Categories
SUKANKINI

Mehmet Durakovic puas julang Piala Malaysia buat kali kelima

SHAH ALAM, 28 OKT: Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic menjadi individu paling gembira apabila meraih kejuaraan Piala Malaysia buat kali kelima dalam kerjaya bola sepaknya, malam ini.

Jurulatih kelahiran Australia berusia 53 tahun itu, sebelum ini menjulang Piala Malaysia tiga kali berturut-turut pada edisi 1995, 1996 serta 1997 sebagai pemain, dan pada 2015 selaku ketua jurulatih Selangor.

Perak merangkul kejuaran Piala Malaysia buat kali kelapan selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 4-1 dalam penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 dalam aksi 120 minit, termasuk 30 minit masa tambahan di Stadium Shah Alam.

Sebelum ini, skuad Seladang memenangi Piala Malaysia pada 1926, 1931, 1957, 1967, 1970, 1998 dan 2000.

“Menjulang kejuaraan ini bersama Perak selepas beberapa tahun dan memenangi perlawanan ini setelah ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama, adalah sesuatu yang menakjubkan, dan bagi saya, aksi malam ini akan menjadi sejarah dalam bola sepak Malaysia,” katanya pada sidang media selepas perlawanan berkenaan.

“Stadium ini menyimpan banyak kenangan indah kepada saya dan keluarga kerana anak-anak saya membesar di sini, dan saya menganggap Malaysia sebagai rumah kedua,” kata Durakovic yang memuji semangat juang tinggi dipamerkan anak buahnya pada perlawanan malam ini.

Dalam pada itu, ketua jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim mengakui tuah tidak menyebelahi skuad Penyu dalam penentuan sepakan penalti, namun masih berbangga dengan aksi cemerlang ditampilkan kebanyakan pemainnya yang beraksi buat pertama kali dalam kapasiti penonton begitu ramai.

“Bagi saya, penentuan sepakan penalti itu umpama loteri dan elemen tuah tidak bersama kami. Kami kalah kepada Perak dalam perlawanan sahaja tapi menang dalam aspek lain dan saya puji aksi pemain saya pada malam ini,” katanya.

Irfan yang sah kekal bersama TFC pada musim depan mengakui hanya kapten pasukan, Brice Hermann Tchétché Kipré yang benar-benar berkesan di jentera serangan menerusi dua jaringan, walaupun beliau turut mengharapkan dua lagi pemain, Abdul Malik Mat Ariff dan K. Partiban untuk membantu skuad Penyu meraih lebih banyak gol.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Bekas jurulatih Selangor realisasi ‘Misi 33’ kini latih Perak?

SHAH ALAM 22 FEB: Bekas Jurulatih Selangor, Mehmet Durokovic dilaporkan BH Online kini sudah memulakan tugas mengendalikan skuad Perak.

Walaupun setakat ini belum ada sebarang pengumuman rasmi dari Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) tetapi penggantinya, bekas jurulatih Selangor, Mehmet Durokovic sudah memulakan tugas mengendalikan skuad Perak.

Dilaporkan Durokovic sudah mula mengendalikan latihan pasukan di padang PERNAMA hari ini.

Jurulatih yang menjulang Selangor merangkul gelaran ke-33 Piala Malaysia pada 2015 itu bagaimanapun enggan memberikan sebarang ulasan dan hanya berkata “maaf saya tidak boleh komen.”

Pertukaran mengejut jurulatih skuad The Bos Gaurus itu nyata mengejutkan banyak pihak terutama peminat yang hadir menyaksikan latihan pasukan kerana sehingga petang semalam, Weigang dilihat masih mengendalikan sesi berkenaan.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Mehmet bakal kembali terajui Red Giants?

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 OGOS: Kehadiran Mehmet Durakovic menyaksikan perlawanan suku akhir pertama TM Piala Malaysia di Stadium Shah Alam mencetuskan persoalan sama ada beliau bakal kembali menerajui The Red Giants musim hadapan.

Beliau yang hadir berbaju kemeja merah bersama anaknya dan seorang teman dilihat tenang memberikan tumpuan kepada perlawanan antara Selangor PKNS FC dan Selangor semalam.

Pengendali berusia 51 tahun itu merupakan antara nama yang meniti dibibir penyokong Selangor sebagai calon jurulatih selepas Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menamatkan kontrak Zainal Abidin Hassan susulan kemerosotan prestasi The Red Giants khususnya dalam saingan Liga Super.

Bekas pengendali Selangor yang berasal daripada Yugoslavia (Montenegro) itu memainkan watak penting pada musim 2015 apabila The Red Giants berjaya menjulang Piala Malaysia buat kali ke-33.

Selain menjadi jurulatih, Mehmet juga pernah menyarung jersi Selangor pada tahun 1995 hingga 1998 dengan 82 penampilan dan turut menjaringkan tiga gol.

EZY

Categories
SELANGOR

Selangor menang perlawanan persahabatan atasi ATM, permulaan baik

Oleh: Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 2 JAN: Skuad Liga Super Selangor berjaya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan persahabatan di Stadium Mini TUDM, Subang, pada 30 Dis lepas.

Ia aksi persahabatan sulung skuad kendalian Mehmet Durakovic itu di tanah air selepas mencatat dua kemenangan 4-0 dan 3-0 ke atas South Melbourne pada siri latihan pra musim di Melbourne, Australia awal bulan ini.

SelangorSelangor mendahului 1-0 pada minit ke-30 selepas rembatan jarak jauh pemain import dari Brazil, Juninho atau nama sebenarnya, Junior Aparecido Guimaro de Souza gagal diselamatkan penjaga gol ATM, Syed Adney Syed Hussein.

Menuju waktu rehat, Selangor dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-43 selepas penyerang import dari Brazil, Paulo Rangel dijatuhkan dan bekas pemain Perak musim lalu itu sendiri mudah menyudahkannya untuk menewaskan Adney.

Bersambung separuh masa kedua, Durakovic mula melakukan pertukaran demi pertukaran bagi menguji para pemainnya.

Selepas kapten Selangor, Bunyamin Umar dikeluarkan pada minit ke-60, lilitan lengan diberikan kepada pemain tengah, K Gurusamy.

ATM kendalian B Sathianathan akhirnya berjaya memecah kebuntuan selepas Marlon Alex James menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-85 menewaskan penjaga gol gantian Selangor, Hamsani Ahmad untuk kedudukan 2-1.

Perlawanan turut menyaksikan dua bekas penyerang Harimau Muda A, Hazwan Bakri dan A Thamil Arasu melakukan penampilan sulung bersama Selangor selepas sehari mula menyertai sesi latihan pasukan.

Seorang lagi pemain import Selangor, Andik Vermansyah dari Indonesia pula dijangka mula menjalani latihan bersama rakan sepasukan lain, Jumaat ini.

Mehmet“Saya cukup gembira dengan kemenangan ke atas ATM ini. Para pemain beraksi mengikut arahan. Kami cuba bermain dengan corak permainan kami, melakukan hantaran dan pergerakan cukup baik. Setakat hari ini, saya gembira dengan prestasi semua pemain.

“Untuk 45 minit pertama, saya cukup gembira dengan apa yang mereka persembahkan. Tapi pada separuh masa kedua, saya melakukan banyak pertukaran untuk beri peluang kepada semua pemain. Namun secara keseluruhan, ia tetap memuaskan,” kata Durokovic.

Katanya, memandangkan Selangor perlu mengharungi banyak perlawanan musim 2014 ini termasuk perlawanan Liga Super dan Piala AFC, semestinya kalau boleh saya nak lebih ramai pemain.

“Tapi apa boleh buat, ini yang kita ada dan kita kena buat dengan apa yang kita ada ini. Beraksi sebaik yang boleh secara bersama. Cuma saya harap tiada banyak kecederaan yang boleh mengganggu perjalanan pasukan.

“Mengenai Hazwan dan Thamil, mereka berdua baru sehari bersama pasukan. Jadi saya beri mereka bermain lima ke sepuluh minit untuk memberikan mereka aksi. Setakat ini, nampak memuaskan,” katanya dipetik dari laman Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

EZY