Categories
AGENSI SELANGOR

Team Selangor peruntuk RM110,000 edar 2,000 bakul makanan

SHAH ALAM, 13 NOV: Sebanyak 2,000 bakul makanan diedar Sukarelawan Team Selangor kepada golongan memerlukan di 20 Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak Ogos hingga Oktober lalu.

Ketua Sekretariatnya Syahaizel Keman berkata sumbangan RM110,000 diperuntukkan bagi tujuan itu dengan setiap satu pek bernilai RM55.

“Setiap pek mengandungi beras lima kilogram, sardin, biskut, kicap, mee segera dan baucar kedai serbaneka 99 Speedmart RM30.

“Pemberian baucar ini bagi memudahkan setiap penerima membeli sendiri barangan diperlukan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata pihaknya juga menyasarkan 3,000 bakul makanan untuk diedar sehingga penghujung bulan ini.

Pada 24 Oktober lalu sebanyak 600 bakul makanan diedar oleh Sukarelawan Team Selangor kepada isi rumah yang terkesan Covid-19 di enam DUN.

Syahaizel berkata DUN berkenaan ialah Ijok, Jeram, Permatang, Sungai Panjang, Sekinchan dan Bukit Melawati.

 

Categories
ADN SELANGOR

350 keluarga India di Balakong terima bakul makanan sempena Deepavali

KAJANG, 26 OKT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong membelanjakan RM52,500 untuk edaran bakul makanan kepada masyarakat India sempena Deepavali awal November ini.

Wakil rakyatnya berkata bantuan beras, tepung gandum, minyak masak, gula, telur, biskut dan bahan masakan makanan tradisional India memanfaatkan 350 keluarga berpendapatan rendah (B40).

“Pek bernilai RM150 setiap satu mula diagih hari ini dan dijangka selesai dalam tempoh tiga hari. Diharap bantuan ini dapat meringankan beban sekali gus memberi keceriaan kepada mereka dalam menyambut Deepavali,” kata Wong Siew Kii.

Beliau berkata demikian pada program penyerahan kad modul pengenalan pelanggan (SIM) percuma tajaan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kepada 46 penerima di pusat khidmat masyarakatnya di sini hari ini.

Siew Kii turut menasihati penganut Hindu negeri ini agar mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) semasa merayakan sambutan berkenaan bagi mengelak jangkitan Covid-19.

“Di sebalik kegembiraan menyambut pesta cahaya, jangan sesekali kita abai SOP kerana wabak masih ada di sekeliling. Kita perlu bersama-sama jaga keselamatan diri dan keluarga,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat terus agih bantuan makanan kepada penduduk Banting

BANTING, 26 OKT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Banting masih menggerakkan bantuan bakul makanan kepada penduduk terjejas akibat Covid-19.

Wakil rakyatnya berkata buat masa ini pihaknya sudah mengagihkan lebih 1,000 bakul makanan kepada penduduk sejak awal tahun ini.

“Bantuan diagihkan kepada golongan berkaitan tidak hanya fokus kepada barangan itu tetapi peralatan pembelajaran juga diberikan.

“Setakat ini kita sudah membelanjakan lebih RM3,000 untuk membeli peralatan antaranya buku, pensel dan pembaris,” kata Lau Weng San.

Terdahulu, beliau menyerahkan kad modul pengenalan pelanggan (SIM) percuma dilengkapi data internet 15 gigabit (GB) kepada 77 penerima yang layak di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Banting di sini hari ini.

Dalam pada itu, Weng San memaklumkan pihaknya turut mengagih lebih 50 peranti untuk kelengkapan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Agihan peranti seperti gajet dan komputer riba adalah sumbangan individu, PKM, Penggerak Belia Selangor, ahli majlis dan peruntukan sendiri.

“Selain memberi peranti baharu kita juga memperbaiki kelengkapan pembelajaran penduduk yang masih boleh digunakan. Kita menghargai ibu bapa yang mementingkan pendidikan anak-anak walaupun ekonomi terjejas akibat pandemik,”katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB serah bantuan makanan, ringan beban masyarakat Orang Asli

GOMBAK, 17 OKT: Dato’ Menteri Besar hari ini menyerahkan sejumlah 430 bakul makanan kepada masyarakat Orang Asli di sini yang terbeban dengan pandemik Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program Satu Keluarga Satu Bakul Makanan itu adalah kesinambungan daripada program seliaan EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian.

“Saya hanya menyampaikan dan ini merupakan program pusingan ketiga kita agihkan kepada masyarakat Orang Asli.

“Sumbangan ini bagi memastikan penduduk tidak terbeban dan tidak terputus bekalan makanan terutama dalam situasi Covid-19,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama penduduk selepas program bersama Masyarakat Orang Asal di Dewan Pejabat JKOA Gombak, Gombak pada 17 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Kampung Orang Asli Batu 12 pada Program Jelajah Prihatin Dato’ Menteri Besar ke Perkampungan Orang Asli Gombak di sini hari ini.

Amirudin turut meluangkan masa beramah mesra bersama masyarakat Orang Asli dan melihat hasil kraftangan penduduk di situ.

Sebelum ini Loy Sian berkata sebanyak 6,000 bakul makanan diedar secara berperingkat kepada keluarga Orang Asli yang terkesan akibat Covid-19 di seluruh negeri.

Agihan itu dibuat dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Malaysian Chamber of Commerce in Hong Kong and Macau dan Persatuan Pembangunan Orang Asli Malaysia membabitkan peruntukan RM450,000 meliputi beras, gula, garam dan minyak masak.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MBI agih bantuan makanan kepada penduduk DUN Sungai Air Tawar

SABAK BERNAM, 17 SEPT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI mengagihkan 250 bantuan makanan kepada penduduk terkesan akibat pandemik Covid-19 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar hari ini.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor berkata sumbangan bakul makanan itu diberikan melalui ketua-ketua kampung sebelum diagih kepada penduduk.

“Setakat ini lebih RM800,000 diperuntuk untuk bantuan bakul makanan sejak Januari dengan kerjasama parlimen, DUN dan badan bukan kerajaan.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor

“Bantuan diberikan tidak terhad kepada bakul makanan sahaja tetapi makanan basah seperti ayam, ikan dan daging. Menerusi cara ini kita dapat membantu rakyat ketika pandemik, malah sehingga kini MBI masih terima banyak permohonan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan bakul makanan MBI di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Air Tawar, Sabak Bernam.

Sementara itu, Ahmad Azri memaklumkan sejumlah RM300,000 telah diperuntuk untuk baucar barangan runcit diagih bersama 150 ahli majlis.

“Sumbangan ini masih diteruskan dan buat masa ini seramai 6,000 individu menerima manfaat baucar bagi fasa satu dan dua,” katanya.

Pada 12 Julai, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memberi jaminan agihan bekalan bakul makanan diserahkan kepada penduduk yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak lebih daripada 48 jam.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bantuan makanan ringan beban pemandu teksi menjelang Ramadan

SEPANG, 8 APRIL: Kesan penularan Covid-19 menyebabkan pemandu teksi yang berpendapatan RM250 sehari, kini hanya memperoleh sekitar RM50.

Mohamad Salim Bawok, 61, berkata pendapatannya tidak menentu apatah lagi ketika memasuki Ramadan kerana masanya diluangkan untuk beribadat.

Mohamad Salim Bawok

“Terima kasih kepada pemberi bantuan iaitu Kerajaan Negeri Selangor yang begitu prihatin ia secara tidak langsung membantu meringankan sedikit beban menjelang puasa.

“Ini kali pertama saya dibantu sejak Covid-19, bukan saya yang memohon tetapi mereka sendiri menghubungi saya untuk memberikan bantuan pada hari ini (semalam),” katanya.

Mohamad Salim adalah antara 131 pemandu teksi dan bas sekolah di Sepang yang menerima bantuan bakul makanan disampaikan EXCO Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail semalam.

Seorang lagi pemandu teksi, S Subramaniam, 63, berharap Kerajaan Selangor dapat meneruskan program berkenaan pada masa depan kerana situasi yang dihadapi mereka sangat menyedihkan.

S Subramaniam

Jelasnya, sebelum pandemik melanda, beliau tidak menghadapi masalah khususnya membabitkan komitmen bulanan, namun kini anak-anak membantunya menyelesaikan hutang.

“Covid-19, persaingan Grab menyebabkan saya hanya mendapat RM300 sahaja sebulan. Saya berharap kerajaan dapat teruskan program ini, jika dapat beri baucar untuk kami beli sendiri pun sudah mencukupi,” katanya.