Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Mihas ke-17 ditunda ke tahun depan – Matrade

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menunda Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) ke-17 ke tahun depan dengan tarikh sebenarnya ditentukan kemudian.

Acara itu sepatutnya diadakan pada 1-4 September depan.

Dalam kenyataan hari ini, Matrade berkata keputusan itu diambil selepas mengambil kira pandemik Covid-19 serta kesannya yang boleh menjejaskan reputasi acara tersebut sekiranya diteruskan.

“Mengikut maklum balas diterima oleh Matrade menerusi 46 pejabatnya di luar negara, sebahagian besar pempamer, pembeli dan pengunjung asing masih belum bersedia untuk melakukan perjalanan udara atau mengambil bahagian dalam pameran antarabangsa di luar negara masing-masing.

“Satu tinjauan dalam kalangan pempamer Malaysia turut mengesahkan lagi kebimbangan disuarakan oleh pempamer asing mengenai kemungkinan jumlah pengunjung dan pembeli yang berkurangan di acara berkenaan susulan tindakan kebanyakan negara mengenakan sekatan pergerakan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata penangguhan itu juga demi kepentingan pempamer serta pembeli dan agensi itu percaya Covid-19 akan menjejaskan kelancaran acara terbabit.

“Tarikh penganjuran bagi tahun depan akan ditentukan kemudian, bergantung kepada perkembangan pandemik tersebut.

“Langkah menangguhkannya ke 2021 juga membolehkan pempamer asing menyelaras strategi berikutan perubahan persekitaran yang berlaku,” katanya.

Sejak 16 tahun lepas, Mihas terbukti membina reputasi sebagai peneraju acara pameran halal di peringkat global menerusi kehadiran ramai penggiat industri dari serata dunia yang berhimpun bagi mengetengahkan produk serta perkhidmatan inovasi terbaharu.

Malah, acara itu juga menjadi tumpuan kalangan ahli akademik, pengamal serta pihak berkepentingan dalam sektor halal, kewangan Islam serta perniagaan berasaskan patuh Syariah.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Krisis perdagangan AS-China tak jejas penyertaan China dalam MIHAS 2019

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Penyertaan pempamer China dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) yang dijadualkan pada 3 hingga 6 April depan, tidak akan terjejas oleh perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang berterusan.

Sebaliknya, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata, wujud penambahan sebanyak 22 peserta China dalam acara terbabit, sehingga menjadikan China sebagai negara ketiga terbesar mengambil bahagian selepas Thailand (29 pempamer) dan Korea Selatan (26 pempamer).

“Pempamer China sentiasa menjadi antara peserta terbesar di MIHAS.

“Bukan semua mengenai perang perdagangan AS-China akan menjadi negatif. Ia boleh memberi impak positif serta membolehkan Malaysia menjadi alternatif kepada pengimport China yang terjejas akibat tarif 25 peratus yang dikenakan AS,” katanya dalam taklimat media mengenai MIHAS 2019 hari ini, lapor BERNAMA.

Wan Latiff berkata, kira-kira 1,000 pempamer dijangka menyertai edisi ke-16 MIHAS di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia pada tahun ini.

“Peneraju tempatan terdiri daripada 64 peratus, bakinya adalah peserta luar negara, kebanyakannya terbabit dalam sektor makanan dan minuman,” katanya.

Wan Latiff menegaskan bilangan pembeli Jepun yang akan menyertai sesi padanan perniagaan- Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) – yang berlangsung sempena MIHAS 2019, juga telah melonjak tiga kali ganda kepada 13 peserta berbanding hanya lima syarikat pada tahun lalu, menjelang Olimpik Tokyo 2020.

Beliau berasa teruja melihat peningkatan itu memandangkan MATRADE telah bekerjasama dengan rakan kongsinya di Jepun, Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO), selama beberapa tahun untuk mempromosikan industri halal.

Sementara itu, beliau menggesa peneraju industri halal tempatan untuk mengambil kesempatan daripada MIHAS 2019, yang digelar sebagai pameran perdagangan halal terbesar di dunia, bagi mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Katanya, pelbagai program, termasuk enam persidangan dan lebih daripada 35 seminar akan diadakan sempena acara terbabit. Ia merangkumi Forum Inovasi Halal oleh World Startup Festival, Persidangan Pelancongan Islam oleh Pusat Pelancongan Islam dan HalalTrip serta termasuk Hari Kerjaya Halal.

MIHAS 2019 dihoskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan dianjurkan oleh MATRADE.