Categories
NASIONAL

Dana universiti awam dirizab lima peratus tahun depan

SHAH ALAM, 26 NOVEMBER : Lima peratus daripada keseluruhan dana untuk Universiti Awam (UA) akan dirizabkan dan hanya akan dikembalikan selepas universiti terbabit berjaya memenuhi indeks pencapaian utama (IPU) mulai tahun depan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata formula dana baru yang diputuskan pada mesyuarat pertama Pasukan Petugas Pendidikan Tinggi Putrajaya (PHETF) meliputi dana input (tiga peratus) dan dana prestasi (dua peratus).

Katanya, 20 UA menerima dana 100 peratus daripada kerajaan meliputi perbelanjaan yuran pengajian, geran blok (60 hingga 70 peratus) dan pembangunan.

PENDIDIKAN GRAFIK“Pendanaan 100 peratus meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-12, sedangkan outputnya meletakkan negara pada kedudukan ke-44. Ini jelas menunjukkan dana tidak digunakan secara cekap, sebab itu kita memperkenalkan skim pendanaan baru,” lapor Bernama.

Idris berkata, antara faktor yang diberi pertimbangan sebelum rizab dana dikembalikan kepada universiti ialah bilangan kemasukan pelajar, bilangan graduan, pengurangan kadar gagal dan keupayaan universiti mencipta produk inovasi.

Katanya, UA Malaysia terlalu bergantung kepada dana kerajaan antara 75 hingga 95 peratus sementara universiti di seluruh dunia hanya bergantung kepada 30 hingga 40 peratus.

“Rizab lima peratus itu akan dinaikkan secara tahunan dan dijangka mencapai tahap 40 peratus pada 2025 apabila Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 dilaksana sepenuhnya,” katanya.

-nR-

Categories
NASIONAL

Menteri juga hantar anak ke luar negara

tian chua pc pkr 01SHAH ALAM, 11 SEPT :  Menteri Kerajaan Pusat yang menghantar anak-anak mereka belajar di luar negara menunjukkan krisis keyakinan yang serius terhadap pelan pendidikan Malaysia.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh yang berkata, pihak yang tidak bersetuju dengan pelan pendidikan negara boleh menghantar anak-anak mereka ke luar negara

“Itu sebab mereka tidak peduli tentang pembangunan pendidikan negara, sebab mereka lebih utamakan masa depan anak-anak mereka sendiri dengan pendidikan luar negeri,” tegas beliau.

Baru-baru ini Idris berkata, tiada bantahan dan kritikan yang boleh menghentikan rancangan Putrajaya meneruskan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM).

Pelan berkenaan menerima reaksi negatif daripada pertubuhan persatuan Cina seperti Dong Zhong dan juga parti politik Pakatan Rakyat (PR).

“Menteri Pendidikan sepatutnya mengadakan pusingan kedua perundingan dengan pihak awam secara intensif untuk mendapatkan pandangan daripada kumpulan berkepentingan yang berbeza untuk diterapkan dalam dokumen akhir pelan pendidikan seperti yang dijanjikan,” jelas ahli akademik, Ong Kian Ming dalam satu kenyataan media.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Serdang, menjelaskan banyak pihak yang prihatin telah meminta Kementerian supaya tidak tergesa-gesa melaksanakan PPPM, tetapi memberi lebih banyak masa untuk mengkaji rancangan itu.

Menurut Ong, pengkritik, antaranya seperti yang disebut dalam memo dalaman Panel Penilai Bebas Malaysia yang diketuai Naib Canselor Albukhary International Universiti, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, berpendapat perubahan yang dinyatakan dalam PPPM bersifat ‘incremental’ dan bukan pembaharuan kritikal yang perlu untuk memulihkan sistem pendidikan negara.

Menurutnya lagi, cadangan seperti pembinaan sekolah-sekolah aliran seperti Sekolah Agama Rakyat (SAR) mengikut keperluan dan permintaan ibu bapa diabaikan dalam PPPM.

Antara yang diabaikan juga adalah penyelarasan sekolah-sekolah teknikal, vokasional dan kemahiran antara kementerian-kementerian, dan meluaskan peranan Kerajaan Negeri dan daerah.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PKR lancar kaji selidik profail peminjam PTPTN

rafizi ptptn

PETALING JAYA, 22 OGOS: Parti Keadilan Rakyat (PKR) merintis jalan memahami masalah peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan melancarkan satu kaji selidik keberhutangan golongan itu.

Kaji selidik ini wajar disertai semua peminjam PTPTN dengan mengisi satu borang kajiselidik yang boleh dicapai di laman www.siasatptptn.wordpress.com yang akan disebarkan melalui laman sosial dan blog.

Menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, keputusan kajian ini akan dibentangkan dalam satu perjumpaan ‘tweetup#PTPTN’ yang akan diadakan 29 Ogos ini, jam 8.30 malam di Perpustakaan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya.

“Semua peminjam, aktivis anti-PTPTN dan pemimpin masyarakat turut dijemput hadir dalam ‘tweetup’ yang bertujuan menyusun gerakan anti-PTPTN dalam sebuah pertubuhan rasmi yang lebih tersusun.

“Sudah masanya peminjam-peminjam PTPTN membentuk satu pertubuhan lobi yang berpengaruh supaya mana-mana pihak berunding dengan mereka terlebih dahulu sebelum membuat cadangan, bagi mengelak berulangnya peristiwa cadangan penyenaraian Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) terhadap peminjam PTPTN,” kata Rafizi dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di sini pagi tadi.

Rafizi berkata, sebelum ini Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak memaklumkan sebarang kajian khusus untuk memahami apakah faktor yang menyebabkan majoriti peminjam PTPTN menghadapi kesukaran membayar pinjaman PTPTN.

Antara faktor penting yang perlu dikaji sebelum satu langkah tersusun yang tepat dapat diambil seperti, profil pendapatan bersih peminjam-peminjam PTPTN, profail kejayaan mendapat perkerjaan yang setaraf dengan kelulusan atau jurusan dan profail kualiti IPTS yang membawa kesan kepada kemampuan seorang pemegang ijazah mendapat kerja.

Mengulas cadangan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh untuk menyenaraikan nama peminjam PTPTN ke dalam CCRIS, Rafizi berkata cadangan tersebut menunjukkan bahawa Kerajaan BN begitu terpisah dengan realiti kepayahan hidup golongan muda yang dibebankan hutang PTPTN.

“BN tidak pernah berminat mendalami masalah keberhutangan golongan muda ini dan mengambil pendekatan kasar dengan memukul rata kononnya semua peminjam PTPTN yang menghadapi kesukaran tidak bersyukur dan tidak bertanggungjawab.

“PKR menggesa Datuk Seri Idris Jusoh supaya tidak lagi memandai-mandai mengumumkan langkah baru menekan peminjam PTPTN sehinggalah maklumat ini dikaji sepenuhnya dan dibentangkan di parlimen,” ujar Rafizi lagi.

Terdahulu pengumuman Idris untuk menyenaraikan nama peminjam yang gagal melunaskan bayaran pinjaman PTPTN di bawah CCRIS mendapat tentangan pelbagai pihak termasuk pemimpin Pakatan.

Terdesak selepas menerima asakan teruk, Jemaah Menteri yang bermesyuarat semalam menolak cadangan tersebut.
– mza

Categories
NASIONAL SELANGOR

CCRIS dibatalkan setelah terima pelbagai tekanan

ptptn student

SHAH ALAM, 21 OGOS – Kerajaan hari membatalkan tindakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam melaksanakan Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) terhadap peminjamnya.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menerusi kenyataan di laman facebook beliau hari ini memaklumkan sejurus selesai bermesyuarat bersama Jemaah Menteri.

Keputusan ini dibuat mungkin berdasarkan tekanan dari pelbagai pihak yang tidak bersetuju berikutan Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh bahawa PTPTN akan melaksanakan CCRIS dengan kerjasama Bank Negara untuk menyenarai hitam peminjam yang gagal membayar pinjaman PTPTN.

Semalam hampir seluruh portal utama menyiarkan pandangan pelbagai pihak yang menentang tindakan PTPTN tersebut.

CCRIS merupakan sistem pangkalan data Bank Negara yang menyimpan maklumat kredit peminjam yang telah dilaporkan oleh institusi kewangan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Mahasiswa Keadilan Malaysia – amaran kepada PTPTN ; jangan hukum graduan

ptptn student

Haziq Abdul Aziz – (KENYATAAN MEDIA)

Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) menolak sekeras-kerasnya tindakan PTPTN yang akan menggunakan kaedah menyenaraikan peminjam PTPTN di dalam CCRIS (Central Credit Reference Information System atau Sistem Rujukan Maklumat Kredit Pusat) seperti yang diumumkan Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh.

MKM menyifatkan tindakan ini hanya akan menghukum graduan. Sistem yang akan diperkenalkan ini akan menjadikan rekod peminjaman PTPTN sebagai satu kaedah menilai kedudukan kredit kewangan seseorang.

Kesannya nanti amatlah besar kepada graduan apabila wujud penafian untuk membuat pinjaman termasuk perumahan, kenderaan dan juga peribadi kepada mereka yang didaftarkan oleh PTPTN di dalam CCRIS.

Ini bukanlah pertama kali pihak PTPTN menggunakan cara kasar menekan peminjam. Sebelum ini PTPTN juga telah menyenaraihitamkan peminjam dalam imigresen hingga menyukarkan mereka ke luar negara.

Namun begitu, ugutan dan cara kasar tidak juga memperbaiki kedudukan kutipan hutang PTPTN. Ini sekaligus membatalkan hujah bahawa penggunaan sistem ini dapat menggalakkan budaya pembayaran balik sebagai kemudahan pembiayaan kepada generasi seterusnya.

Kerajaan seharusnya memikirkan solusi dan mekanisme yang lebih baik untuk membantu mahasiswa dan graduan yang dibelenggu hutang PTPTN dan bukannya terus ? menerus menghukum. Tambahan pula, dalam menghadapi kos sara hidup yang sangat tinggi ramai graduan yang masih belum mendapat pekerjaan sesuai.

Akhir sekali, MKM menggesa PTPTN supaya tidak meneruskan niat untuk menjalankan sistem CCRIS kerana ia bukan sahaja menidakkan hak peminjam, tetapi ia juga membebankan graduan. PTPTN bukan Bank.

* Haziq Abdul Aziz ialah Presiden Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM)
20 Ogos 2013