Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas Menteri Pengajian Tinggi meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Bekas Menteri Pengajian Tinggi, Tan Sri Shafie Mohd Salleh, 73, meninggal dunia di Hospital Selayang, pagi ini.

Menurut Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Ahmad Sabri Saad, Allahyarham yang juga merupakan Ketua Pengakap Negara meninggal dunia pada pukul 9.30 pagi tadi akibat komplikasi dalam perut.

“Jenazah sedang dimandi dan dikafankan di Hospital Selayang. Solat jenazah akan diadakan di Masjid Al-Makmur, Kampung Ginching, Salak Tinggi Sepang selepas Zuhur ini seterusnya dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran,” katanya kepada Bernama.

Allahyarham meninggalkan isteri Puan Sri Prof Emeritus Dr. Hajah Mizan Adilah Ibrahim dan tiga orang anak.

Selain pernah memegang jawatan Menteri Pengajian Tinggi, Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Ketua Pusat Penyelidikan, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) selama lima tahun dan kemudiannya dilantik sebagai Setiausaha Bahagian, Kementerian Sumber Manusia dan juga Setiausaha Penyelidikan di bahagian Analisis Dasar Pusat Kajian Pembangunan Malaysia di bawah Jabatan Perdana Menteri.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

Dana universiti awam dirizab lima peratus tahun depan

SHAH ALAM, 26 NOVEMBER : Lima peratus daripada keseluruhan dana untuk Universiti Awam (UA) akan dirizabkan dan hanya akan dikembalikan selepas universiti terbabit berjaya memenuhi indeks pencapaian utama (IPU) mulai tahun depan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata formula dana baru yang diputuskan pada mesyuarat pertama Pasukan Petugas Pendidikan Tinggi Putrajaya (PHETF) meliputi dana input (tiga peratus) dan dana prestasi (dua peratus).

Katanya, 20 UA menerima dana 100 peratus daripada kerajaan meliputi perbelanjaan yuran pengajian, geran blok (60 hingga 70 peratus) dan pembangunan.

PENDIDIKAN GRAFIK“Pendanaan 100 peratus meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-12, sedangkan outputnya meletakkan negara pada kedudukan ke-44. Ini jelas menunjukkan dana tidak digunakan secara cekap, sebab itu kita memperkenalkan skim pendanaan baru,” lapor Bernama.

Idris berkata, antara faktor yang diberi pertimbangan sebelum rizab dana dikembalikan kepada universiti ialah bilangan kemasukan pelajar, bilangan graduan, pengurangan kadar gagal dan keupayaan universiti mencipta produk inovasi.

Katanya, UA Malaysia terlalu bergantung kepada dana kerajaan antara 75 hingga 95 peratus sementara universiti di seluruh dunia hanya bergantung kepada 30 hingga 40 peratus.

“Rizab lima peratus itu akan dinaikkan secara tahunan dan dijangka mencapai tahap 40 peratus pada 2025 apabila Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 dilaksana sepenuhnya,” katanya.

-nR-