Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dijangka niaga lebih tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 14 EB: Ringgit dijangka didagangkan lebih tinggi berbanding dolar AS pada minggu hadapan dalam persekitaran dolar aS yang lemah disebalik pelbagai perkembangan di pasaran yang menjejaskan mata wang itu.

Data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lebih rendah daripada jangkaan, hasil pasaran bon Amerika Syarikat (AS) yang merosot dan keadaan yang lebih baik dalam risiko kompleks tidak membantu dolar AS, kata penganalisis.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes dolar AS boleh turun lagi minggu depan ketika Rizab Persekutuan AS (Fed) terus menangani keadaan yang hambar tersebut.

“Bagaimanapun, harga minyak mentah mungkin akan menjadi lebih rendah kerana pasaran akan terjejas berikutan pengeluaran kembali aktif serta peningkatan harga mungkin akan menjejaskan aliran menaik ringgit.

“Walaupun begitu ringgit masih boleh mengukuh walaupun dalam persekitaran kecairan yang rendah ketika cuti perayaan Tahun Baru Cina. Ramai yang berpendapat kita berada pada kitaran komoditi berikutan pakej rangsangan AS,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata perkembangan luaran kelihatan positif bagi ringgit.

Beliau berkata Pengerusi Fed, Jerome Powell mengulangi pendiriannya bagi memastikan kadar faedah rendah dan dan Indeks Harga Pengguna Teras AS bagi Januari yang dikeluarkan pada Rabu yang tidak berubah dan di bawah jangkaan, memberi petunjuk bahawa dasar monetari akomodatif akan dikekalkan.

“Tetapi kenaikan harga minyak mentah mungkin akan menyebabkan kebimbangan bahawa pihak Fed akan mengubah tindakannya dalam beberapa bulan akan datang.

“Di pasaran tempatan, melangkah ke hadapan, ekonomi akan terus bergantung pada tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan kepantasan pemberian vaksin. Ini akan menentukan pembukaan semula ekonomi yang akan menyokong ringgit,” katanya.

Pasar ditutup pada Jumaat bersempena sambutan perayaan cuti Tahun Baru Cina.

Bagi perbandingan Jumaat hingga Jumaat, ringgit lebih tinggi berbanding dolar AS pada 4.0405/0445 berbanding 4.0680/0730 pada minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit didagangkan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit susut berbanding dolar Singapuran kepada 3.0499/0531 daripada 3.0415/0455 minggu sebelumnya dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.8602/8644 daripada 3.8570/8621.

Unit tempatan rendah berbanding pound Britain kepada 5.5896/5964 daripada 5.5687/5772 minggu sebelumnya dan susut berbanding euro kepada 4.9003/9068 daripada 4.8714/8786 sebelumnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit diniaga dalam jajaran kecil, semakan OPR jadi fokus

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Ringgit dijangkakan terus terperangkap dalam jajaran kecil, minggu depan dengan tumpuan diberikan kepada semakan semula kadar dasar semalaman (OPR).

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kenyataan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) harus diberi perhatian dengan teliti terutama mengenai bagaimana bank pusat melihat tempoh pasca-moratorium yang akan berakhir pada akhir bulan ini.

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM dijadual berlangsung pada 10 Sept, 2020, dengan sebilangan penganalisis menjangkakan penurunan sebanyak 25 mata dalam OPR.

“Data terbaharu agak bercampur-campur. Kami melihat eksport Julai lebih baik daripada yang dijangkakan apabila ia berkembang 3.1 peratus tetapi Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pada bulan Ogos turun di bawah 50 mata,” katanya kepada Bernama.

Eksport Malaysia meningkat 3.1 peratus tahun ke tahun pada bulan Julai, walaupun pada kadar yang lebih perlahan daripada 8.0 peratus bulan Jun.

Daripada segi nilai, ia adalah yang kedua tertinggi pada RM92.5 bilion, selepas rekod tertinggi dicatatkan pada tahun 2018, berbanding dengan RM82.8 bilion pada bulan Jun, yang memberi petunjuk bahawa ekonomi secara beransur-ansur telah pulih daripada kemerosotan ekonomi direkodkan pada suku kedua, kata Kenanga Research.

Pada suku kedua, ekonomi menguncup 17.1 peratus daripada pertumbuhan marginal 0.7 peratus yang dicatatkan pada suku pertama.

PMI Malaysia IHS Markit, yang menjadi petunjuk prestasi perkilangan, turun 49.3 pada Ogos daripada 50.0 pada Julai.

IHS Markit berkata pengeluaran pembuatan stabil pada bulan Ogos, tetapi kehilangan beberapa momentum yang dilihat semasa pemulihan awal daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan petunjuk terkini adalah susulan daripada peningkatan pada bulan Jun dan pertumbuhan yang dicatat pada bulan Julai.

Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, ringgit diniagakan mengukuh berbanding dolar AS pada 4.1470/1520 daripada 4.1630/1680 pada minggu sebelumnya.

Ia mencapai paras 4.1400, tertinggi dalam tempoh tujuh bulan pada Selasa lepas selepas cuti selama tiga hari termasuk sambutan Hari Kebangsaan pada Isnin (31 Ogos).

Ringgit turut mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0410/0458 daripada 3.0581/0629 pada Jumaat lepas dan meningkat berbanding yen kepada 3.9393/9444 berbanding 3.9561/9583.

Unit tempatan itu meningkat berbanding pound Britain kepada 5.5143/5213 daripada 5.5251/5322 dan naik berbading euro kepada 4.9150/9214 daripada 4.9486/9562 sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Nilai jualan asing mengecil kepada RM331.04 juta minggu ini

KUALA LUMPUR, 5 JULAI: Pelabur asing terus kekal sebagai penjual bersih minggu ini, namun, jumlah nilai aliran keluar bersih mengecil kepada RM331.04 juta daripada RM444.92 juta minggu lepas.

Dari 29 Jun hingga 2 Julai, purata penyertaan asing berkurangan kepada 15.5 peratus berbanding dengan 16.3 peratus bagi tempoh sebelum itu.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dalam jangka tersebut, penjualan bersih oleh runcit tempatan pula bernilai RM39.7 juta dengan purata penyertaan sebanyak 36.49 peratus berbanding dengan pembelian bersih RM266.93 juta pada minggu sebelum ini.

Sementara itu, nilai pembelian bersih oleh institusi tempatan meningkat kepada RM370.75 juta dengan purata penyertaan mereka pada 48.02 peratus, daripada RM177.98 juta pada minggu lepas.

Beliau berkata penjualan bersih asing tidak banyak berubah pada awal minggu apabila dana luar pesisir hanya menjual ekuiti tempatan bernilai RM12.7 juta bersih pada Isnin.

“Kekurangan aktiviti penjualan adalah sejajar dengan peningkatan semula FBM KLCI sebanyak 0.5 peratus pada hari yang sama, dalam persekitaran minat baru terhadap kaunter sarung tangan dan penjagaan kesihatan,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, penjualan bersih asing meningkat kepada RM79.2 juta pada Selasa, menjadikan nilai aliran keluar bersih asing bagi keseluruhan Jun 2020 berjumlah RM2.98 bilion.

Mohd Afzanizam berkata dagangan Julai bermula suram berikutan dana antarabangsa meningkatkan aktiviti penjualan pada Rabu, dengan menjual RM142.1 juta bersih nilai ekuiti tempatan, tertinggi untuk minggu ini.

Beliau berkata walaupun begitu, institusi tempatan pula aktif membeli ekuiti tempatan bernilai RM180.9 juta pada hari yang sama, didorong peningkatan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan Malaysia, yang melonjak kepada 51 pada Jun — paras tertinggi sejak September 2018 — daripada 45.6 pada Mei.

Pada Khamis, penjualan bersih asing susut kepada RM97.0 juta, meneruskan jualan sehingga 12 hari berturut-turut.

“Sentimen optimis pada Khamis — yang mengehadkan aliran keluar asing — dipacu oleh harapan daripada keputusan percubaan yang positif bagi kemungkinan vaksin COVID-19 yang diusahakan Pfizer (firma utama farmaseutikal Amerika Syarikat) bersama-sama dengan BioNTechm (syarikat bioteknologi Jerman),” katanya.

Beliau berkata berbanding dengan rakan serantau ASEAN — Thailand, Indonesia dan Filipina — Malaysia mencatatkan nilai aliran keluar asing kedua tertinggi iaitu RM16.52 bilion selepas Thailand setakat ini bagi 2020.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Bursa Malaysia dijangka alami dagangan dalam jajaran kecil

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Bursa Malaysia dijangka masih mengalami dagangan dalam jajaran kecil minggu depan, dengan indeks utama bergerak di sekitar paras sokongan segera 1,345 susulan peserta pasaran terus memantau kes baharu Covid-19 di negara ini selain prestasi pasaran global.

Jumlah kes baharu wabak itu di Malaysia dilihat stabil dan pada Jumaat, kerajaan mengumumkan lanjutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April, 2020.

Sehingga 10 April, Malaysia mencatatkan 4,346 kes positif manakala 1,830 kes yang pulih dan 70 kematian.

“Kami yakin lanjutan PKP merupakan langkah yang tepat untuk memastikan negara dapat memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19,” kata Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada Bernama.

Beliau berkata keputusan membenarkan beberapa sektor ekonomi terpilih beroperasi akan membantu mengurangkan kerugian keluaran kepada ekonomi, dengan itu mengurangkan risiko penguncupan ekonomi selanjutnya.

Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat semula, menambah hampir 30 mata kepada 1,357.50 sekali gus mendorong pengambilan untung dalam kalangan pelabur.

“Pelabur berada dalam suasana untuk mengambil untung namun pada masa sama terus berhati-hati susulan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya mahu mengurangkan penawaran minyak,” kata Ketua Penyelidikan, Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee.

Beliau berkata pengurangan pengeluaran 10 juta tong setiap hari tidak memberi sebarang perubahan ketara kepada harga kerana permintaan terhadap minyak mentah telah merosot sejak banyak negara mengenakan sekatan perjalanan kepada penumpang.

Bagi tempoh akan datang, beliau mengunjurkan minyak mentah diniagakan di antara US$25 dengan US$30 setong.

Sepanjang minggu yang baru berakhir, Bursa Malaysia juga menyaksikan dagangan dalam julat kecil dipengaruhi terutamanya oleh prestasi semalaman Wall Street, berita mengenai wabak Covid-19, harga minyak mentah, semakan semula unjuran Fitch Ratings terhadap Malaysia daripada ‘stabil’ kepada ‘negatif’ serta pakej rangsangan ekonomi tambahan oleh kerajaan bernilai RM10 bilion.

Pakej ini khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana mengurangkan impak PKP yang disebabkan pandemik Covid-19.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 26.85 mata kepada 1,357.50 daripada 1,330.65 pada minggu sebelumnya.

Di papan skor, Indeks FBM Emas menambah 216.67 mata kepada 9,392.05, Indeks FBMT 100 meningkat 200.01 mata kepada 9,288.66 dan Indeks FBM Emas Syariah melonjak 301.67 mata kepada 10,363.11.

FBM 70 meningkat 304.69 mata kepada 11,014.75 dan Indeks FBM ACE menokok 199.72 mata kepada 4,017.03.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 4.26 mata kepada 109.50 dan Indeks Perladangan menambah 108.01 mata kepada 6,247.65.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 26.39 bilion unit bernilai RM12.56 bilion daripada 21.58 bilion unit bernilai RM12.43 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 19.51 bilion saham bernilai RM11.43 bilion daripada 17.03 bilion saham bernilai RM11.32 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan waran pula sebanyak 1.77 bilion unit bernilai RM370.16 juta berbanding 1.61 bilion unit bernilai RM443.65 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 5.01 bilion saham bernilai RM760.68 juta daripada 2.94 bilion saham bernilai RM563.58 juta minggu lepas.

— BERNAMA