Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: 47 maut di tiga negeri, lima masih hilang

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Polis Diraja Malaysia mengesahkan seramai 47 orang menjadi mangsa korban banjir seluruh negara sehingga kini dan lima lagi masih hilang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata Selangor kekal dengan 25 mangsa manakala Pahang seramai 19 mangsa dan di Kelantan tiga mangsa.

“Mangsa di Selangor melibatkan 17 lelaki dan lapan wanita dan di Pahang melibatkan 13 lelaki dan empat wanita serta dua kanak-kanak lelaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, di Kelantan melibatkan dua lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rentas negeri: Surat Miti tidak diterima mulai 18 hingga 21 Julai

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Polis Diraja Malaysia tidak menerima dokumen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), sebagai kelulusan pergerakan yang sah bagi tempoh empat hari mulai 18 hingga 21 Julai ini, untuk pergerakan rentas negeri.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ini susulan pihaknya mengesan peningkatan bilangan kenderaan di lebuh raya untuk tempoh dua hari, kebelakangan ini.

“Semua sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri diarahkan untuk meningkatkan penguatkuasaan, dan tidak menerima dokumen MITI sebagai kelulusan pergerakan yang sah.

“Ini bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab, daripada menyalahgunakan surat kebenaran MITI sebagai kelulusan merentas negeri, untuk sambutan Hari Raya Aidiladha,” katanya dalam kenyataan malam tadi

Bagaimanapun, Acryl Sani berkata larangan tersebut tidak terpakai bagi urusan kecemasan dengan kebenaran polis, serta urusan kesihatan termasuk vaksinasi.

Jelasnya lagi, mana-mana pihak yang didapati melanggar larangan ini, akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi dan masyarakat turut dinasihatkan untuk bersama memainkan peranan dalam melandaikan lengkuk jangkitan wabak Covid-19.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Acryl Sani dilantik ketua polis negara baharu, kuat kuasa 4 Mei

PUTRAJAYA, 30 APRIL: Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai Ketua Polis Negara baharu berkuat kuasa 4 Mei ini.

Pelantikan Acryl Sani sebagai Ketua Polis Negara ke-13 adalah bagi menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador yang tamat kontrak pada 3 Mei ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pelantikan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas menerima nasihat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

“Saya nak maklumkan setelah proses dilakukan SPP dan dipersetujui oleh semua ahli Suruhanjaya. Semua setuju Acryl Sani diangkat sebagai Ketua Polis Negara yang baharu termasuk Tan Sri Abdul Hamid Bador,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan surat pelantikan Ketua Polis Negara kepada Acryl Sani di sini hari ini.

Hamzah berkata pelantikan Acryl Sani sebagai Ketua Polis Negara adalah sehingga 3 Oktober 2021 iaitu sehingga tempoh perkhidmatannya dalam polis tamat.

Beliau yang dilahirkan pada 3 Oktober 1961 di Petaling Jaya, Selangor itu berkelulusan Sarjana Sains (Pengurusan) dari Universiti Utara Malaysia dan menyertai Polis Diraja Malaysia pada 2 Februari 1986 sebagai Kadet Assistant Superintendent of Police (ASP).

Acryl Sani telah memegang pelbagai jawatan di peringkat daerah, negeri dan Ibu Pejabat Bukit Aman sepanjang perkhidmatan dalam pasukan beruniform itu.

Antara jawatan yang pernah disandangnya adalah Pesuruhjaya Polis Sarawak, Ketua Polis Perak, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil serta Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Padah ingkar SOP, lebih 300 individu didenda RM10,000

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Sebanyak 330 notis kompaun RM10,000 telah dikeluarkan kepada individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara setakat ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

“Ya, 330 individu untuk notis kompaun pesalah SOP PKP,” katanya ringkas ketika dihubungi.

Semalam, Abdul Hamid berkata nilai kompaun kerana melanggar SOP PKP dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM10,000 dan langkah itu berikutan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan mulai 11 Mac.

Abdul Hamid berkata keputusan menaikkan nilai kompaun itu bukanlah untuk menghukum orang ramai secara berlebihan atau membolehkan kerajaan mengutip wang daripada orang ramai sebaliknya untuk individu yang mengulangi kesalahan SOP PKP sama.

Antara kesalahan SOP PKP adalah seperti tidak memakai pelitup muka, tiada penjarakan fizikal atau premis tidak menyediakan alat pengukur suhu.

Sementara itu, seorang individu dikenakan kompaun RM10,000 selepas melakukan kesalahan tidak mendaftarkan diri menggunakan aplikasi MySejahtera ketika berada di sebuah kedai makan di Bukit Jalil, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata pemeriksaan mendapati individu terbabit juga tidak mendaftar diri dalam buku daftar disediakan pekedai sehingga tindakan kompaun dikenakan mengikut peruntukan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

“Kompaun itu dikeluarkan semasa pasukan pematuhan SOP PKP membuat pemeriksaan di lokasi berkenaan pada 6.55 petang.

“Ingin ditegaskan (dakwaan) kononnya individu dikompaun itu telah mendaftar diri melalui mana-mana saluran, aplikasi atau mendaftar diri di dalam buku daftar yang disediakan oleh pekedai adalah tidak benar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial seorang individu dikenakan kompaun susulan tidak mendaftar diri menerusi aplikasi MySejahtera dalam tempoh pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB).

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Naikkan elaun rumah, ringankan kos sara hidup – KPN

KUALA LUMPUR 18 JULAI: Polis memohon kerajaan menaikkan elaun perumahan anggota pasukan keselamatan itu untuk membantu meringankan beban yang dipikul mereka susulan peningkatan kos sara hidup.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata keutamaan harus diberikan kepada anggota berpangkat rendah kerana golongan itu dilihat lebih banyak berdepan kesukaran.

Beliau berkata kerajaan perlu mempertimbangkan isu ini kerana terdapat anggota pasukan keselamatan itu yang sering mengadu terpaksa membayar sewa rumah tinggi terutama mereka yang tinggal di bandar besar dan elaun yang diberikan ketika ini tidak mencukupi.

“Saya selalu meperjuangkan elaun rumah untuk anggota. Saya bukan mahu kenaikan gaji akan tetapi elaun rumah terutama bagi anggota polis yang berpangkat rendah.

“Kalau mereka bergaji RM1,500 manakala rumah sewanya dibayar sebanyak RM600 dengan elaun yang hanya dapat RM260, jadi ia perlu ditambah lebih RM300 lagi,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman di sini.

Abdul Hamid berkata beliau memperjuangkan isu kenaikan elaun perumahan sejak Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi dilantik menjadi Perdana Menteri pada 2018.

Katanya disebabkan pemberian elaun perumahan yang rendah itu juga, beliau sering mempertahan dan melarang penjualan tanah milik polis kepada syarikat swasta yang ingin mengambil kesempatan kononnya mahu membangunkan kawasan tersebut.

Beliau berkata tanah milik polis harus dibangunkan pasukan keselamatan itu sendiri dan bukannya pihak lain.

“Katakanlah 10 tahun akan datang, kita ada 30,000 warga polis di sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur. Jadi sebanyak 30,000 rumah boleh dibina untuk menempatkan mereka.

“Sekurang-kurangnya mereka ini ada rumah dan tak perlu elaun bulanan RM360. Saya akan perjuangkan isu ini demi menjaga kebajikan anak buah saya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anggota, pegawai diberi amaran jangan dedah laporan polis – KPN

KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Pegawai dan anggota polis diberi amaran supaya tidak mendedahkan atau berkongsi laporan siasatan pasukan keselamatan itu kepada umum atau di media sosial kerana mereka boleh disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata tindakan mendedahkan laporan polis merupakan satu kesalahan kerana maklumat tersebut diklasifikasikan sebagai sulit dan terhad.

“Banyak laporan polis melibatkan pelbagai kes dikongsi di media sosial sehingga menjadi tular. Sekiranya saya dapat tahu pegawai atau anggota polis berbuat demikian, saya akan terus ambil tindakan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

“Sebagai contoh, jika mangsa membuat laporan polis melibatkan jenayah seksual dan mangsa terlibat menceritakan apa terjadi kepadanya, (kemudian) anggota ditugaskan menulis laporan itu mendedahkan melalui WhatsApp sehingga sampai ke pengetahuan pihak media, ia tindakan tidak bertanggungjawab,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman, baru-baru ini.

Abdul Hamid berkata tindakan mendedahkan maklumat mangsa atau pengadu boleh memalukan individu tersebut sedangkan laporan polis diklasifikasikan sebagai sulit dan tidak boleh dihebahkan kepada umum.

Menurutnya, jika mana-mana pegawai dan anggota didapati melakukan perbuatan sedemikian, mereka boleh dikenakan tindakan tataterbib termasuk digantung tugas.

Beliau berkata laporan polis hanya boleh dikongsi oleh pegawai polis yang dipertanggungjawab sahaja untuk rujukan kes tertentu, dan anggota yang tidak terlibat dilarang berbuat demikian.

“Namun, terdapat satu laporan polis yang menjadi tular di media sosial, dan apabila saya semak dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (Datuk Huzir Mohamed), saya tanya beliau kes ini di mana dan bagaimana boleh tersebar?

“Beliau (Datuk Huzir) berkata mangsa sendiri yang mendedahkan laporan polis di media sosial. Bagi saya perbuatan mangsa membuka aib dan memalukan diri sendiri,” katanya.

Abdul Hamid berkata walaupun mangsa sendiri yang mendedahkan laporan polis kepada umum, ia tetap menjadi satu kesalahan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan tumpu kawasan orang ramai – KPN

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan yang ditubuhkan oleh polis ditempatkan di kawasan tumpuan ramai seperti premis makanan, stesen bas dan pasar raya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata tugas mereka adalah memastikan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa semalam dipatuhi.

“Ini termasuk menjaga jarakan sosial. Tugas polis kali ini adalah menasihati,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata polis menubuhkan pasukan petugas khas operasi pematuhan untuk memantau dan menguat kuasa SOP sepanjang pelaksanaan PKPB.

Selain polis, turut diberi kuasa untuk menguatkuasakan pelaksanaan PKPB ialah Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPN: Empat peratus ditahan ingkar PKP remaja bawah umur

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Empat peratus daripada 6,048 individu yang ditahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu sehingga semalam merupakan golongan remaja bawah 18 tahun.

Sehubungan itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador meminta ibu bapa mengawasi pergerakan anak-anak dan tidak membenarkan mereka keluar rumah.

“Saya ingin tegaskan kepada pengingkar tegar PKP yang merasakan dirinya ‘macho’ boleh melepak sesuka hati supaya memikirkan hukuman yang bakal mereka hadapi.

“Ingat kami bukan suka-suka hendak tangkap orang…oleh itu, patuhilah PKP dan duduk di rumah,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Hamid ketika ditanya jika ada penagih dadah menunjukkan simptom Covid-19, beliau berkata mereka diminta tampil untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Ketika ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik tidak membuat operasi berskala besar kecuali menerima maklumat mengenai aktiviti tokan serta pengedar dadah.

“Oleh itu, individu yang pernah mengambil dadah tidak perlu takut untuk tampil melakukan proses saringan Covid-19 kerana apa yang lebih penting adalah nyawa dan kesannya jika ia menjangkiti orang lain,” katanya.

Menjawab dakwaan mengatakan anggota polis tidak memeriksa setiap kereta di sekatan jalan raya, Abdul Hamid berkata: “Kami bukan tidak memeriksa setiap kereta yang melalui sekatan jalan raya, ia bergantung kepada budi bicara polis itu.

“Sebagai contoh, jika pemandu itu memandu secara individu, sudah tentu polis yang bertugas tidak menahannya sebaliknya membenarkan pemandu itu melalui seperti biasa, selain mengambil pendekatan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPN: Jaga tutur kata ketika ‘debat’ situasi politik negara

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Orang ramai diingatkan supaya menjaga tutur kata ketika menyampaikan pandangan dan pendapat di laman sosial berhubung situasi politik negara pada masa ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata semua pihak perlu menjaga perlakuan dan bijak melontarkan pendapat supaya tidak melanggar undang-undang, sekali gus menjejaskan keselamatan dan keamanan negara.

“Saya dapati perdebatan (situasi politik negara) di dalam media sosial begitu hangat sekali. Saya juga mendapati suhu perdebatan ini semakin meningkat.

“Oleh itu, sekali lagi saya ingatkan kepada semua pihak supaya menjaga tindakan dan berhujah dengan penuh kewarasan agar orang ramai tidak gusar,” katanya kepada Bernama.

Abdul Hamid berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa menghormati hak semua pihak untuk meluahkan pandangan dan menjalankan aktiviti politik selagi tidak mengancam keamanan dan ketenteraman negara.

“Di sini, saya memberi amaran terhadap usaha melibatkan elemen luar negara untuk masuk dan menghuru harakan keadaan.

“Cubaan dan perbuatan sebegini pasti akan ditangani sekeras-kerasnya kerana ia menepati ciri-ciri pengkhianatan terhadap negara,” katanya.

Beliau turut menegaskan proses pembentukan kerajaan baharu masih berjalan dengan aktif mengikut Perlembagaan negara.

“Orang ramai perlu bersabar sedikit masa lagi… Insya-Allah PDRM sentiasa bersedia dan memberi jaminan proses ini (pembentukan kerajaan) tidak diganggu gugat oleh mana-mana pihak,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPN: Keadaan negara kekal aman

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Malaysia kekal aman dan orang ramai diberi amaran supaya tidak membuat spekulasi mengenai keadaan politik semasa sehingga menjejaskan keamanan, kata ketua polis negara.

Tan Sri Abdul Hamid Bador memaklumkan dititah mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bagi memberikan taklimat mengenai ketenteraman dan keselamatan awam ketika ini.

“Saya berada di Istana Negara sejak tengah hari tadi bagi memberikan taklimat kepada Tuanku mengenai keadaan dalam negara.

“Keseluruhannya keadaan terus aman dan tenteram. Tuanku menitahkan supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) berusaha memastikan ketenteraman serta keamanan dalam negara.

“Pihak saya setakat ini tidak terima sebarang ancaman. Tidak ada isu boleh membuatkan orang berkelahi, PDRM akan terus memantau dengan lebih dekat supaya tidak tercetus apa-apa yang tidak diingini,” katanya kepada pemberita selepas selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di sini, hari ini.

Abdul Hamid turut menyeru orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan menyebarkan berita palsu yang boleh mendatangkan kegusaran kepada orang ramai.

“Proses demokrasi sedang berjalan dengan baik, Insya-Allah apa juga keputusan yang dibuat oleh Tuanku akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPN: Isu perkauman, agama bebankan PDRM

GEORGE TOWN, 28 DIS: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyifatkan isu perkauman dan agama yang dibangkitkan sesetengah pihak sejak kebelakangan ini sebagai membebankan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, dalam usaha PDRM mahu memberi fokus kepada meningkatkan penyampaian perkhidmatan yang lebih baik, adil dan telus kepada rakyat, pasukan keselamatan itu dibebani dengan isu-isu di luar jangka.

“Isu ini membebankan PDRM, ia tidak sepatutnya timbul. Selepas 62 tahun kita merdeka, kita sepatutnya bijak dalam berfikir tetapi menyedihkan. Nampak gayanya semakin matang negara ini, semakin kurang matang pula pemikiran sesetengah pihak…mendukacitakan.

“Saya minta pihak-pihak yang suka menyentuh isu-isu perkauman dan agama cuba berfikiran matang sedikit. Akhirnya nanti kalau berlaku kekacauan kita semua yang rugi, tiada siapa yang untung,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan 5,500 peserta ‘Kayuhan & Larian Ria’, di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai suara sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan perintah mahkamah bagi melarang penganjuran persidangan membantah tulisan Jawi di sekolah-sekolah vernakular, yang dijadual berlangsung di Kajang, hari ini.

Abdul Hamid berkata, beliau percaya tindakan polis memohon perintah mahkamah adalah atas faktor keselamatan.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu mengulas lanjut mengenai isu pembatalan persidangan itu dan menyerahkannya kepada Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaluddin dan Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.

“Adalah lebih baik persidangan itu dibatalkan ataupun dibuat semula dalam bentuk yang tidak menyentuh emosi dan sentimen orang lain. Saya kuat berpegang teguh kepada prinsip demokrasi. Rakyat bebas untuk bersuara tapi dalam parameter yang selamat.

“Sekiranya ada unsur provokasi, polis adalah pihak yang paling layak untuk buat penilaian. Saya sebagai Ketua Polis Negara tidak ada agenda tersirat atau sempit untuk menggagalkan persidangan itu. Saya tidak bermain politik,” tegasnya.

Ahmad Dzaffir dalam kenyataannya berkata polis telah menyerahkan perintah mahkamah itu kira-kira pukul 5.00 petang semalam.

Susulan itu, pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) dalam kenyataan bersama memaklumkan bahawa persidangan itu dibatalkan selepas menerima perintah mahkamah itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KPN: Jual MyKad boleh dikenakan SOSMA

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) boleh dikenakan terhadap mereka yang terlibat dengan sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan kepada warga asing, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, tindakan sekeras-kerasnya boleh diambil terhadap pegawai kerajaan, rakyat Malaysia atau warga asing yang terlibat dalam sindiket yang memberi kesan serius kepada keselamatan negara itu.

“Sindiket ini memberi kesan kepada keselamatan negara yang amat serius. Oleh itu, SOSMA boleh digunakan sekiranya mereka terlibat.

“Pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen membantu serta memberi kerjasama sepenuhnya untuk mengesan kes-kes lama,” katanya.

Abdul Hamid berkata, setakat ini siasatan mendapati motif sindiket dan individu yang terlibat hanyalah untuk mencari keuntungan kewangan haram.

Ditanya mengenai penubuhan pasukan petugas khas bagi menyiasat kes itu, beliau berkata pasukan petugas berkenaan telah ditubuhkan pada Ogos dan diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.

“Dalam pasukan petugas khas ini, kami ada Tim khas JSJ, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil dan Cawangan Khas Bukit Aman yang melapor terus kepada saya.

“Tim ini dibantu oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Imigresen dan JPN sendiri bagi menghalusi dan mengesan semua pengeluaran laporan polis, sijil lahir, kad pengenalan dan pasport yang dibuat secara penipuan,” katanya.

Abdul Hamid berkata, siasatan sindiket kes berkenaan ini dijalankan di Pulau Pinang pada Julai lepas oleh Ketua Polis Negeri.

“Tetapi apabila dinilai tahap keseriusan kes ini maka tim siasatan Bukit Aman ditubuhkan dan mengambil alih siasatan kes terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pelbagai bahagian daripada jabatan itu akan terlibat dalam pasukan petugas khas itu, bergantung kepada keperluan siasatan.

“Pegawai Imigresen akan sertai pasukan petugas khas ini sebagai anggota dan kami akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam pasukan petugas ini,” katanya.

Hari ini, Huzir berkata pasukan petugas berkenaan terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), JPN dan Jabatan Imigresen dan pembentukan pasukan itu telah mendapat persetujuan daripada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Alwi Ibrahim.

Pada 19 September lalu, polis menahan 20 individu termasuk seorang pegawai JPN yang disyaki terlibat dengan aktiviti pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan secara tidak sah.

Mereka yang ditahan di Pulau Pinang itu terdiri daripada 15 lelaki dan dua wanita tempatan, seorang lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang lelaki warga India.

– BERNAMA