Categories
NASIONAL SELANGOR

25 NG0 desak kerajaan tangguh PPPM 2013-2025

gambar hiasan
gambar hiasan

SHAH ALAM 27 OGOS : Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) mendesak kerajaan mewartakan laporan muktamad Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025) segera dan menangguhkan pelaksanaan kertas putih itu sehingga rakyat berpeluang memberi maklumbalas terakhir.

GBM yang merupakan gabungan 25 badan bukan kerajaan (NGO) berkata, pada 29 November 2012, menyerahkan 10 muka surat memorandum kepada kerajaan berkaitan PPPM 2013-2025.

“Dalam memorandum tersebut, kami mengalu-alukan inisiatif Kementerian Pendidikan menyediakan kertas putih yang inklusif dan berasaskan perundingan.

“Mengikut kefahaman kami, ia adalah bertujuan untuk pembangunan dan kemaslahatan semua sektor pendidikan termasuk keagamaan dalam negara.

“Kami ingin merakamkan kerungsingan kami kerana kertas putih pendidikan tersebut dimuktamadkan tanpa mengambil kira sepenuhnya dapatan dan saranan organisasi pertubuhan sivil,” kata GBM dalam kenyataan medianya.

Menurut kenyataan itu, pelbagai keperihatinan disentuh berkenaan aspek penting dalam kertas putih tersebut seperti falsafah pendidikan kebangsaan, pendidikan vokasional dan pendidikan vernakular.

Ia turut juga merangkumi pengajaran pelbagai bahasa, isu-isu keciciran pengajian dan pengajaran subjek-subjek sejarah, geografi dan kesusasteraan.

“Kami menyeru pihak Kementerian Pendidikan untuk melanjutkan tarikh tamat perundingan bagi kertas putih tersebut supaya organisasi pertubuhan sivil berkesempatan untuk mengkaji draf disemak,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu menyatakan pihak kerajaan akan meneruskan usahanya melaksanakan kertas putih berkenaan.

Kenyataan mutakhir oleh Menteri Pendidikan Pertama, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengisyaratkan bahawa PPPM akan dilancarkan pada 6 September ini dan tidak akan ditunda walaupun terdapat bangkangan pelbagai pihak.

“GBM tidak akan menyokong dan mengesahkan pembangunan pendidikan yang mana, mengikut Kementerian Pendidikan, mengandungi 17,000 saranan untuk perubahan tanpa merujuk kepada salinan muktamad.

“Dan memastikan bahawa 17,000 saranan perubahan sebenarnya adalah berdasarkan prinsip-prinsip keadilan, kesaksamaan dan keterangkuman merentasi sempadan etnik dan faedah kepada semua aliran institusi pendidikan dan komuniti.

“Kemaslahatan pendidikan generasi muda kita layak mendapat pertimbangan berhati-hati dan teliti; dan juga tidak tergesa-gesa dalam membuat dasar dan pelaksanaan,” kata kenyataan itu.- mza