Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Mesej tular ‘PKP seluruh Selangor’ palsu

SHAH ALAM, 2 MEI: Sekretariat Akhbar Dato’ Menteri Besar Selangor mengesahkan bahawa kenyataan yang tular mendakwa kononnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh Selangor akan dilaksanakan sama ada 4 Mei atau 5 Mei 2021 adalah palsu.

Mesej yang tular di media sosial itu adalah berkaitan keputusan dan cadangan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor, bertarikh 1 Mei.

Mesej tersebut berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh Selangor, cadangan berkaitan sekolah dan justifikasi atas keputusan tersebut.

“Kami mengesahkan bahawa mesej tersebut adalah palsu,” kata Sekretariat Akhbar Dato’ Menteri Besar Selangor ketika dihubungi di sini hari ini.

Selangor telah mencatatkan kes tertinggi Covid-19 beberapa hari berturut-turut sejak Selasa (27 April) daripada 2,733 kes baharu yang dilaporkan, Selangor catat kes tertinggi dengan 750 kes, Rabu (28 April), daripada 3,142 kes baharu, Selangor mencatat kes tertinggi (1,019 kes) dan Khamis (29 April) daripada 3,332 kes baharu, Selangor adalah tertinggi dengan 1,083 kes.

Pada Jumaat (30 April) juga daripada 3,788 kes baharu, Selangor mencatatkan yang tertinggi dengan 1,265 kes dan Sabtu (1 Mei) daripada 2,881 kes baharu, Selangor mencatatkan yang tertinggi dengan 759 kes.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari telah mengadakan mesyuarat dengan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negara bagi Negeri Selangor pada 30 Mei 2021 bagi meneliti semula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor.

– BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

Covid-19: PDT Kuala Selangor nafi mesej tular

SHAH ALAM 25 MAC: Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor menafikan mesej mengandungi enam perkara berhubung mesyuarat pengurusan bencana Covid-19 Kuala Selangor seperti tular di aplikasi WhatsApp, kata pegawai daerah Kuala Selangor.

Mohd Faizal Abdul Raji berkata mesyuarat penyelarasan memberi tumpuan terhadap beberapa perkara antaranya pengagihan tugas pasukan keselamatan, lapor Sinar Harian.

“Kita bincang beberapa perkara termasuk keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu polis memastikan rakyat mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selain itu, mesyuarat itu turut memberi tumpuan berhubung keperluan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor yang kekurangan khemah dan kenderaan,” katanya.

Beliau berkata kira-kira 95 peratus penduduk di Kuala Selangor mematuhi arahan dilaksanakan kerajaan bagi mengekang wabak Covid-19.

“Saya sendiri membuat rondaan di beberapa kampung termasuk di Kampung Baru Cina, Pekan Tanjong Karang dan Ijok.

“Terdapat tiga pemeriksaan dijalankan pasukan keselamatan terhadap kenderaan keluar masuk di daerah ini iaitu di Pekan Tanjong Karang, Ijok dan susur keluar Lebuhraya Kuala Lumpur – Kuala Selangor (LATAR),” katanya.

Sebelum ini, tular mesej palsu berhubung enam perkara dibincangkan pada mesyuarat pengurusan bencana Covid-19 di daerah Kuala Selangor.