Categories
AGENDA NASIONAL

Perlu peduli, ambil tahu untuk cegah rasuah

PUTRAJAYA, 13 JAN: Penjawat awam kini tidak lagi boleh bersikap “jangan jaga tepi kain orang” tetapi perlu ambil tahu dan peduli dengan perlakuan rakan di tempat kerja bagi mencegah perbuatan rasuah dalam perkhidmatan awam daripada menjadi barah.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata setiap perlakuan rasuah yang dilakukan oleh segelintir kecil penjawat awam akan terpalit kepada kumpulan majoriti yang berintegriti dan melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan amanah.

“Jika dulu kita melihat ia hanya terpencil kerana ia membabitkan sebilangan kecil penjawat awam, tetapi kini kita tidak boleh duduk diam kerana apa jua tindakan kita akan akhirnya ia sampai di hadapan kita.

“Inilah kumpulan minoriti yang seharus diketepikan. Kita adalah kumpulan majoriti dan ramai lagi penjawat awam yang berpegang teguh kepada prinsip penjawat awam,” katanya ketika menyampaikan Amanat KPPA 2021: Mendepani Cabaran Melangkaui Ekspektasi, secara dalam talian hari ini.

Menurut Mohd Khairul Adib, sepanjang tahun lepas, ada penjawat awam ditangkap dan dituduh kerana rasuah dan salah guna kuasa antaranya berkaitan isu kad pengenalan, kelonggaran kemasukan warga asing ke negara ini serta gangguan bekalan air.

“Kita tidak boleh lagi mengamalkan sikap ‘jangan jaga tepi kain orang’, malahan kita patut sama-sama menjaga dan memerhati perlakuan rakan-rakan di sekeliling kita. Jika kita tidak melakukan sesuatu, ia akan terus menjadi barah yang tidak boleh diubati lagi, dan akhirnya negara kita yang akan rosak binasa,” katanya.

Mohd Khairul Adib dalam amanatnya turut mengingatkan penjawat awam agar sentiasa meningkatkan integriti diri dan menjauhkan diri daripada gejala rasuah serta ketirisan amanah dan integriti; ambil tahu dan ambil peduli; serta memperkemaskan sistem dan prosedur kerja.

“Sekiranya kita sedar dan tahu tentang sebarang isu rasuah, atau sebarang bibit-bibit ke arah kerja yang tidak amanah, kita ada pilihan untuk mengambil tindakan yang bersesuaian.

“Kita boleh memberi nasihat sekiranya ia melibatkan orang yang kita kenal atau rakan sekerja kita. Jika kes yang kita lihat adalah serius atau melibatkan mereka yang kita tidak kenali, kita boleh membuat laporan sama ada kepada ketua jabatan atau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya.

Mohd Khairul Adib juga berkata penjawat awam tidak seharusnya menunggu habuan dan hadiah bagi mendedahkan perbuatan salah laku rakan sekerja atau kakitangan lain yang diketahuinya atau takut untuk membuat laporan.

Sementara itu, Mohd Khairul Adib berkata setiap organisasi perlu memperkemaskan sistem dan prosedur kerja kerana proses yang panjang, tiada ketelusan dalam membuat keputusan, polisi yang tidak sesuai dan lapuk, merupakan antara masalah birokrasi dihadapi di tempat kerja.

“Kenapa saya sering menekankan isu kepantasan dan profesionalisme dalam membuat keputusan adalah kerana ia berkait rapat dengan isu integriti.

“Isu birokrasi adalah antara faktor yang akan menyebabkan berlakunya salah laku, seperti mahu kelulusan yang cepat bagi permit pendatang asing. Ada pegawai yang menerima rasuah atas balasan mempercepatkan proses sesuatu permohonan.

“Justeru, kita harus sama-sama memikirkan bagaimana untuk memudahkan proses dan prosedur kerja kita tanpa kompromi daripada segi keselamatan dan undang-undang. Kita tutup ruang daripada berlakunya salah guna kuasa pegawai-pegawai pelulus ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pegawai terlibat tiris belanja kerajaan berdepan tindakan tegas

PUTRAJAYA, 26 OGOS: Pegawai yang terlibat dalam ketirisan perbelanjaan kerajaan tidak akan terlepas daripada tindakan tegas termasuk ditamatkan perkhidmatan, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui Jawatankuasa Siasatan akan melihat semula Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 yang dikeluarkan Isnin lepas untuk mendalami laporan itu bagi memastikan pegawai yang bertanggungjawab ke atas isu-isu yang dibangkitkan.

“Selepas itu, perkara tersebut akan dibangkitkan dalam Jawatankuasa Tindakan Tatatertib untuk menentukan tindakan sama ada disabitkan atau dilepaskan,” katanya ketika ditemui media selepas program KSN@Merdeka bersama penjawat awam sempena sambutan Bulan Kebangsaan, yang dirasmikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali di Dataran Putra di sini hari ini.

Mohd Khairul Adib berkata LKAN mempunyai satu panduan bagi JPA untuk menubuhkan Jawatankuasa Siasatan untuk meneliti laporan itu dan memanggil pegawai terlibat untuk menjalankan siasatan.

“Tiada yang akan terlepas semua yang dibangkitkan akan diteliti dengan mendalam melalui Jawatankuasa Siasatan dalaman yang ditubuhkan di kementerian masing-masing,” katanya.

“Ada pegawai yang ditamatkan perkhidmatan dan diambil tindakan tegas bergantung kepada keseriusan penglibatan pegawai dalam isu-isu yang dibangkitkan oleh LKAN,” katanya lagi.

LKAN 2019 yang dibentangkan Isnin lepas mendedahkan tiga jabatan kerajaan gagal memastikan pematuhan terhadap syarat kontrak dalam perolehan secara sebut harga.

Menurut laporan itu, Jabatan Laut Malaysia (JLM), Jabatan Penjara Malaysia dan politeknik didapati gagal memastikan pematuhan itu merangkumi spesifikasi dan syarat kontrak, kontrak rasmi dan pembayaran.

Ditanya berapa lama siasatan akan dijalankan, Mohd Khairul Adib berkata ia bergantung kepada kes yang mungkin melibatkan ramai pegawai dan negeri serta peluang diberikan kepada pegawai untuk mengemukakan hujah balas sebelum diambil tindakan.

Beliau berkata setiausaha bahagian sumber manusia di kementerian masing-masing akan diberi jangka masa untuk membuat laporan yang kemudiannya akan dibentangkan di Lembaga Tatatertib yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara.

“Ada kalanya pegawai tersebut dah bersara, kalau ada tindakan tatatertib, kami akan tahan persaraan dia selagi kes belum diselesaikan. Sekiranya sabit (kesalahan) maka hilanglah segala faedah-faedah persaraan dia,” katanya.

-BERNAMA