Categories
NASIONAL

IGP Digesa Dedah Hasil Siasatan Dakwat Kekal

pengundi jari dakwat port klang 01

KUALA LUMPUR 11 JULAI : Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar didesak supaya segera mendedahkan hasil siasatan polis terhadap laporan dakwat kekal yang tidak kekal semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Sehingga 3 Jun lalu, polis menerima 1,469 aduan berkaitan dakwat kekal di seluruh negara.

Sehubungan itu, MP Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, Khalid perlu mengumumkan hasil siasatan kepada umum dan tindakan yang seharusnya diambil.

“Persoalan asas yang saya ingin bangkitkan, oleh kerana laporan itu banyak, saya nak tanya pada IGP, dengan ‘volume’ yang besar ini, apakah tidak ada hasil siasatan yang dilakukan,” soal Ketua AMK itu.

Sebelum ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim mendedahkan di Sidang Dewan Rakyat bahawa kos untuk dakwat kekal pada PRU-13 lalu sebanyak RM 7.1 juta.

Kos berkenaan meningkat sebanyak tiga kali ganda berbanding PRU-12 pada 2008 lalu.

Dalam pada itu, Shamsul Iskandar mendakwa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berdolak dalih dan menafikan bahawa tiada gangguan dilakukan polis terhadap orang ramai yang ingin membuat laporan berkenaan dakwat kekal di balai polis.

Shamsul berkata, Zahid menyatakan polis tidak menerima sebarang maklumat berkenaan gangguan.

Walhal pelbagai media sudah mendedahkan bagaimana orang ramai terpaksa menjalani prosedur berbeza ketika ingin membuat laporan polis berkenaan dakwat itu.

Categories
NASIONAL

Apa Sahaja Yang Dibeli Kerajaan Malaysia Akan Lebih Mahal

anthony-&-hatta

KUALA LUMPUR 27JUN: Peningkatan kos pembelian ‘dakwat kekal yang tidak kekal’ bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu didakwa meningkat tiga kali ganda daripada kos yang dikeluarkan pada pilihan raya sebelumnya iaitu sebanyak RM7.1juta.

Pada Pilihan Raya Umum Ke 12 (PRU-12) tahun 2008 lalu, jumlah kos yang digunakan untuk pembelian dakwat kekal oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah sebanyak RM2.4 juta walaupun dakwat kekal itu dimusnahkan selepas tidak dibenarkan oleh kerajaan beberapa hari sebelum pilihanraya berlangsung.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke berkata, jumlah pengundi pada 2008 adalah sebanyak 10.9 juta orang manakala pengundi pada 2013 adalah sebanyak 13.2 juta orang dan ia melibatkan pertambahan hampir 20 peratus sahaja.

Menurutnya, pertambahan pengundi sebanyak 20 peratus menyebabkan peningkatan kos dakwat kekal sebanyak tiga kali ganda adalah sangat mengejutkan.

“Saya amat terkilan dengan jawapan dari SPR melalui Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim semalam yang mendedahkan jumlah kos untuk penggunaan dakwat kekal dalam PRU-13 adalah sebanyak RM7.1 juta,” katanya dalam satu sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau mempersoalkan kos pembelian sangat tinggi oleh Kerajaan Pusat untuk membeli sesuatu barangan.

Sebagai contoh, Kerajaan India menyumbangkan 40,000 botol dakwat kekal kepada Cambodia bagi tujuan pilihan raya dengan kos RM2.8 juta (US$877,800) pada 19 Jun lalu.

“Mengapa perbezaan kos ini begitu ketara dan apa sahaja yang dibeli oleh Kerajaan Malaysia sentiasa lebih mahal?.

“Semuanya lebih mahal, kereta perisai lebih mahal, kapal selam pun lebih mahal,” soalnya lagi.

Dalam pada itu, beliau menggesa Kerajaan Pusat mengambil tindakan undang-undang terhadap pembekal dakwat berkenaan yang gagal mematuhi spesifikasi ditetapkan.

Bagaimanapun, pembekal dakwat berkenaan dilindungi oleh SPR yang merahsiakan maklumat syarikat tersebut atas sebab keselamatan.

Menurut Anthony, tiada sebab maklumat pembekal dakwat berkenaan dirahsiakan kerana PRU-13 sudah berakhir.