama, katanya, bagi memperingati tema MWM 2019, karya seni ‘Ode to Women’ oleh Habshah Abang Saufi dipilih untuk didedikasi ke atas t-shirt acara berkenaan.

“Ia menandakan semangat perpaduan dalam menyokong pemberdayaan wanita yang dikaitkan dengan kesaksamaan gender,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Swarovski Malaysia dalam penghasilan pingat.

Sejak 2013, larian berkenaan turut disertai pelari Indonesia, Singapura, Filipina dan United Kingdom.

Selain itu, pada 28 Februari hingga 1 Mac, turut diadakan pameran wanita, persembahan budaya, pertunjukkan pentas dan sebagainya termasuk jualan pelbagai jenis barangan dengan cara berbelanja tanpa tunai.

Tourism turut menawarkan pakej khas bagi tempat-tempat pelancongan di Kuala Selangor antaranya Sky Mirror, Bukit Melawati, Sekinchan, makanan laut di Pasir Penambang dan Kelip-kelip di Kampung Kuantan.

Laluan sekitar akan ditutup bermula jam 2 pagi dan dibuka semula pada 8.30 pagi. Seramai 100 anggota polis dan penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan ditempatkan di program itu.

Sebanyak 4,000 tempat letak kenderaan disediakan di kawasan sekitar antaranya Amcorp Mall, Jalan Gasing, Taman Jaya, Kompleks MBPJ, Armada Hotel Pinnacle dan Hotel Sheraton.

 

Categories
SELANGOR

Guna peluang ‘Work From Home’ jana pendapatan sampingan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 1 DIS: Penerima Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang bakal terpilih menyertai program ‘Work From Home (WFH)’ perlu menggunakan peluang keemasan itu untuk menjana lebih pendapatan sampingan keluarga.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad berkata, pelaksanaan program ‘empowerment’ golongan wanita yang dijangka bermula pada tahun hadapan itu, mampu melatih mereka berdikari untuk mencari sumber kewangan sendiri.

“Apabila mereka menjalankan sesuatu pekerjaan dari rumah, ia bergantung sepenuhnya kepada usaha seseorang itu, kalau rajin maka mereka akan memperoleh lebih daripada itu.

“Yang penting, kerja keras untuk mendapatkan pulangan hasil yang baik,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Kecergasan ‘Jom Sihat’ yang bertemakan Wanita Ceria, Rumahtangga Bahagia’, di Dewan Melawati Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Masdiana yang juga isteri Dato’ Menteri Besar berkata, program terbabit turut menyediakan platform pemasaran khususnya kepada penerima KISS untuk mengembangkan lagi bidang pekerjaan mereka.

Katanya, kemungkinan terdapat syarikat menawarkan peluang pekerjaan hasil daripada kemahiran dan nilai tambah dimiliki oleh golongan wanita terbabit.

“Jika dilihat, kerja jahitan manik misalnya, walaupun pendapatan agak sedikit pada peringkat permulaan, tetapi tidak mustahil lama-kelamaan mereka boleh membuka butik sendiri.

“Kita tidak tahu rezeki pada masa akan datang, sebab itu saya berharap supaya usaha dan kerja keras mereka ini sentiasa berterusan serta jangan sesekali cepat berputus asa,” katanya.

Terdahulu, menerusi belanjawan Selangor 2019, program di bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) akan diteruskan ekoran sambutan luar biasa di kalangan rakyat di negara ini khasnya Selangor yang memberi manfaat kepada 40,000 ibu.

Justeru, bagi mengorak langkah ke arah Pemberian ke Pemberdayaan (From Gift To Empowerment), penerima KISS terpilih menyertai program WFH.

Pembabitan proaktif 56 Pusat Wanita Berdaya di seluruh Selangor turut sama dizahirkan dalam mengenal pasti penerima KISS berpotensi untuk menjadi peserta program berkenaan.

Categories
SELANGOR

Jom Sihat PEKAWANIS, ajar teknik senaman kreatif

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 1 DIS: Kira-kira 100 wanita menyertai program kecergasan bertemakan ‘Wanita Ceria, Rumahtangga Bahagia’ anjuran Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), di Dewan Melawati, Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini, pagi ini.

Program julung kali diadakan persatuan itu menggabungkan beberapa teknik senaman seperti Aerobik, Aerodance dan Bhangra Aerobic selama hampir tiga jam bagi memberi kepuasan kepada peserta.

Yang Dipertuanya, Masdiana Muhamad berkata, aktiviti berbentuk kecergasan adalah bertujuan menyahut cabaran amalan hidup sihat dengan menggunakan teknik senaman betul dan kreatif.

Katanya, wanita perlu mengutamakan aspek penjagaan kesihatan sebaiknya kerana mereka adalah tonggak utama dalam sesebuah institusi rumahtangga.

“Hal ini kerana, jika wanita tidak memiliki kesihatan yang baik, maka ia boleh menjurus kepada pengabaian anak-anak.

“Kalau dilihat banyak program kesihatan di luar sana diadakan secara percuma atau berbayar tetapi kita mahu memfokuskan kepada wanita supaya dapat melakukan senaman dengan betul dan bukan sekadar bersenam sahaja,” katanya kepada SelangorKini.

Program berkenaan mengetengahkan beberapa jurulatih pakar turut berkongsi dan memberi tunjuk ajar berkaitan teknik senaman yang betul dan kreatif.

Masdiana berkata, beliau optimis untuk mengadakan program sama pada masa akan datang memandangkan penerimaan daripada peserta amat menggalakkan.

Katanya, PEKAWANIS juga dalam perancangan menjadikan aktiviti terbabit sebagai acara berkala setiap bulan, pada Sabtu minggu pertama.

“Kita akan mendapatkan maklum balas daripada ahli PEKAWANIS dan kalau mereka rasa ia bagus, maka kita akan meneruskannya.

“Tambahan pula, sudah menjadi hasrat kita untuk menerima sebarang cadangan bagi pelaksanaan program lain misalnya program ‘talk’ atau mungkin berkaitan cara pemakanan yang betul,” katanya.

Categories
SELANGOR

Majlis Ihtifal SIMDE rai kecemerlangan pelajar

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 NOV: Majlis Ihtifal Sekolah Islam Masjid Darul Ehsan (SIMDE) dalam meraikan kecemerlangan pelajar berlangsung penuh meriah di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, hari ini.

Majlis kali ke-21 itu disempurnakan Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad.

Pengerusi SIMDE, Yang Mulia (YM) Prof Dr Tengku Shahrom Tengku Shahdan berkata, selain meraikan kecemerlangan pelajar, ia juga bertujuan mengeratkan silaturahim dalam kalangan ibu bapa.

“Sambutan diterima amat menggalakkan dan hari ini kita meraikan pelajar dari tahun satu hingga lepasan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Selain itu, kita turut melancarkan Projek Wakaf Dewan Ilmu Terbuka sebagai usaha memberi fasiliti kepada pelajar, guru dan masyarakat untuk menggunakan kemudahan terbabit pada masa akan datang,” katanya selepas Majlis Ihtifal SIMDE.

Tengku Shahrom berkata, peluang wakaf itu dibuka dalam kalangan ibu bapa pelajar dan masyarakat luar juga dialu-alukan untuk menyumbang.

“Saya optimis masyarakat dan ibu bapa sudi menyumbangkan sedikit derma demi merealisasikan dewan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, pengisian majlis turut diselitkan persembahan pelajar, penyampaian hadiah dan cabutan bertuah.

 

Categories
SELANGOR

Periksa latar belakang pengasuh

OLEH SHEEDA FATHIL

RAWANG, 14 NOV : Ibu bapa perlu memeriksa latar belakang pengasuh jika mahu menghantar anak mereka ke rumah jagaan bagi menjamin keselamatan kanak-kanak terbabit.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad berkata, ibu bapa tidak boleh hanya meletakkan anak di rumah pengasuh, sekali gus membiarkan begitu sahaja.

“Saya optimis setiap ibu bapa mengambil serius memeriksa latar belakang pengasuh kerana daripada situ, kita boleh berjaga-jaga.

“Selain itu, saya turut mencadangkan supaya setiap pusat jagaan kanak-kanak dihadkan penjagaan kerana apabila terlalu ramai, dikhuatiri berlakunya tekanan dalam kalangan pengasuh, sekali gus kes penderaan terjadi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Tabika Perpaduan daerah Gombak, di Ivory One Hall, Country Homes, di sini, hari ini.

Mengulas berkenaan kes penderaan seksual kanak-kanak 11 tahun yang berlaku di Bangi hingga meragut nyawa baru-baru ini, Masdiana berkata, beliau kecewa dengan kes berkenaan dan berharap pesalah dibawa ke muka pengadilan.

“Perkara itu amat memalukan, terutama ia membabitkan orang Islam dan ia tidak seharusnya berlaku.

“Bagaimanapun, saya optimis pihak berkuasa mengambil serius kes ini dan masyarakat terutama yang beragama Islam perlu sedar serta kembali kepada ajaran Islam,” katanya yang juga isteri kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Terdahulu, negara dikejutkan dengan berita kematian seorang bayi, Nur Muarzara Ulfa Muhammad Zainal atau nama mesranya, Zara berusia 11 bulan disahkan meninggal dunia, Jumaat lalu.

Difahamkan, suami pengasuh berusia 36 tahun itu menjaga sepenuhnya Zara sejak dihantar di bawah jagaan isteri lelaki berkenaan, berusia 28 tahun, pada 21 September lalu.

Bayi itu dipercayai mengalami penderaan fizikal dan seksual selepas dua hari bertarung nyawa ketika mendapatkan rawatan di Hospital Serdang, sejak Rabu lalu.

 

Categories
SELANGOR

Ibu bapa main peranan kawal anak ketagih gajet

OLEH SHEEDA FATHIL

RAWANG, 14 NOV: Ibu bapa turut memainkan peranan penting terutama dalam mengawal anak yang ketagih terhadap penggunaan gajet.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad berkata, ibu bapa perlu dipersiapkan dengan program keibubapaan, terutama apabila berdepan cabaran teknologi masa kini.

“Saya mewakili PEKAWANIS turut mempunyai perancangan pada masa akan datang untuk melaksanakan beberapa program khusus kepada ibu bapa, terutama berkaitan mendidik serta menjaga anak.

“Sebagai ibu bapa, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab kita supaya setiap yang disemai dalam jiwa anak terus dibaja, disiram dan dijaga supaya ia terus subur sehingga mereka cukup matang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Tabika Perpaduan daerah Gombak di Ivory One Hall, Country Homes, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, ibu bapa tidak boleh meletakkan tanggungjawab mendidik hanya di bahu guru semata-mata.

“Kebanyakan anak zaman kini lebih suka meniru apa yang dibuat ibu bapa, justeru kita perlu menjadi contoh terbaik untuk mereka teladani,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyokong setiap guru prasekolah mempunyai Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, terutama apabila berhadapan dunia penuh cabaran kini.

“Kanak-kanak kini sudah hebat dan cepat belajar, justeru penting untuk guru mempunyai kursus bertauliah bagi mengelak pelajar tercicir,” katanya.

Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Hab Pemberdayaan Wanita Zuraida Kamaruddin tepat pada masa

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 30 OGOS: Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad menganggap penubuhan Hab Pemberdayaan Wanita Zuraida Kamaruddin disifatkan tepat, pada masanya.

Katanya, ia sekali gus mengiktiraf dan menghargai Zuraida sebagai tokoh wanita yang banyak berjasa kepada pembangunan wanita di negara ini, khususnya Selangor.

“Perjuangan beliau dalam memperkasakan wanita tidak boleh disangkal lagi. Bermula sebagai aktivis, ahli politik, ahli parlimen dan kini sebagai menteri, beliau masih teguh bersama usul perjuangan, iaitu wanita di Malaysia harus diberikan pembelaan dan pemberdayaan sewajarnya.

“Agenda pemberdayaan wanita terus diangkat apabila beliau dilantik sebagai menteri, sekali gus mengusulkan 30 peratus ahli majlis diberikan kepada golongan wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Majlis Pelancaran Hab Pemberdayaan Wanita Zuraida Kamaruddin di sini, hari ini.

Masdiana yang juga isteri kepada Dato’ Menteri Besar Selangor berkata, penubuhan Institut Wanita Berdaya, pada 2017 bertujuan menjadi badan pemikir dan pembuat dasar yang menyokong agenda serta matlamat diperjuangkan Kerajaan Negeri.

Katanya, ia menjunjung prinsip hak asasi seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, selain memastikan keseimbangan dan kecemerlangan berterusan pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Semoga hab ini akan menjadi landasan untuk mengangkat usaha pemberdayaan wanita melalui Dasar Wanita Selangor dengan memaksimumkan potensi dan kapasiti wanita.

“Saya juga berharap ia akan menaik taraf kehidupan sosio-ekonomi, kesihatan dan keselamatan wanita serta meningkatkan keupayaan kepimpinan juga pembuat keputusan wanita,” katanya.