Categories
PBT

Datuk Bandar gesa peniaga bincang lokasi perniagaan sementara

KUALA LUMPUR, 21 Mei: Para peniaga di bazar hadapan Wisma Yakin di sini yang terlibat dalam kebakaran awal hari ini, diminta berbincang mengenai kawasan penempatan perniagaan sementara pada bulan Ramadan ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pihaknya telah memberi cadangan beberapa lokasi tertentu yang dikenal pasti boleh dijadikan tempat berniaga mereka untuk baki beberapa minggu menjelang perayaan Aidilfitri.

“Saya dah menyatakan kepada mereka bahawa mereka akan ditempatkan berdekatan kawasan tempat perniagaan mereka sekarang sama ada di Lorong Tuanku Abdul Rahman 3 atau di Lorong Tuanku Abdul Rahman 5 tapi keputusan majoriti perlu daripada mereka.

“Peniaga terlibat perlu berbincang mencari satu persetujuan di mana mereka hendak ditempatkan. Mereka juga diberikan tempoh dua minggu untuk menyatakan jumlah kerugian dialami,” katanya kepada Bernama di tempat kejadian.

Nor Hisham berkata berdasarkan jumlah kerugian itu, pihaknya akan memberi sedikit bantuan bagi meringankan beban peniaga terlibat.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga Bazar Melayu Moden Bazar Masjid India, Hamidi Abdul Hamid berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama 30 peniaga terlibat untuk urusan penempatan sementara mereka.

“Apa yang merunsingkan kami mengenai tempat sementara dicadangkan itu mungkin tidak berapa sesuai buat peniaga yang terlibat.

“Namun perkara itu boleh dibincangkan lagi menurut kata Datuk Bandar Kuala Lumpur. Jadi kami kena buat keputusan di mana kawasan yang lebih sesuai untuk menempatkan mangsa terlibat dengan kebakaran sahaja,” katanya kepada Bernama.

Hamidi berkata cadangan dan keputusan akan dimaklumkan kepada pihak DBKL dalam masa terdekat.

“Beberapa peniaga ada bagi cadangan tapi kami akan berbincang balik untuk mencapai kata sepakat,” katanya.

Dalam kejadian pukul 1.35 pagi ini, 30 gerai yang antaranya menjual pakaian, beg, tudung dan kasut di hadapan Wisma Yakin, Masjid India di sini, musnah dalam kebakaran. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Detik sedih 30 premis peniaga terlibat kebakaran di Bazar Masjid India

KUALA LUMPUR, 21 Mei: Jualan kami semalam paling memberangsangkan, dah lama tak dapat jualan macam tu… tapi tak sangka menjelang pagi ini semuanya musnah dijilat api,” luah seorang peniaga di Bazar Masjid India.

Linda Razali, 35, adalah antara peniaga di bazar di hadapan Wisma Yakin yang setiap tahun menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah kelengkapan Syawal pada bulan Ramadan.

Awal hari ini, 30 gerai di Bazar Masjid India yang menjual pelbagai barang seperti pakaian, tudung, beg dan kasut terbakar pada pukul 1.35 pagi.

Linda, yang berniaga tudung, berkata ketika kejadian beliau telah berada di rumahnya di Cheras Indah dan mengetahui kejadian itu melalui kawannya yang berada di kawasan bazar itu.

“Kawan saya telefon bagi tahu kedai saya terbakar… terus saya rasa nak pitam dan lemah semangat. Saya menangis memikirkan nasib sempena bulan Ramadan ini dan nak sambut raya,” katanya ketika ditemui Bernama di tempat kejadian.

Linda, yang mempunyai dua anak, berkata beliau baru sahaja menambah bekalan jualan sempena bulan puasa ini dan kebakaran itu sudah pasti menjejaskan punca rezekinya.

Beliau bagaimanapun reda dengan keadaan yang menimpa dan berharap pihak tertentu dapat membantu nasib peniaga yang terjejas dalam kebakaran itu.

Seorang lagi peniaga, Ahmad Daud Rafieei, 52, berkata, beliau terpaksa menanggung kerugian apabila kasut dan pakaian yang dijual di gerainya hangus dijilat api.

“Saya tak sangka hasil titik peluh bersama isteri dijilat api… anggaran dekat RM100,000 kerugian terpaksa saya tanggung. Itu stok jualan serta stok untuk bulan puasa ini yang dikongsi bersama isteri.

“Punca pendapatan saya terjejas dalam masa terdekat ini, rugi itu sudah tentu dan kami rungsing di mana tempat sementara kami untuk berniaga… strategik atau tidak saya tak tahu tapi lebih baik ada tempat sementara daripada tak boleh berniaga langsung,” katanya.

Seorang saksi kejadian, Syed Yusof Abdul, 60, berkata ini adalah kali ketiga bazar yang telah beroperasi selama 16 tahun itu terbakar, selepas kebakaran kecil April tahun lepas.

“Jiran niaga saya adalah orang pertama yang bagi tahu ada kedai terbakar, masa tu saya nak bersahur. Ada antara kami cuba memadamkan api tapi alat pemadam kebakaran tak dapat berfungsi dah ‘jammed’.

“Saya sedih dengan apa yang berlaku sebab ia pernah berlaku kepada saya dulu… ditimpa musibah seperti ini sukar mereka nak mulakan balik… harapan saya agar ada jalan penyelesaian dapat dilakukan bagaimana nak bantu peniaga yang terlibat,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati sebahagian bumbung Bazar berkenaan turut terbakar manakala barang di premis terjejas kebanyakannya tidak dapat diselamatkan. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

30 peniaga Masjid India berputih mata bazar terbakar

 

KUALA LUMPUR, 21 Mei: Berbaki dua minggu sahaja lagi untuk menyambut kedatangan Syawal, nasib tidak menyebelahi 30 peniaga apabila gerai perniagaan mereka musnah dalam kebakaran di hadapan Wisma Yakin, Masjid India, di sini, awal hari ini.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur L. Logeswaran berkata, pusat gerakan operasi menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada pukul 1.35 pagi dan tiba di tempat kejadian pada pukul 1.45 pagi.

Operasi memadam kebakaran melibatkan anggota dari balai Sentul, Hang Tuah, Titiwangsa serta bantuan dari Pudu.

“Tiga puluh unit gerai yang antaranya menjual pakaian, beg dan kasut terbakar sepenuhnya dan kami dapat padamkan api sepenuhnya pada pukul 2.04 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Gerai-gerai di hadapan Wisma Yakin itu adalah antara yang menjadi tumpuan pengunjung menjelang Aidilfitri bagi membeli barang keperluan untuk sambutan Hari Raya.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat. -BERNAMA