Categories
GLOBAL

Menakutkan, matahari jadi merah, langit jadi kuning di UK

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 17 OKT: Masyarakat United Kingdom menyaksikan fenomena ‘unik’ dan jarang-jarang berlaku apabila Matahari kelihatan berwarna merah dan langit kekuningan minggu ini.

Suasana itu mendapat perhatian pengguna media sosial dengan memuat naik ke laman sosial berkongsi suasana ‘menakutkan’ itu seolah-olah ‘hampir kiamat’.

Perubahan di langit itu dipercayai disebabkan oleh Taufan Ophelia, yang kini bergerak dari pantai barat Ireland dan bergerak ke utara di seluruh Scotland bermula semalam.

Ia menyebabkan matahari kelihatan merah dan langit kelihatan kuning di beberapa bahagian England, termasuk Midlands dan barat daya.

Jabatan Meteorologi Britain berkata keadaan itu berlaku apabila Taufan Ophelia muncul dari Azores apabila membawa sekali debu Sahara dari Afrika Utara serta debu dari kebakaran di Sepanyol dan Portugal.

‘Warna kekuningan ini berpunca dari debu yang bercampur dengan sinaran matahari menjadikan matahari berubah menjadi lebih merah,’ katanya.

Keadaan itu dijangka berakhir apabila Taufan Ophelia bergerak ke seluruh Scotland pada Selasa dan ke Laut Utara ke Scandinavia serta ia menyebabkan keadaan di selatan Britain pulih seperti sediakala.

Sementara itu tiga maut manakala lebih 300,000 penduduk terputus bekalan elektrik apabila Taufan Ophelia melanda Ireland memaksa sekolah dan pejabat kerajaan ditutup.

Jurucakap polis berkata, seorang wanita berusia dalam lingkungan 50-an maut di Aglish selepas pokok menghempap kenderaannya, manakala penumpang wanita berusia dalam lingkungan 70-an cedera ringan.

Seorang mangsa lelaki maut dalam kemalangan ketika membersihkan pokok tumbang dengan gergaji berhampiran bandar Cahir.

 

 

=EZY=