Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Mihas ke-17 ditunda ke tahun depan – Matrade

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menunda Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) ke-17 ke tahun depan dengan tarikh sebenarnya ditentukan kemudian.

Acara itu sepatutnya diadakan pada 1-4 September depan.

Dalam kenyataan hari ini, Matrade berkata keputusan itu diambil selepas mengambil kira pandemik Covid-19 serta kesannya yang boleh menjejaskan reputasi acara tersebut sekiranya diteruskan.

“Mengikut maklum balas diterima oleh Matrade menerusi 46 pejabatnya di luar negara, sebahagian besar pempamer, pembeli dan pengunjung asing masih belum bersedia untuk melakukan perjalanan udara atau mengambil bahagian dalam pameran antarabangsa di luar negara masing-masing.

“Satu tinjauan dalam kalangan pempamer Malaysia turut mengesahkan lagi kebimbangan disuarakan oleh pempamer asing mengenai kemungkinan jumlah pengunjung dan pembeli yang berkurangan di acara berkenaan susulan tindakan kebanyakan negara mengenakan sekatan pergerakan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata penangguhan itu juga demi kepentingan pempamer serta pembeli dan agensi itu percaya Covid-19 akan menjejaskan kelancaran acara terbabit.

“Tarikh penganjuran bagi tahun depan akan ditentukan kemudian, bergantung kepada perkembangan pandemik tersebut.

“Langkah menangguhkannya ke 2021 juga membolehkan pempamer asing menyelaras strategi berikutan perubahan persekitaran yang berlaku,” katanya.

Sejak 16 tahun lepas, Mihas terbukti membina reputasi sebagai peneraju acara pameran halal di peringkat global menerusi kehadiran ramai penggiat industri dari serata dunia yang berhimpun bagi mengetengahkan produk serta perkhidmatan inovasi terbaharu.

Malah, acara itu juga menjadi tumpuan kalangan ahli akademik, pengamal serta pihak berkepentingan dalam sektor halal, kewangan Islam serta perniagaan berasaskan patuh Syariah.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

MATRADE bantu promosi produk F&B Malaysia di Hong Kong

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Produk makanan dan minuman (F&B) Malaysia yang unik dijangka menjadi tumpuan pada pameran perdagangan Asia yang utama, HOFEX 2019 di Hong Kong dari 7 hingga 10 Mei ini.

Acara itu akan menyaksikan penyertaan sebanyak 30 syarikat Malaysia.

Disertai agensi promosi perdagangan Malaysia, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), penyertaan di HOFEX 2019 akan turut membantu mempromosikan produk kepada pembeli dari Asia dan negara lain.

Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Hong Kong, Noor Ezzwanee Ahmad berkata terdapat minat yang tinggi dalam kalangan syarikat Malaysia untuk menyertai HOFEX, berdasarkan reputasi acara itu dalam kalangan pembeli dari seluruh dunia.

Pada tahun ini, pameran perdagangan itu akan menampilkan lebih 2,800 gerai dan dijangka menarik lebih 42,000 pengunjung dari lebih 70 negara.

“Terdapat pelbagai peluang perniagaan dan rangkaian di pameran perdagangan dua tahun sekali ini dan lebih 20,000 pembeli asing akan hadir pada acara itu.

“Acara perdagangan di Hong Kong sering menjadi platform pilihan kepada peniaga, usahawan dan pengeluar global untuk mempromosikan dan melancarkan produk mereka ke pasaran lain, berdasarkan status bandar itu sebagai pelabuhan perdagangan bebas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan MATRADE dalam mempromosikan jenama Malaysia, pejabatnya di Hong Kong akan memudahkan padanan perniagaan pengeksport Malaysia yang menyertai HOFEX, dengan pembeli yang berpotensi dari Hong Kong, Macau dan China.

Lebih 780 pertemuan perniagaan dijangka diadakan.

“Padanan perniagaan merupakan antara pemudahan utama MATRADE kepada syarikat Malaysia. Dengan rangkaian kita yang luas dan risikan pasaran yang diraih lebih dua dekad, mereka dijamin dipadankan dengan pembeli yang berkualiti tinggi.

“Kami berharap libat urus itu akan memberi peluang kepada syarikat Malaysia untuk menemui pembeli dari seluruh dunia di Hong Kong dan menjadikan bandar itu sebagai pintu masuk ke China dan negara-negara lain,” kata Ezzwanee.

Pada HOFEX 2017, syarikat Malaysia berjaya meraih nilai eksport lebih RM20 juta dan syarikat yang mengambil bahagian juga dapat mencari pengedar di Hong Kong, China dan negara-negara lain.

Syarikat F&B Malaysia yang bersedia untuk memanfaatkan prospek di Hong Kong dinasihatkan mendapatkan pandangan MATRADE melalui pejabatnya di Hong Kong untuk memastikan mereka mempunyai pemahaman mengenai pasaran yang diperlukan sebelum mengaksesnya.

Maklumat lanjut, syarikat Malaysia boleh e-mel kepada [email protected].

-BERNAMA

Categories
EKONOMI

Matrade manfaatkan ekspo di China bagi tingkatkan eksport

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menyasarkan untuk memanfaatkan Ekspo Import Antarabangsa China 2018 (CIIE) untuk meningkatkan peluang eksport dalam rakan dagang terbesar negara itu.

Ekspo tersebut, yang akan berlangsung dari 5 hingga 10 Nov di Shanghai, akan disertai oleh 80 syarikat Malaysia, dengan misi diketuai oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking.

Di samping itu, bakal pembeli dari 81 negara dijangka menemui syarikat Malaysia di sana.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Ir Dr Mohd Shahreen Madros berkata Matrade menyasarkan untuk mengetengahkan sektor bernilai tinggi Malaysia terutamanya peralatan berteknologi tinggi dan perkhidmatan.

“Malaysia boleh mengambil peluang daripada peluang yang ada daripada Inisiatif Jalur dan Laluan, yang matlamat utamanya menggalakkan perdagangan tanpa halangan.

“Memandangkan China merupakan rakan dagang terbesar kita sejak 2009, kita perlu meningkatkan usaha untuk memudahkan akses syarikat Malaysia ke pasaran itu supaya perdagangan kita dengan China akan terus kompetitif,” katanya.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2018, perdagangan Malaysia dengan China berkembang sebanyak 9.6 peratus kepada RM206.19 bilion, dengan eksport meningkat 11 peratus disumbangkan terutamanya oleh produk elektrik dan elektronik, produk kimia dan kimia, perkilangan logam serta peralatan optik dan saintifik.

SUMBER: BERNAMA