Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri, Agensi Agih 100 Ribu Ole-ole Balik Kampung

SHAH ALAM, 17 OGOS: Lebih 100 ribu beg ‘Ole-ole Balik Kampung’ dari Kerajaan Selangor dan beberapa agensi keselamatan telah diagihkan kepada orang ramai yang melalui beberapa tol di negeri Selangor sebelum menjelang raya.

Semalam, lebih seribu beg buah tangan berjaya diserahkan kepada pengguna jalanraya yang melalui Tol Sungai Rasah.

Program itu melibatkan Pejabat Daerah dan Tanah Klang, Majlis Perbandaran Klang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

Ianya diadakan sempena perayaan Hari Raya Puasa yang dijangka jatuh pada Ahad ini dijalankan untuk mengingatkan pengguna jalanraya agar mementingkan keselamatan ketika memandu pulang ke kampung.

Antara isi kandungan beg ole-ole tersebut adalah minuman kotak dan beberapa jenis kuih tradisional.

Selain itu beberapa bahan bacaan turut diselitkan bagi memberi penerangan tentang dasar dan program Kerajaan Negeri, penjelasan beberapa isu semasa berkaitan Kerajaan Negeri dan isu keselamatan orang ramai.

Menuruh, Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail, program tersebut telah mendapat sambutan yang sangat luar biasa.

“Alhamdullilah, kita dapat lihat sambutan pengguna jalan raya amat baik sekali dan kita jalinan kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan agensi lain juga sangat baik.

“Insyaallah program ini saya harap program ini akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Ketika memberikan ucapan selamat hari raya kepada rakyat Selangor, Rodziah juga berharap agar pemandu memandu dengan cermat dan berhemah serta mematuhi peraturan jalanraya negara ini.

Selain itu, beliau juga berharap agar maklumat mengenai pentadbiran negeri Pakatan Rakyat dapat disalurkan kepada masyarakat di dalam dan luar negeri Selangor.

Selain Rodziah, turut kelihatan dalam program sama, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Perihathin, Dr Xavier Jayakumar, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Tuan Mislan Tugiu dan Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah Klang Utara, ACP Mohd Shukor Sulong.

ACP Mohd Shukor ketika ditemui TVS turut menasihati orang ramai memandu dengan lebih berhati-hati agar tidak menjadi sebahagian dari statistik kemalangan dalam Ops Selamat yang dilancarkan Polis Diraja Malaysia di musim perayaan kali ini.

“Saya berharap sangat agar orang ramai memandu dengan menggunakan akal, bukan hati dan ingat keselamatan orang-orang tersayang yang kita bawa dan mereka yang menanti ketibaan kita hidup-hidup, bukan menanti jenazah.

“Sebelum memulakan perjalanan pastikan keselamatan rumah dan harta benda lain yang ditinggalkan dan jangan lupa maklumkan kepada balai berdekatan.

“Akhir sekali, kami warga Polis DiRaja Malaysia sentiasa mendoakan semuga perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula nanti berakhir selamat, selamat hari raya,” kata Mohd Shukor.