Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MBI agih bantuan makanan kepada penduduk DUN Sungai Air Tawar

SABAK BERNAM, 17 SEPT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI mengagihkan 250 bantuan makanan kepada penduduk terkesan akibat pandemik Covid-19 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar hari ini.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor berkata sumbangan bakul makanan itu diberikan melalui ketua-ketua kampung sebelum diagih kepada penduduk.

“Setakat ini lebih RM800,000 diperuntuk untuk bantuan bakul makanan sejak Januari dengan kerjasama parlimen, DUN dan badan bukan kerajaan.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor

“Bantuan diberikan tidak terhad kepada bakul makanan sahaja tetapi makanan basah seperti ayam, ikan dan daging. Menerusi cara ini kita dapat membantu rakyat ketika pandemik, malah sehingga kini MBI masih terima banyak permohonan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan bakul makanan MBI di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Air Tawar, Sabak Bernam.

Sementara itu, Ahmad Azri memaklumkan sejumlah RM300,000 telah diperuntuk untuk baucar barangan runcit diagih bersama 150 ahli majlis.

“Sumbangan ini masih diteruskan dan buat masa ini seramai 6,000 individu menerima manfaat baucar bagi fasa satu dan dua,” katanya.

Pada 12 Julai, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memberi jaminan agihan bekalan bakul makanan diserahkan kepada penduduk yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak lebih daripada 48 jam.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MBI belanja RM500,000 agih bakul makanan, baucar barangan runcit

SHAH ALAM, 9 JULAI: Sejumlah RM500,000 dibelanjakan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bagi membantu keluarga terkesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) berkata daripada jumlah itu, RM350,000 untuk edaran bakul makanan manakala selebihnya bagi baucar barangan runcit bernilai RM50 yang memanfaatkan 10,000 keluarga.

“Banyak permohonan diterima daripada badan bukan kerajaan (NGO), persatuan penduduk dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang mahu melaksanakan program pemberian bakul makanan di kawasan masing-masing dengan hampir kesemuanya diluluskan.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI, Ahmad Azri Zainal Nor bercakap kepada media selepas Penyerahan Bantuan Kerusi Roda Istimewa kepada Nur Imaylia Zara Abdul Khaliq yang disahkan mengalami masalah metachromatic leukodystrophy (penyakit saraf) di Seksyen 13, Shah Alam pada 14 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Selain itu, kita bekerjasama dengan 60 ahli majlis di setiap pihak berkuasa tempatan iaitu memberikan 50 keping baucar KK Mart untuk diagih kepada penduduk,” kata Ahmad Azri Zainal Nor dalam temu bual secara maya hari ini.

Susulan sambutan menggalakkan, Ahmad Azri turut bercadang meneruskan sumbangan fasa kedua kepada golongan terjejas Covid-19 melalui pemberian baucar dengan kerjasama pasar raya Speed Mart.

Beliau juga mempelawa mana-mana NGO atau persatuan penduduk yang berhasrat menjalankan aktiviti kebajikan di kawasan masing-masing untuk mengemukakan permohonan sumbangan di [email protected].