Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PBT SELANGOR

Struktur menara telekomunikasi disita akibat pemilik abai notis awal

SHAH ALAM, 2 MAC: Angkara mengambil mudah notis yang dikeluarkan pihak berkuasa, bahan binaan struktur menara telekomunikasi milik syarikat swasta disita Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

Yang Dipertuanya berkata bahan binaan itu diletakkan di tempat awam di Kampung Asam Kumbang, Kuala Kubu Bharu tanpa kebenaran.

“Dalam operasi yang dijalankan di lokasi itu semalam, kita dapati syarikat terbabit masih tidak mengalihkan bahan binaan terbabit, walaupun notis awal sudah dikeluarkan pada 14 Januari lalu.

“Tindakan menyita terpaksa dilakukan kerana mereka gagal mematuhi notis terbabit,” kata  Mohd Hasry Nor Mohd dalam kenyataan hari ini.

Katanya, operasi pemindahan itu dijalankan mengikut Seksyen 46(3) Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 oleh kakitangan jabatan bangunan, penguatkuasa dan panel kontraktor.

Beliau berkata, kesemua barang yang disita dibawa ke depoh penguatkuasa untuk tindakan selanjutnya.

“MPHS tidak bertanggungjawab ke atas sebarang kerosakan atau kehilangan mana-mana barang yang disita,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Menara pemancar setinggi 30 meter tumbang akibat ribut, hempap kabin surau

IPOH, 21 FEB: Sekumpulan jemaah yang sedang menunaikan solat asar di Surau Diri Jumaat Al-Ansar di kawasan perumahan Seri Palma, Bandar Seri Botani di sini gempar apabila mendengar bunyi dentuman yang diiringi guruh dalam kejadian ribut semalam.

Semsudin Abu Baker, 71, berkata mereka bagaimanapun tetap meneruskan solat ketika mendengar bunyi itu yang terhasil akibat runtuhan menara telekomunikasi pada 4.47 petang.

“Seusai solat, kami meninjau tempat di mana bunyi dentuman itu kedengaran dan melihat sebuah menara stesen pemancar rangkaian telekomunikasi setinggi 30 meter tumbang serta menghempap kabin yang terletak di belakang surau hingga musnah.

“Syukurlah kabin yang digunakan sebagai premis penginapan siak itu tidak berpenghuni sewaktu kejadian berlaku,” katanya kepada pemberita di lokasi terbabit hari ini.

Sementara itu, pengerusi surau Mohd Fadzli Ahmad berkata beliau bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dalam insiden itu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak Khairul Shahril Mohamed pula berkata pemilik menara itu Prosontech Sdn Bhd (Prosontech) akan menguruskan ganti rugi kerosakan kepada pihak surau.

Beliau berkata sebagai penyelesaian jangka pendek, stesen pangkalan mudah alih akan digunakan untuk menyediakan liputan rangkaian selular sementara di lokasi terbabit.

“Kira-Kira 1,000 pengguna perkhidmatan Digi Telecommunications Sdn Bhd dijangka mengalami kekurangan kapasiti ketika ini, jadi mereka diharap bersabar kerana keadaan akan kembali pulih selewat-lewatnya Jumaat ini.

“Pada asasnya, tiada gangguan teruk kerana terdapat menara telekomunikasi lain yang berhampiran namun menara sementara akan disediakan bagi memastikan kualiti rangkaian,” katanya.

Khairul Shahril juga berkata Prosontech akan menggantikan struktur runtuhan dengan segera selepas mengemukakan pelan perancangan dan reka bentuk menara baharu mengikut spesifikasi yang dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.

— BERNAMA