Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Mihas ke-17 ditunda ke tahun depan – Matrade

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menunda Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) ke-17 ke tahun depan dengan tarikh sebenarnya ditentukan kemudian.

Acara itu sepatutnya diadakan pada 1-4 September depan.

Dalam kenyataan hari ini, Matrade berkata keputusan itu diambil selepas mengambil kira pandemik Covid-19 serta kesannya yang boleh menjejaskan reputasi acara tersebut sekiranya diteruskan.

“Mengikut maklum balas diterima oleh Matrade menerusi 46 pejabatnya di luar negara, sebahagian besar pempamer, pembeli dan pengunjung asing masih belum bersedia untuk melakukan perjalanan udara atau mengambil bahagian dalam pameran antarabangsa di luar negara masing-masing.

“Satu tinjauan dalam kalangan pempamer Malaysia turut mengesahkan lagi kebimbangan disuarakan oleh pempamer asing mengenai kemungkinan jumlah pengunjung dan pembeli yang berkurangan di acara berkenaan susulan tindakan kebanyakan negara mengenakan sekatan pergerakan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata penangguhan itu juga demi kepentingan pempamer serta pembeli dan agensi itu percaya Covid-19 akan menjejaskan kelancaran acara terbabit.

“Tarikh penganjuran bagi tahun depan akan ditentukan kemudian, bergantung kepada perkembangan pandemik tersebut.

“Langkah menangguhkannya ke 2021 juga membolehkan pempamer asing menyelaras strategi berikutan perubahan persekitaran yang berlaku,” katanya.

Sejak 16 tahun lepas, Mihas terbukti membina reputasi sebagai peneraju acara pameran halal di peringkat global menerusi kehadiran ramai penggiat industri dari serata dunia yang berhimpun bagi mengetengahkan produk serta perkhidmatan inovasi terbaharu.

Malah, acara itu juga menjadi tumpuan kalangan ahli akademik, pengamal serta pihak berkepentingan dalam sektor halal, kewangan Islam serta perniagaan berasaskan patuh Syariah.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Usahawan Selangor paling ramai terima pengiktirafan halal

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 APRIL: Lebih 400 usahawan di Selangor menerima pengiktirafan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kata Rodziah Ismail.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi itu berkata, jumlah berkenaan sekali gus meletakkan Selangor sebagai pemegang rekod usahawan paling ramai dalam rekod halal.

Katanya, maklumat itu disampaikan JAKIM ketika Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2019, baru-baru ini.

“Ini menunjukkan usahawan kita bukan biasa-biasa dan membuktikan mereka menepati pelbagai ciri yang boleh diiktiraf pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

“Saya berharap jumlah pemegang status halal ini akan bertambah kerana kualiti pengiktirafan halal adalah yang terbaik termasuk dari aspek kebersihan,” katanya kepada SelangorKini.

Rodziah berkata, kejayaan itu juga berpunca daripada gerak kerja Selangor Halal Action Plan melalui Invest Selangor yang berusaha membantu usahawan mendapatkan status halal.

“Kita juga sedar industri halal semakin berkembang memandangkan populasi penduduk Islam dunia pada ketika ini adalah sekitar 1.8 bilion dan dijangka akan terus bertambah sehingga 2.2 bilion, pada 2030.

“Populasi penduduk Islam ini meliputi 28 peratus daripada jumlah penduduk dunia. Berdasarkan kepada angka ini, permintaan terhadap produk dan perkhidmatan halal adalah tinggi sehingga boleh mencecah USD680 bilion setahun,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Nikmati wain halal di MIHAS

OLEH UMIRAH IZRIN MOHAMAD SAID

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Pengunjung Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2019 berpeluang menikmati wain halal secara percuma, sehingga Sabtu ini.

Pengurus Operasi AiraOne Corporation Sdn Bhd, Arif Abdullah Leong berkata, wain berjenama Carl Jung dan mempunyai tujuh perisa itu mula menerima pengiktirafan halal sejak 10 tahun lalu.

Katanya, minuman hasil kolaborasi syarikatnya bersama Jerman dan Sepanyol itu memberi peluang kepada muslim untuk merasai wain 100 peratus bebas alkohol.

“Wain yang dihasilkan ini akan melalui proses penapaian tanpa haba yang dapat mengeluarkan 100 peratus alkohol.

“Produk yang dihasilkan ini bukanlah untuk mewujudkan budaya tidak sihat, sebaliknya kami menggunakan manfaat wain yang dapat membantu daripada aspek kesihatan.

“Ini kerana mengikut kajian, pengambilan wain tanpa alkohol berjaya membantu melancarkan saluran darah dan antung,” katanya ketika ditemui di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Arif Abdullah berkata, AiraOne Corporation Sdn Bhd turut mempunyai Restoran Sombrero yang menghidangkan makanan asli dari Mexico.

Beliau berkata, pengalamannya menetap di Mexico lebih 10 tahun membolehkannya mempelajari pembuatan sos unik dari negara itu.

“Hasilnya, sos keluaran syarikat itu berjaya menembusi pasaran di beberapa pasar raya seperti Giant dan Tesco.

“Pada masa sama, kami ingin memperkenalkan budaya dan resepi yang berbeza kepada rakyat Malaysia,” katanya.