Categories
AGENDA NASIONAL

Univeriti awam perlu patuh arahan kurangkan 20 peratus yuran pengajian

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Semua universti awam (UA) perlu mematuhi arahan mengurangkan yuran pengajian sebanyak 20 peratus kepada pelajar bagi semester pertama sesi 2021/2022.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata arahan itu telah dikeluarkan kepada semua UA terlibat sebelum ini.

“Langkah ini selaras dengan usaha KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) untuk terus mempertingkat usaha ke arah menjaga kebajikan mahasiswa khususnya di bawah inisiatif #KPTPrihatin,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata dalam keadaan pandemik COVID-19 yang banyak menjejaskan kehidupan masyarakat terutama dari segi ekonomi, kenaikan yuran tidak seharusnya berlaku.

Terdahulu, beberapa media melaporkan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya menggesa universiti itu memberi maklum balas berhubung isu kenaikan yuran pengajian kepada pelajar baharu sesi 2021/2022.

Ia susulan kenaikan yuran sebanyak 10 hingga 60 peratus yang dikenakan universiti itu dianggap tidak munasabah dalam situasi negara ketika ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan lulus peruntukan RM400 juta untuk penyelidikan 25 Universiti Awam

MACHANG, 16 DIS: Kementerian Pendidikan meluluskan peruntukan sebanyak RM400 juta bagi melaksanakan kerja penyelidikan di 25 buah Universiti Awam di seluruh negara, sepanjang tahun depan.

Timbalan Setiausaha Bahagian (Pendidikan Tinggi) Cawangan Pembangunan kementerian itu, Megat Azlani Megat Ramli berkata, peruntukan itu bagi memperluaskan lagi usaha penyelidikan dalam skop yang lebih besar.

“Kerajaan mahu hasil penyelidikan (inovasi) mereka dapat dikomersialkan untuk faedah rakyat,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Kemuncak Hari Inovasi 2019 Anugerah Kecemerlangan Staf & Penghargaan Sumbangan Bakti Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, semalam.

Lebih 100 pensyarah dan kakitangan UiTM berkenaan menerima pelbagai anugerah pada majlis itu yang turut dihadiri Rektornya Prof Madya Dr Zulkifli Mohamed.

Megat Azlani berkata sebelum ini hasil penyelidikan mereka hanya disimpan bagi kegunaan universiti sahaja sedangkan kerajaan telah membelanjakan peruntukan yang besar setiap tahun bagi tujuan itu.

Beliau berkata pada masa depan, kerajaan mahu kesemua hasil kerja keras penyelidikan mereka dalam pelbagai bidang akan turut memberi manfaat kepada masyarakat terutama penduduk di luar bandar yang memerlukannya.

Sebagai contoh katanya, projek penyulingan air di Pantai Senok, Bachok oleh sebuah universiti awam dengan menyuling air laut sebagai air minuman sepatutnya dikomersialkan ketika berlaku situasi darurat seperti digunakan oleh penduduk pada musim banjir.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Laluan khas kepada empat golongan bagi kemasukan ke universiti awam

BATU PAHAT, 2 MAC: Kementarian Pendidikan menyediakan laluan khas kepada empat golongan bagi kemasukan ke Universiti Awam (UA), yang terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU), atlet, Orang Asli dan golongan berpendapatan rendah.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, dengan adanya laluan khas itu empat golongan berkenaan tidak perlu bersaing dengan kumpulan arus perdana untuk melanjutkan pengajian masing-masing.

Beliau berkata, mereka hanya perlu memenuhi syarat khas yang ditetapkan oleh universiti yang dipilih dan hanya akan disaring dalam kalangan kelompok mereka sendiri sahaja.

“Bagi golongan OKU dan berpendapatan rendah ini, kita akan memilih yang terbaik di kalangan mereka, bagi masyarakat Orang Asli kita mahu lebih ramai yang melanjutkan pengajian di UA dan golongan atlet pula kita mahu melahirkan lebih ramai atlet kita yang berpendidikan di pusat pengajian tinggi.

“Kita laksanakan laluan khas ini kerana mencontohi beberapa negeri maju yang mengutamakan golongan berkenaan terutamanya golongan atlet kerana ramai yang memasuki universiti kerana pembabitan mereka dalam bidang sains sukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jom Masuk IPT 2019 (JMIPT) Zon Selatan, di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini, hari ini.

Sementara itu semasa ditanya berhubung status cadangan penubuhan Universiti Muhammadiyah di Pagoh, beliau enggan mengulas lanjut mengenainya dan berkata, selain universiti berkenaan, terdapat beberapa juga universiti luar lain seperti di United Kingdom dan Jepun yang turut berminat untuk membuka cawangan dalam negara.

“Selain menerima permohonan daripada universiti luar negara kerana kos pengajian dan sara hidup yang murah, pihak kerajaan juga ada merancang untuk menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan serantau,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

MB seru UA berperanan sebagai pusat reformasi

OLEH SHEEDA FATHIL

SERDANG, 20 FEB: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyeru Universiti Awam (UA) di seluruh negara berperanan sebagai pusat reformasi terbaik kepada masyarakat sekitar.

Katanya, beliau optimis UA tidak hanya berperanan menganjurkan program dalam pagar universiti sahaja sebaliknya perlu bersifat lebih holistik.

“Segala gerak kerja atau program dilaksanakan universiti awam (UA) perlu bersifat holistik dan tidak terbatas dalam kawasan institusi itu sahaja.

“Komunikasi antara UA dan komuniti luar amat penting kerana daripada situ pelbagai penerangan dapat diketengahkan antara dua pihak terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Jelajah Maju Bersama Dato’ Menteri Besar di Universiti Awam 2019 di Universiti Putra Malaysia, di sini, semalam.

Pada masa sama, katanya, beliau menggesa gerak kerja itu perlu dilakukan oleh semua UA tidak kira sama ada bahagian pentadbir, pensyarah dan pelajar.

“Mungkin pihak universiti boleh mulakan gerak kerja itu di kawasan sekitar dahulu seperti kedai dan seterusnya diperluaskan ke lokaliti lain sama ada masjid, surau, serta sekolah,” katanya.

Terdahulu, Amirudin turut mengadakan Program Jelajah Maju Bersama yang kini diperluaskan ke peringkat universiti, bagi mendekati anak Selangor.

Jelajah itu secara rasmi membuka tirai, semalam dengan berkunjung ke UPM untuk menjelaskan program dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Inisiatif itu juga memberi peluang kepada beliau untuk berinteraksi secara dekat dengan pihak universiti.

Categories
NASIONAL

Dana universiti awam dirizab lima peratus tahun depan

SHAH ALAM, 26 NOVEMBER : Lima peratus daripada keseluruhan dana untuk Universiti Awam (UA) akan dirizabkan dan hanya akan dikembalikan selepas universiti terbabit berjaya memenuhi indeks pencapaian utama (IPU) mulai tahun depan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata formula dana baru yang diputuskan pada mesyuarat pertama Pasukan Petugas Pendidikan Tinggi Putrajaya (PHETF) meliputi dana input (tiga peratus) dan dana prestasi (dua peratus).

Katanya, 20 UA menerima dana 100 peratus daripada kerajaan meliputi perbelanjaan yuran pengajian, geran blok (60 hingga 70 peratus) dan pembangunan.

PENDIDIKAN GRAFIK“Pendanaan 100 peratus meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-12, sedangkan outputnya meletakkan negara pada kedudukan ke-44. Ini jelas menunjukkan dana tidak digunakan secara cekap, sebab itu kita memperkenalkan skim pendanaan baru,” lapor Bernama.

Idris berkata, antara faktor yang diberi pertimbangan sebelum rizab dana dikembalikan kepada universiti ialah bilangan kemasukan pelajar, bilangan graduan, pengurangan kadar gagal dan keupayaan universiti mencipta produk inovasi.

Katanya, UA Malaysia terlalu bergantung kepada dana kerajaan antara 75 hingga 95 peratus sementara universiti di seluruh dunia hanya bergantung kepada 30 hingga 40 peratus.

“Rizab lima peratus itu akan dinaikkan secara tahunan dan dijangka mencapai tahap 40 peratus pada 2025 apabila Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 dilaksana sepenuhnya,” katanya.

-nR-