Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PBT SELANGOR

MPHS: 4,807 premis tiada lesen di Hulu Selangor berdepan tindakan

SHAH ALAM, 3 MAC: Sebanyak lima jabatan di bawah Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) diberi tanggungjawab untuk memantau premis haram di Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung.

Yang dipertuanya berkata lima jabatan terbabit adalah Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Perancang Bandar, Jabatan Bangunan, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta serta Jabatan Pelesenan.

“Baru-baru ini, MPHS menubuhkan pasukan petugas operasi pematuhan perniagaan bagi memantau premis perniagaan dan perindustrian beroperasi tanpa lesen termasuk bangunan kosong di lokasi itu.

“Berdasarkan rekod, ada 4,807 premis yang disyaki tidak memiliki lesen perniagaan iaitu 2,259 di Bukit Sentosa dan 2,548 (Bukit Beruntung),” kata Mohd Hasry Nor Mohd dalam kenyataan.

Katanya, pasukan diberi kuasa untuk bertindak sekiranya pemilik premis tiada lesen perniagaan dan menggaji pekerja warga asing.

“Pemilik yang membuat pengubahsuaian bangunan dan meletak barang di kaki lima premis termasuk menternak burung walit tanpa kebenaran juga boleh dikenakan tindakan,” katanya.

Fasa pertama operasi itu bermula pada 22 Februari lalu di Bukit Sentosa antaranya di Jalan Telipot, Jalan Seroja, Seri Pagi, Kamunting, Persiaran Bunga Raya dan Jalan Ros.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PBT SELANGOR

Struktur menara telekomunikasi disita akibat pemilik abai notis awal

SHAH ALAM, 2 MAC: Angkara mengambil mudah notis yang dikeluarkan pihak berkuasa, bahan binaan struktur menara telekomunikasi milik syarikat swasta disita Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

Yang Dipertuanya berkata bahan binaan itu diletakkan di tempat awam di Kampung Asam Kumbang, Kuala Kubu Bharu tanpa kebenaran.

“Dalam operasi yang dijalankan di lokasi itu semalam, kita dapati syarikat terbabit masih tidak mengalihkan bahan binaan terbabit, walaupun notis awal sudah dikeluarkan pada 14 Januari lalu.

“Tindakan menyita terpaksa dilakukan kerana mereka gagal mematuhi notis terbabit,” kata  Mohd Hasry Nor Mohd dalam kenyataan hari ini.

Katanya, operasi pemindahan itu dijalankan mengikut Seksyen 46(3) Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 oleh kakitangan jabatan bangunan, penguatkuasa dan panel kontraktor.

Beliau berkata, kesemua barang yang disita dibawa ke depoh penguatkuasa untuk tindakan selanjutnya.

“MPHS tidak bertanggungjawab ke atas sebarang kerosakan atau kehilangan mana-mana barang yang disita,” katanya.

 

Categories
PBT SELANGOR

Hulu Selangor bandar mampan dan berdaya huni menjelang 2035

SHAH ALAM, 21 OKT: Enam inisiatif utama digariskan untuk menjadikan Hulu Selangor sebagai bandar mampan dan berdaya huni menjelang 2035.

Usaha merangkumi pengekalan sumber semulajadi warisan dalam aktiviti perindustrian, pertanian dan pelancongan, kata yang dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

Mohd Hasry Nor Mohd menjelaskan persekitaran komuniti lestari juga diberi penekanan melalui penyediaan kemudahan asas mencukupi selain memulihara kawasan pembangunan terbiar.

“Selain itu, penerapan konsep pembangunan pintar seperti ekonomi pintar, persekitaran pintar, rakyat pintar, kehidupan pintar, mobiliti pintar dan pentadbiran pintar selaras aspirasi Selangor negeri pintar,” katanya.

Beliau bercakap sempena majlis menjunjung titah Duli Yang Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bagi pengisytiharan Majlis Daerah Hulu Selangor sebagai perbandaran hari ini.

Inisiatif keempat kata Mohd Hasry menumpukan sistem perhubungan jalan raya dan infrastruktur bagi memudahkan aktiviti berkaitan logistik selain utiliti menyokong pembangunan revolusi industri 4.0 serta pertanian bernilai tinggi.

Menurutnya, tawaran pakej pelaburan menarik pula bakal menyediakan perkhidmatan mesra pelabur bagi menjana ekonomi yang mampu membuka peluang pekerjaan.

“Inisiatif pembangunan modal insan efektif dan berdaya saing bagi menerapkan budaya inovasi termasuk keusahawanan, memajukan diri, meningkatkan kemahiran, menambah ilmu serta mempunyai tadbir urus efisien,” katanya.