Categories
AGENDA NASIONAL

MASkargo berjaya bawa masuk kumpulan pertama vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Anak syarikat kargo Malaysia Aviation Group (MAG), MABkargo Sdn Bhd (MASkargo) hari ini berjaya menerbangkan kumpulan pertama vaksin Covid-19 ke Malaysia.

Lebih 300,000 dos vaksin Pfizer BioNTech diangkut menggunakan pesawat penumpang Airbus 330-300 dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kesihatan, Pfizer, dan DHL Express.

Bercakap mengenai peristiwa bersejarah itu, Ketua Pegawai Eksekutif  MAG Kapten Izham Ismail berkata kumpulan penerbangan itu bangga dapat berkhidmat untuk negara dalam misi yang amat penting ini ketika rakyat Malaysia dan penduduk berharap dapat menerima suntikan dos di bawah program vaksinasi nasional.

“Sebagai syarikat penerbangan negara, kami menggalas tanggungjawab untuk membawa vaksin secara serius, kerana kejayaan program vaksinasi ini adalah kunci dalam membantu negara mencapai pemulihan ekonomi dan kewangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Walaupun sangat berpengalaman dalam menangani masa dan item yang sensitif terhadap suhu, Izham berkata kumpulan itu masih bekerja keras bagi memastikan segalanya berjalan lancar.

“Tenaga kerja mahir kami dan infrastruktur yang mencukupi adalah titik penting dalam memastikan pengendalian, pengangkutan dan pengedaran vaksin Covid-19 yang selamat dan bersih, ke Malaysia atau mana-mana bahagian dunia,” katanya.

Pengedaran vaksin Covid-19 melibatkan protokol pengangkutan dan keselamatan yang sangat berkoordinasi untuk memastikan penghantarannya selamat ke pusat vaksinasi utama.

MASkargo telah melakukan simulasi langsung dan perjalanan percubaan semasa penerbangan berjadual antarabangsa dan domestik sebagai persediaan untuk pelbagai jenis vaksin, yang masing-masing mempunyai keperluan logistik yang berbeza di Malaysia.

“Kami berpuas hati bahawa misi hari ini berjaya diselesaikan, dengan sokongan padu daripada  kementerian dan rakan kongsi masing-masing.

“Kami menantikan misi serupa di masa depan, memanfaatkan rangkaian pengangkutan dan kepakaran global kami yang meluas dalam memastikan penghantaran vaksin Covid-19 yang berjaya,” tambah Kapten Izham.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MASkargo kongsi kisah bawa vaksin pertama Covid-19 ke tanah air

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Cabaran kisah di sebalik penerbangan pesawat khas yang membawa kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini, dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo) Ibrahim Mohamed Salleh.

Beliau berkata antara cabaran dihadapi dalam mengendalikan vaksin Covid-19 itu ialah prosedur pengurusan vaksin yang memerlukan perancangan rapi bagi memastikan kelancaran pergerakan dari setiap lokasi.

“Kami telah membuat persediaan sejak Ogos 2020 semasa vaksin ini masih dalam peringkat pembangunan. Persiapan dilaksanakan sementara menunggu completion of the trial.

“Kami perlu mengambil kira beberapa faktor termasuk suhu, kelajuan yang diperlukan semasa proses pengendalian vaksin serta kadar pemejalwapan sekiranya ais kering digunakan,” katanya ketika ditemu bual Bernama TV dalam program khas, Malaysia Terima Vaksin Covid-19 yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Ibrahim berkata bagi operasi di lapangan, pihaknya perlu mengambil kira masa dan kecepatan dalam pengendalian vaksin Covid-19, khususnya bagi prosedur pelepasan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, kerana vaksin ini perlu diuruskan segera dan tidak boleh disimpan seperti vaksin atau ubatan lain.

Bagi memastikan kelancaran prosedur kendalian tersebut, beliau berkata MASkargo bekerjasama dengan agensi-agensi lain termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi proses dokumentasi, pengilang dan penghantar barang (freight forwarder ) terlibat sebelum vaksin itu diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Ini memerlukan persiapan rapi dan sedikit fine-tuning (perincian) untuk menepati spesifikasi kendalian vaksin ini. Pekerja-pekerja kami juga terlatih kerana MASkargo mempunyai pengalaman yang lama dalam menguruskan pengangkutan vaksin, bukan sahaja vaksin Pfizer Covid-19, (sebelum ini) contohnya, vaksin polio dan difteria,” katanya.

Mengulas mengenai pengendalian vaksin-vaksin lain seperti Sinovac dan AstraZeneca, beliau berkata pihak MASKargo telah bersedia dengan latihan mencukupi bagi pengendalian vaksin berkenaan.

Perjalanan vaksin ini bermula dari kilang Pfizer di Belgium dengan penerbangan membawa vaksin itu berlepas dari Puurs dan transit di Lapangan Terbang Leipzig Halle sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain termasuk Malaysia.

Sebaik mendarat, proses pemindahan vaksin yang ditempatkan dalam peranti muatan unit (ULD) dari bahagian kargo pesawat ke trak milik sebuah syarikat logistik, DHL Express berlangsung di kawasan Advanced Cargo Centre (ACC), KLIA.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MASkargo tubuh pasukan khas selaras proses terima vaksin Covid-19

PUTRAJAYA, 20 FEB: MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo) menubuhkan satu pasukan khas, yang dikhususkan untuk menyelaraskan proses penerimaan vaksin Covid-19 ke Malaysia, kata Ketua Pegawai Operasinya Mohd Zulkefly Ujang.

Beliau berkata pasukan itu ditubuhkan dua bulan lepas dan dianggotai 30 individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang pengurusan vaksin.

“Pasukan ini akan menguruskan vaksin Covid-19 yang akan tiba pada Ahad dan pada fasa-fasa seterusnya, mereka telah diberikan latihan secukupnya untuk mengendalikan vaksin,” katanya kepada Bernama.

MASkargo adalah cabang kargo Malaysia Airlines Bhd, yang diberi tanggungjawab menyelaras proses penerimaan vaksin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ahad ini (esok), Malaysia akan menerima sebanyak 312,390 dos vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech menjelang pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara berfasa, bermula 26 Februari ini.

Fasa pertama program imunisasi itu bermula Februari hingga April melibatkan petugas barisan hadapan, diikuti fasa kedua bermula April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi, iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi serta golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Fasa ketiga pula melibatkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas, bermula dari Mei hingga Februari tahun depan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menerima suntikan vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan, bersama-sama petugas barisan hadapan.

Mohd Zulkefly berkata, kepakaran MASkargo dalam mengendalikan vaksin telah diiktiraf, kerana hampir setiap hari menguruskan proses penerimaan pelbagai jenis vaksin di negara ini.

“Kita urus pelbagai jenis vaksin bukan sahaja Covid-19, kalau vaksin itu perlu disimpan dahulu di KLIA, kita juga ada fasiliti,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

MASkargo buat persiapan rapi pastikan keselamatan vaksin Pfizer-BioNTech

SEPANG, 17 FEB: MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo) sedang memperhebatkan persiapan di Advanced Cargo Centre (ACC), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memastikan ketibaan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech ke Malaysia pada Ahad ini, berjalan lancar.

Ketua Pegawai Operasi MASkargo Mohd Zulkefly Ujang berkata beberapa siri latihan membawa vaksin dengan suhu ultra sejuk -70 darjah Celsius dijalankan sejak lima bulan lepas bagi memastikan keberkesanan vaksin tersebut tidak terjejas.

“Persiapan penerimaan vaksin kini 110 peratus,” katanya ketika ditemui selepas meninjau persiapan penerimaan vaksin Covid-19 di ACC di sini, hari ini.

Mohd Zulkefly berkata MASkargo yang diberi tanggungjawab menyelaras proses penerimaan vaksin di KLIA turut memastikan setiap pekerja yang bertugas pada hari penerimaan vaksin itu melalui kursus pengendalian vaksin.

Katanya, MASkargo mempunyai kepakaran dalam pengendalian vaksin kerana menguruskan penerimaan pelbagai jenis vaksin setiap hari selain mempunyai fasiliti lengkap.

“Kita terima pelbagai jenis vaksin setiap hari, cuma yang membezakannya adalah suhu yang diperlukan untuk vaksin tersebut,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa memaklumkan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech akan tiba di negara ini pada Ahad (21 Februari), menjelang pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara berfasa bermula pada 26 Februari ini.

Muhyiddin akan menerima suntikan vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan bersama-sama petugas barisan hadapan.

Fasa pertama program imunisasi itu bermula Februari hingga April melibatkan petugas barisan hadapan, diikuti fasa kedua bermula April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi serta golongan Orang Kurang Upaya.

Fasa ketiga pula melibatkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas bermula dari Mei ini hingga Februari tahun depan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Maskargo komited hantar peralatan perubatan

SHAH ALAM, 16 APRIL: MAB Kargo Sdn Bhd (Maskargo) komited menguruskan penghantaran peralatan perubatan sepanjang masa dalam usaha negara mengekang wabak Covid-19, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Ibrahim Mohamed Salleh berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Luar Negeri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi memastikan semua peralatan perubatan dihantar mengikut keperluan.

“Untuk menampung permintaan pengangkutan udara yang agak luar biasa tinggi, kami sedang berinovasi dengan menggunakan pesawat penumpang untuk membawa kargo yang dipanggil projek P2C,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Maskargo sibuk menanggung permintaan pajakan yang tinggi selain terpaksa melaksanakan operasi berjadual.

Sehingga kini, sebanyak 94 penerbangan P2C dilakukan sejak 22 Mac lalu dan lebih daripada 250 penerbangan dirancang sehingga 31 Mei 2020.