Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Prospek harga minyak masih tidak menentu, permintaan lembap

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Prospek untuk harga minyak terus tidak menentu, didorong permintaan yang lembap dan penawaran berterusan daripada pengeluar menurut Sapura Energy Bhd.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Shahril Shamsuddin berkata justeru perkhidmatan lapangan minyak dan peralatan serta penerokaan dan pasaran pengeluaran dijangka terus tidak menentu, terutamanya dalam bidang yang dipacu oleh perbelanjaan modal berkaitan dengan kitaran komoditi.

“Bagaimanapun, gambarannya tidak suram sepenuhnya. Prospek pasaran minyak dan gas berbeza-beza mengikut rantau dengan Timur Tengah dan Amerika Selatan paling berkembang dalam jangka panjang.

“Harga minyak rendah mungkin telah menangguhkan sekatan dalam beberapa projek, tetapi pembangunan gas di Asia Tenggara, Timur Tengah dan Afrika Barat dijangka berterusan,” katanya dalam laporan tahunan 2020 syarikat itu.

Shahril berkata projek laut dalam dan ‘brownfield’ dijangka dapat bertahan dengan turun naik harga minyak.

Walaupun bahan api karbon masih diambil kira untuk sebahagian besar daripada permintaan tenaga global, tenaga boleh baharu segera menjadi pesaing, dengan bahagiannya diunjurkan meningkat daripada lima peratus hari ini kepada 15 peratus pada 2040.

“Sapura Energy terus optimis mengenai keupayaan kami dalam menempuh cabaran ini. Sejak kemelesetan pada 2014, Sapura Energy telah mengguna pakai strategi yang tangkas untuk membimbing kami melalui industri yang sensitif kepada kitaran ekonomi,” katanya.

Mengenai masa depan, tahun kewangan ini yang berakhir 31 Jan, 2021, akan menjadi tempoh optimis yang berhati-hati walaupun industri menghadapi satu lagi kemerosotan berikutan pandemik Covid-19 yang telah menjejaskan penggunaan dan menyebabkan ekonomi global lembap, katanya.

Penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM14.21 juta pada suku pertama berakhir 30 April daripada kerugian bersih sebanyak RM109.10 juta pada tahun sebelumnya walaupun perolehan merosot kepada RM1.36 bilion daripada RM1.63 bilion sebelum ini.

Nilai perolehan kontrak Sapura Energy sebanyak RM14.0 bilion, dengan nilai kontrak baharu terkumpul setakat ini sebanyak RM0.8 bilion.

-BERNAMA

Categories
EKONOMI

Harga minyak mentah susut

SINGAPURA 5 SEPT: Harga minyak mentah susut dalam dagangan pagi ini dengan sebahagian besarnya mengundurkan keuntungan yang diperoleh pada semalam.

Ia berikutan impak ribut tropika di pengeluaran pesisiran Teluk Amerika Syarikat (AS) yang tidak sekuat sebagaimana yang dijangka.

Niaga hadapan AS West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$69.34 setong, susut 53 cents, atau 0.8 peratus daripada penutup akhirnya.

Niaga hadapan minyak mentah Brent antarabangsa pula susut 34 cents atau 0.4 peratus kepada AS$77.83 setong.

Harga melonjak semalam berikutan berpuluh-puluh platform gas dan minyak AS di Teluk Mexico ditutup berikutan jangkaan ribut tropika Gordon yang bakal melanda rantau berkenaan.

Bagaimanapun, ribut berkenaan beralih ke arah timur semalam sekaligus mengurangkan ancaman kepada pengeluar di bahagian barat Teluk berkenaan.

SUMBER: REUTERS

Categories
EKONOMI

Harga minyak dunia naik sedikit

TOKYO 2 OGOS: Harga minyak naik pada awal dagangan hari ini, menutup kerugian yang dicatatkan pada dua hari sebelumnya didorong oleh laporan yang menunjukkan peningkatan dalam inventori minyak mentah Amerika Syarikat (AS).

Niaga hadapan minyak mentah Brent naik 25 cent atau 0.4 peratus, kepada AS$72.64 setong pada 0055 GMT, selepas turun 2.5 peratus pada Rabu.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) naik 26 cent atau 0.4 peratus, kepada AS$67.92 setong. Ia jatuh 1.6 peratus pada sesi sebelumnya.

Inventori mentah AS naik 3.8 juta tong minggu lalu apabila import melonjak, menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga Kerajaan.

SUMBER: REUTERS

Categories
EKONOMI GLOBAL

Harga minyak dunia brent meningkat 0.4%

SINGAPURA 27 JUN: Harga minyak mentah meningkat hari ini dipengaruhi oleh gangguan bekalan di Libya serta selepas pegawai Amerika Syarikat (AS) berkata semua negara patut menghentikan import minyak mentah Iran bermula November ini.

Niaga hadapan Brent berada pada AS$76.60 setong, naik 29 cents, atau 0.4 peratus daripada penutup akhirnya.

AS West Texas Intermediate (WTI) pula berada pada AS$70.79 setong, naik 26 cents, atau 0.3 peratus.

AS memberitahu negara sekutunya untuk mengurangkan import minyak mentah Iran kepada sifar bermula November ini, kata pegawai kanan Jabatan Negara semalam.

“Harga minyak melonjak semalaman selepas berita berkenaan,” kata Ketua Dagangan Asia Pasifik di firma pembrokeran OANDA, Stephen Innes.

Beliau turut memberi amaran “Libya akan terus menjadi titik kebimbangan yang penting dalam rantaian bekalan minyak”.

Sementara itu, pergelutan antara kerajaan rasmi dan penentang menjadikan pihak yang akan mengendalikan simpanan minyak Libya yang besar tidak jelas walaupun lewat petang semalam sumber berkata pelabuhan minyak Hariga dan Zueitina di timur Libya masih beroperasi seperti biasa.

SUMBER: REUTERS

Categories
EKONOMI GLOBAL

Harga minyak mentah dunia meningkat

SINGAPURA 26 JUN: Harga minyak mentah meningkat hari ini berikutan ketidaktentuan berhubung eksport minyak Libya walaupun rancangan oleh anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) untuk menaikkan jumlah bekalan masih belum diputuskan.

Niaga hadapan Brent, penanda aras antarabangsa bagi harga minyak adalah pada AS$74.95 setong, naik 22 cents atau 0.3 peratus daripada penutup akhirnya.

Niaga hadapan AS West Texas Intermediate (WTI) pula berada pada AS$68.33 setong, naik 25 cents atau 0.4 peratus.

Pedagang berkata harga dipacu oleh ketidaktentuan yang menyelubungi eksport minyak oleh Libya yang juga anggota OPEC.

Komander tentera di Libya Timur, Khalifa Haftar telah menyerahkan kawalan pelabuhan minyak kepada National Oil Corporation yang berpangkalan di timur negara berkenaan.

Syarikat minyak rasmi milik negara itu yang berpangkalan di Tripoli dan juga dikenali sebagai NOC tidak dibenarkan untuk menguruskan minyak berkenaan lagi, katanya.

Ketidaktentuan mengenai eksport minyak Libya muncul selepas OPEC bersama-sama dengan rakan bukan OPEC mengumumkan kenaikan bekalan sebanyak satu juta tong sehari bertujuan untuk menyejukkan pasaran minyak mentah.

SUMBER: REUTERS

Categories
EKONOMI

Harga minyak dunia catat penurunan

SINGAPURA 23 MEI: Harga minyak turun hari ini ditarik oleh kebimbangan pasaran mengenai tindakan berkemungkinan OPEC meningkatkan bekalan pada awal Jun ini walaupun disebalik risiko geopolitik.

Dagangan hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$79.53 satu tong pada 0006 GMT, mencatatkan penurunan 4 cent selepas meningkat sebanyak 35 cent semalam.

Minggu lalu, penanda aras global itu mencecah AS$80.50 satu tong, paras tertinggi sejak November 2014.

West Texas Intermediate (WTI) pula merosot 2 cent kepada AS$72.18 satu tong, setelah menokok pada Selasa kepada AS$72.83 satu tong, juga paras tertinggi sejak November 2014.

“Risiko geopolitik menjadi faktor kerisauan pelabur. Setiausaha Negara Amerika Syarikat juga baru-baru ini menuntut agar Iran menghentikan semua operasi uranium dan memberikan akses kepada pemeriksa nuklear di seluruh negara,” kata firma penyelidikan ANZ dalam satu nota.

“Bagaimanapun, pelabur menunggu rundingan yang akan berlangsung antara Russia dan Arab Saudi mengenai tindakan mereka dalam perjanjian potongan output.” katanya.

OPEC mungkin memutuskan untuk menaikkan pengeluaran minyak pada Jun disebabkan kebimbangan terhadap bekalan Iran dan Venezuela dan selepas Washington membangkitkan kebimbangan pasaran minyak kini semakin tidak stabil.

SUMBER: REUTERS

Categories
EKONOMI

Harga minyak dunia melonjak kepada AS$79.37 satu tong

SINGAPURA 22 MEI: Harga minyak melonjak pada Selasa di tengah kebimbangan penurunan berterusan pengeluaran minyak mentah Venezuela berikutan konflik pilihan raya Presidennya serta potensi potensi sekatan anggota OPEC.

Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$79.37 satu tong pada 0110 GMT, naik 15 cent, dari penutupan terakhir mereka. Brent pernah memecah AS$80 buat kali pertama sejak November 2014 pada minggu lalu.

West Texas Intermediate (WTI) pula berada pada AS$72.49 satu tong, naik 25 cent daripada penyelesaian sebelumnya.

“Pasaran yang positif rentetan ketiadaan perang perdagangan dua kuasa besar selain masalah politik Venezuela memacu harga minyak lebih tinggi,” kata Ketua perdagangan OANDA Asia Pasifik, Stephen Innes.

SUMBER: REUTERS

Categories
EKONOMI

Harga minyak dunia kembali meningkat

SINGAPURA 29 MAC: Harga minyak mengukuh hari ini memandangkan negara pengeluar Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (OPEC) dan pembekal lain bersedia mengekalkan had pengeluaran sepanjang tahun ini dan kemungkinan pada 2019.

Niaga hadapan minyak mentah WTI Amerika Syarikat (AS) didagangkan pada AS$64.57 setong pada 0242 GMT, naik 19 cent atau 0.2 peratus, daripada penyelesaian sebelumnya.

Niaga hadapan minyak mentah Brent AS$69.72 setong, naik 19 cent atau 0.3 peratus.

OPEC yang didominasi Asia Barat bersama-sama dengan sekumpulan pengeluar bukan OPEC yang diketuai oleh Russia memulakan pemotongan pengeluaran untuk mengekang lebihan penawaran.

SUMBER: REUTERS

Categories
EKONOMI

Harga minyak global cecah harga tertinggi dalam enam minggu

NEW YORK 22 MAC: Minyak mentah mencecah harga tertinggi pada Rabu berikutan penurunan mendadak dalam inventori Amerika Syarikat (AS), kepatuhan kukuh terhadap pengurangan pengeluaran oleh Pertubuhan Negara Pengeskport Petroleum (OPEC).

Selain itu, prestasi itu juga dipengaruhi oleh kebimbangan berterusan berhubung perjanjian nuklear Iran.

Niaga hadapan Brent naik AS$2.05, atau 3 peratus untuk ditutup kepada AS$69.47, paras tertinggi dalam tempoh hampir tujuh minggu.

West Texas Intermediate (WTI) pula menokok AS$1.63, atau 2.6 peratus untuk ditutup kepada AS$65.17, paras tertingginya sejak 2 Februari lalu.

Data yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA) pada pagi Rabu juga menunjukkan kejutan pengurangan 2.6 juta tong dalam inventori minyak mentah.

Penganalisis menjangkakan penambahan sebanyak 2.5 juta.

SUMBER: REUTERS

Categories
EKONOMI

Harga minyak mentah dunia naik

GLOBAL 14 MAC: Harga minyak mentah dunia kembali stabil pada awal hari ini selepas berdepan dengan kejatuhan harga dua hari sebelum ini.

Sokongan harga komoditi itu pada Rabu disebabkan laporan inventori mentah Amerika Syarikat tidak meningkat seperti yang dijangkakan sekaligus membuka perdagangan yang sihat, lapor REUTERS.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$60.86 setong pada 0033 GMT, naik 15 cents, atau 0.25 peratus, dari penutupan sebelumnya.

Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$64.70 setong, naik 6 cents, atau 0.1 peratus.

Inventori minyak AS meningkat sebanyak 1.2 juta tong pada minggu ini hingga 9 Mac, kepada 428 juta tong, kata Institut Petroleum Amerika pada Selasa.

Angka itu berbeza berbanding dengan jangkaan penganalisis untuk peningkatan sebanyak 2 juta tong.

Pengilangan minyak mentah meningkat sebanyak 85,000 tong sehari (bpd), data API menunjukkan.

Walaupun begitu, keadaan pasaran umum kekal lemah, dan harga minyak mentah tidak dapat kembali ke tahap awal 2018 iaitu lebih dari AS$70 setong untuk Brent dan hampir AS$67 setong untuk WTI.

Pengeluaran minyak mentah AS meningkat hampir satu perempat sejak pertengahan 2016 dan keluaran melonjak melepasi 10 juta baril pada akhir 2017, memotong pengeluaran oleh pengeksport utama Arab Saudi.

Pengeluaran minyak mentah AS, terutamanya oleh penggerudian minyak syal, dijangka meningkat melebihi 11 juta tong sehari menjelang akhir 2018, mengambil tempat teratas dari Russia, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).

SUMBER: REUTERS

Categories
EKONOMI

Harga minyak AS susut kepada AS$62.82

TOKYO 28 FEB: Harga minyak Amerika Syarikat (AS) terus menyusut untuk dua hari berturut-turut pada Rabu, susulan data industri menunjukkan peningkatan bekalan minyak mentah dan petrol AS, serta lonjakan pengeluaran sekali gus melemahkan usaha Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) untuk menyempitkan pasaran minyak.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan minyak mentah AS West Texas Intermediate menyusut 19 cents, atau 0.3 peratus, kepada AS$62.82 pada 0028 GMT, selepas menurun 90 cents pada sesi dagangan sebelumnya.

Minyak mentah masih belum diniagakan hari ini. Semalam, kontrak Brent susut 87 cents untuk ditutup pada AS$66.63 satu tong.

Bekalan minyak mentah As meningkat pada minggu lalu apabila import meningkat, manakala inventori petrol meningkat dan bekalan penyulingan menyusut, demikian menurut American Petroleum Institute semalam.

Inventori minyak mentah meningkat 933,000 tong kepada 421.2 juta pada minggu lalu, berbanding peningkatan 2.1 juta tong yang dijangkakan penganalisis.

Stok simpanan minyak mentah di hab penghantaran, Cushing, Oklahoma, menurun 1.3 juta tong, kata API. Data API turut menunjukkan operasi minyak mentah turut menyusut 209,000 tong sehari.

SUMBER: REUTERS

Categories
EKONOMI

Harga minyak AS terus meningkat kepada AS$64.01 satu tong

TOKYO 27 FEB: Harga minyak Amerika Syarikat (AS) meningkat untuk kali keempat berturut-turut pada Selasa, menghampiri paras tinggi tiga minggu, disokong oleh usaha Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan negara bukan OPEC untuk mengurangkan bekalan minyak selain penyusutan pengeluaran minyak AS.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan penghantaran April bagi minyak AS West Texas Intermediate (WTI) meningkat 10 cents kepada AS$64.01 satu tong pada 0020 GMT. Kontrak minyak WTI mencecah AS$64.24 semalam, paras tertingginya sejak 6 Februari.

Minyak mentah Brent London masih belum diniagakan hari ini selepas meningkat 19 cents kepada AS$67.50 semasa ditutup semalam.

Menteri Minyak Arab Saudi, Khalid al-Falih, berkata pada Sabtu lalu bahawa pengeluaran minyak mentah negara itu akan lebih rendah daripada paras pengeluaran, susulan OPEC dan negara bersekutunya komited untuk mengurangkan pengeluaran bagi mengimbangkan dan menstabilkan pasaran.

Harga minyak turut mendapat dorongan daripada data Pentadbiran Maklumat Tenaga As pada Khamis yang menunjukkan pengeluaran minyak domestik susut kepada 10.27 juta tong sehari (bpd) berbanding 10.271 juta bpd pada minggu sebelumnya.

Inventori minyak mentah AS dijangka meningkat kira-kira 2.7 juta tong minggu lalu, demikian menurut tinjauan awal Reuters pada Isnin.

Saham petrol dilihat menurun sebanyak 600,000 tong, manakala inventori sulingan termasuk minyak pemanas dan diesel dilihat menurun 700,000 tong.

American Petroleum Institute dijangka akan mengeluarkan data mingguannya hari ini.

SUMBER: REUTERS